Tag: PENGORBANAN

  • Jerangkap Samar: Nyaris Ragut Nyawa LKpl Sulaiman Din

    Jerangkap Samar: Nyaris Ragut Nyawa LKpl Sulaiman Din

    Semasa era komunis dalam tahun 70 dan 80an, kawasan pedalaman serta hutan tebal di negara ini dijadikan markas dan tempat perlindungan bagi tujuan untuk melancarkan propaganda dengan cara kekerasan. Kawasan ini dijadikan sebagai tempat persembunyian serta perlindungan daripada Pasukan Keselamatan. Atas desakan untuk mempertahankan negara pada ketika itu, seorang anak muda bernama Sulaiman Din berasal dari Kampung Permatang Raja, Lumut Perak telah menyahut seruan kerajaan dengan menyertai angkatan tentera dan beliau terpilih lalu menjalani latihan ketenteraan pada 6 Jan 1976. Untuk mengetahui lebih lanjut lagi pengalaman dan pengorbanan yang dicurahkan oleh LKpl Sulaiman Din ikutilah Wawancara Wartawan Berita Tentera Darat Malaysia (BTDM), Sjn Nurulhaswani Ruzaini dengan Jurugambar BTDM, Pbt Mohamad Fadzil Akirul bersama beliau.

    Sulaiman Din menjalani latihan ketenteraan di Port Dickson selama enam bulan dan setelah tamat menjalani latihan beliau di tempatkan di dalam Rejimen Renjer Diraja (RRD) di bawah pasukan 8 RRD yang pada ketika itu berpangkalan di Ipoh Perak. Setelah beberapa tahun berkhidmat beliau telah bertemu jodoh lalu berkahwin dengan seorang gadis bernama Fauziah Mohd Sharip pada 17 Apr 1980 dan dikurniakan lapan orang cahaya mata. Ketika di pasukannya, beliau menjalani pelbagai latihan untuk memantapkan diri sebagai seorang anggota Renjer serta turut terlibat dalam operasi yang dijalankan oleh pasukannya bagi membanteras pengganas komunis yang berleluasa ketika itu.Pelbagai kesukaran dialaminya semasa melakukan operasi bersama pasukan. Antara pengalaman yang tidak akan dilupakan ialah semasa beliau terkena letupan jerangkap samar ketika melaksanakan operasi menghapuskan pengganas komunis. Peristiwa itu masih terpahat disanubarinya menyebabkan beliau masih berdendam kepada pihak komunis sehingga ke hari ini.


    Peristiwa pahit tersebut berlaku pada 12 Dis 1976 pada hari Jumaat. Satu letupan kuat berlaku dihadapan beliau lalu menyebabkan dahi disebelah kanannya berdarah kerana terkena serpihan letupan jerangkap samar. Rakan beliau datang membantu memberikan rawatan dengan segera sehingga bantuan tiba lalu di bawa menerima rawatan susulan selama seminggu di hospital.


    “Pada ketika itu, bila-bila masa sahaja jasad saya akan hancur jika kaki kanan saya yang terpijak jerangkap samar diangkat malah bukan setakat saya, tetapi rakan-rakan lain pasti akan terbunuh kerani kaki saya berada di atas pin peletup jerangkap samar itu dan anggaran saiz jerangkap samar yang dipasang oleh pihak komunis sebesar saiz tin sardin.


    “Kejadian itu berlaku pada hari ke-21 ketika saya menyertai Operasi di Setia Ulu Kinta, Chenor diketuai oleh Lt. Johnson pada ketika itu saya diberi tugas sebagai anggota semboyan. Selepas kejadian tersebut telah mengakibatkan saya hilang selera makan selama empat hari,” kata Sulaiman menceritakan semula kisah pahit tersebut.


    Selama Sulaiman menjalankan operasi, beliau pernah terserempak dengan 16 orang komunis tetapi gagal untuk memberkas mereka kerana dengan pantas seperti lipas kudung komunis tersebut lari bertempiaran apabila melihat pasukannya dan apabila sampai di perkhemahan komunis tersebut hanya kesan cap jari sahaja yang kelihatan.


    Selepas dari peristiwa tersebut, beliau tidak lagi terlibat dalam operasi pasukannya sehingga beliau ditukarkan ke Kem Oya, Sibu. Sebelum menamatkan perkhidmatannya, beliau di tugaskan di Kem Terendak, Melaka.


    Sulaiman telah bersara pada 29 Jan 1987 dengan pangkat terakhirnya ialah LKpl. Selepas bersara beliau banyak menghabiskan masa dengan bercucuk tanam manakala isterinya berniaga secara kecil-kecilan. Menurutnya lagi beliau merupakan insan yang bertuah kerana umurnya masih panjang dan tidak terkorban semasa bertempur menentang pengganas komunis semasa melaksanakan operasi.


    Walaupun telah bersara darah pahlawan yang mengalir dalam tubuhnya tidak akan hilang, beliau masih lagi bersemangat untuk berjuang mempertahankan tanah air kerana masih terpahat dihatinya kata-kata keramat RRD iaitu Agi Idup Agi Ngelaban dan berharap generasi kini tidak mudah alpa dengan keamanan yang dikecapi kini serta harus berterima kasih kepada pejuang terdahulu. Sesungguhnya keamanan hari ini adalah hasil keringat titik peluh perwira terdahulu yang bermati-matian mempertahankan tahanair bagi terciptanya keadaan hari ini.

  • PANTANG MAUT SEBELUM AJAL: Rjr Kuna Sagaran A/L T.S Mogan

    PANTANG MAUT SEBELUM AJAL: Rjr Kuna Sagaran A/L T.S Mogan

    [dropcap]P[/dropcap]agi itu suasana di Kem Bentong agak tenang. Kuna mengayuh basikalnya menuju ke pejabat seperti biasa. Jam menunjukkan tepat 7.45 pagi. Pagi itu, anggota Kompeni Alpha perlu berbaris jam 0800 untuk melaksanakan gotong-royong di sekitar kawasan kem. Di masa aman, itulah aktiviti yang dilaksanakan oleh Batalion Pertama Rejimen Renjer Diraja selain daripada latihan dan urusan pentadbiran. Sedang mereka sibuk mengemas tiba terdengar jeritan Sarjan Mejan Platun Pertama memecah keheningan suasana. “Platun!! Siap sedia. Pulang ke rumah sekarang dan buat persiapan peralatan. Tepat jam 1400 semuanya berada di sini! Kita akan masuk ke kawasan operasi!” lantang suara Sjn Ambau memberikan arahan. Mereka sedikit pun tidak terkejut dengan amaran yang diberikan oleh Platun Sarjan mereka. Bagi mereka ini semua adalah perkara biasa. Kuna mula bangun menepuk rumput kering yang melekat di bajunya. “Daripada OC, sesiapa yang lewat, akan disumbat masuk guardroom!”, Sjn Ambau kembali bersuara. Jam menunjukkan tepat 11.00 pagi. Kuna terus bergegas pulang.

    Meskipun masih awal, Kuna tetap gerun dengan Pegawai Pemerintahnya, Kapt Lim Kaw. “Mahu kena caj BAT D 200 nanti. Orang tua tu bukan boleh percaya. Dia seorang yang kotakan kata-katanya”, bentak hati Kuna seraya meninggalkan Company Line. Sebelum pulang, beliau pesan kepada rakan-rakanya. “Tolong ambilkan bag pack aku dan draw peluru serta senjata aku. Aku mahu pulang ke rumah nak tukar pakaian. Nanti aku bawakkan makanan”. Tersenyum rakan-rakannya mendengar ‘upah’ daripada Kuna. Manakan tidak semua sedia maklum masakan isterinya, sambal tumis ikan bilis memang enak!

    48 Hari Usia Perkahwinan

    Kuna telah tiba di rumahnya. Isteri beliau Kalliamah segera membuka pintu. “Ennaiku sikiram vettuku poitea?” isteri beliau bertanyakan mengapa suaminya pulang awal. “En anbe, mama veliku poganun tuni mani edutu vai”, balas Kuna menyatakan beliau perlu masuk ke kawasan operasi dan meminta isterinya menyiapkan pakaiannya. Kalliamah sudah biasa dengan keadaan ini. Masa mereka bertunang dahulu, baru sahaja dua jam bertunang, Kuna sudah dipanggil balik ke pasukan untuk pergi operasi.

    Rjr Kuna semasa muda

    Hari itu, usia perkahwinan mereka baru sahaja mencecah hari ke-48. Walaupun sudah biasa, namun bohonglah beliau untuk tidak merasa risau. Isteri mana yang tidak sayangkan suami. Suaminya inilah satu-satunya insan yang paling dicintainya. “Mama, pattu poittu vannga. Uddamba pattukunga!”, pinta Kallamah kepada suaminya untuk berhati-hati semasa menjalankan tugas demi kedaulatan negara. Kuna hanya senyum sambil memandang tepat kepada isterinya. “I love you”, terus beliau meninggalkan rumahnya. Entah mengapa perasaan Kalliamah sedikit tidak tenteram.

    Tetapi diabaikan sahaja perasaan itu. Mungkin kerana kerisauan terhadap suaminya. Lambaian tanpa rela mengiringi Kuna.

    Bergerak

    Tepat jam 1400, tayar mula bergolek. Platun 1 Kompeni Alpha diketuai oleh Kapt Raja Kamarul Zaman. Semasa dalam perjalanan, Allahyarham Mat Jimmy membuka tin nenas dan mempelawa semua rakan-rakannya makanan itu. “Dey Jimmy, ini hari hari pertama puasa. Lu sudah tidak puasa ka?”, Kuna bertanyakan kepada rakan baiknya itu. Hari itu, 28 Ogos 1976. Segar diingatannya.

    Sebaliknya, rakan karibnya membalas, “Mari..mari.. mari…mari makan. Hari ni mati kita. 10,000 siapa tak percaya!”. Kuna sentap juga dengan kenyataan rakannya itu. “Dey jangan mengarutlah!”, balas Kuna. Kenderaan 3 tan yang dinaiki bergegar-gegar. Jalan itu memang teruk. Mereka melalui Jalan Tanjung Rambutan menuju ke Chemor. Laluan yang mereka gunapakai melalui ladang getah dan kebun tinggalan tanaman teh. Terhoyong-hayang 20 kepala besi dalam 3 tan itu.

    Jeritan Misteri

    Tiba-tiba terdengar jeritan misteri tetapi sayup ditelan bunyi deruman enjin 3 tan yang mereka naiki. Kapt Lim Kaw mengarahkan semua kenderaan diberhentikan. Satu seksyen turun daripada kenderaan dan memerhatikan keadaan sekeliling. Mereka berada di kawasan yang agak curam. Sunyi! “Tiada apa-apa tuan di sini!”, anggota yang memeriksa kawasan memberi maklumbalas kepada Pegawai Pemerintah Kompeni Alpha itu. “Okey! Kita teruskan perjalanan!” arah Kapt Lim Kaw.

    Bersama-sama rakan seperjuangan

    Mereka meneruskan perjalanan hingga ke puncak bukit. Kuna turun terlebih dahulu memandangkan beliau adalah kumpulan tinjau hadapan kompeninya Di belakangnya adalah Kpl Lobang dan Mat Jimmy adalah orang yang ketiga dalam kumpulan tinjau itu. “Eh Kuna! Saya mahu cari tempat jauh sikitlah dari OC untuk buat base kita. Tak mahulah duduk dekat-dekat dengan dia. Nanti tak boleh buat bising. Mahu dia melenting dengan kita nanti”, ujarnya berseloroh.

    Sememangnya semasa operasi di dalam hutan tidak boleh membuat bunyi bising kerana dikhuatiri kedudukan base mereka terdedah kepada musuh. Tetapi, Kuna tahu, rakannya itu bukanlah seorang yang suka ingkar arahan, tetapi hanya suka berbual ketika berada di kawasan operasi. Maklumlah, siapa yang tidak bosan jika 24 jam mulut terkunci tanpa keluar sepatah kata. Namun, Kuna juga sering mengingatkan rakannya agar nada suara itu cukup hanya sekadar didengari oleh mereka berdua sahaja. Baginya, keselamatan seluruh pasukan adalah lebih penting dan mereka tidak boleh terlalu mementingkan diri.

    Kuna kembali memerhatikan keadaan sekeliling. Agak tenang. Namun lirik matanya sentiasa waspada dan peka dengan suasana persekitaran. DAMM!! DAMM!!! Dua das letupan tembakan kedengaran tidak tahu dari arah mana. Kuna bingkas tunduk dan memerhatikan keadaan sekeliling. Kpl Lobang yang terkejut dengan bunyi itu terus meloncat dan bertanyakan Kuna. “Kuna, kamu tembak babi ke?”. tanya beliau. Kuna seraya menjawab “Eh! Mana ada Kpl. Saya tidak melepaskan tembakan pun!” balas beliau lantas meneruskan pemerhatiannya. “Bunyinya dekat betul!”, bisik hati Kuna. Kuna menoleh ke belakang. “JIMMY!!!”, Kuna menjerit melihat rakan karibnya sudahpun tersungkur!

    “MUSUH!!!”, Kuna menjerit. Terus satu platunnya berada dalam keadaan stand-to siap sedia untuk berbalas tembakan. Namun tidak kelihatan. Semua menunggu Kuna untuk memberi arah kedudukan musuh. Suasana sepi seketika. Tiba-tiba ternampak empat kelibat musuh lari bergelimpangan berpecah ke arah berasingan menuju ke arah bukit. Kuna selaku tim tinjau tangkas bangun dan ligan seorang daripada anggota musuh tersebut.

    Kapt Lim Kaw yang melihat Kuna yang terus berlari turut berlari bersama-sama anggota semboyannya sambil menjerit “Agi Idup Agi Ngelaban!!”, mengejar musuh-musuh yang lain. Kuna memang kagum benar dengan keberanian luar biasa OC beliau. Selama beroperasi bersama-sama Pegawai Pemerintahnya itu, memang banyak tindakan berani yang dipamerkan dan wajar dijadikan contoh.

    Ditendang

    Kuna terus mengejar dan kini beliau tiba di satu kawasan tanaman teh di lereng bukit. Seingat beliau, pokok teh itu hanya setinggi paras pinggang. “Mana pulak si jahanam ni pergi!”, Kuna berang apabila musuh yang dikejarnya sudah tidak kelihatan lagi. Kuna tunduk dan mengamati persekitaran. “Krak…krakk..”, bunyi ranting pokok kedengaran.

    Kuna tunduk perlahan-lahan menuju ke arah bunyi yang tidak sampai empat kaki dari jarak kedudukannya. Tiba-tiba pandangan Kuna hanya ternampak tompok-tompok awan. Telinga beliau berdengung. Apa yang dialami oleh beliau adalah tendangan yang paling kuat pernah beliau rasakan sepanjang beliau bernafas di dunia ini. Telinga beliau berdengung. Mata beliau terpana melihat musuh yang dikejarnya berdiri tegak di depan mata tidak berbaju, tatu memenuhi badan dan berambut pendek tepat memandang ke arah mukanya.

    Beliau terpaku! Bam! Bam!! Dua das tembakan musuh itu lepaskan. Namun, tidak kena Kuna sebaliknya pasir yang berterbangan. Hanya jarak 20 inci sahaja tembakan itu tersasar dari kepalanya. Tiba-tiba kendengaran bunyi tembakan bertubi-tubi yang membuatkan musuh lari berdecit meninggalkan Kuna yang terpinga-pinga. Kuna melihat Kpl Labo dan Kapt Kamarul sedang menuju ke arahnya sambil memberikan tembakan perlindungan. Kuna yang melihat bantuan yang telah tiba bingkas bangun dan menembak ke arah musuh itu menggunakan senjata M16 A. Namun, musuh itu berjaya melepaskan diri.

    Belon

    Sejurus itu, rakannya Rjr Alias tiba di lokasi kejadian. “Kuna! kau okey?” beliau bertanyakan kepada Kuna. Belum sempat Kuna membalas keadaan beliau baik, Alias sekali lagi bertanya, “Eh? Mengapa baju kau basah?”. Kuna terus melihat bajunya di bahagian perut sebelah kiri. Apa yang dilihat adalah amat mengejutkan! Dibahagian hadapan perut beliau telah berlubang dan di bahagian belakangnya pula gelembung bagaikan belon. Rupa-rupanya, tendangan yang dirasakan oleh beliau sebentar tadi adalah efek tembakan dari jarak dekat oleh musuh durjana itu.

    Kuna menunjukkan kesan kecederaan yang dialaminya

    Seraya daripada itu, pandangan mata Kuna mula gelap dan badannya terasa amat panas. Kuna meminta air. Tetapi tiada siapa yang berikannya air. Manakan tidak, mereka baru sahaja pergi ke kelas combat medic dan diingatkan oleh doktor, sekiranya terkena tembakan, jangan berikan air kepada mangsa sehingga dapat kebenaran daripada pegawai perubatan. Kuna terus dibawa ke hospital bagi mendapatkan rawatan.

    Setibanya di hospital, Kuna sekali lagi diuji apabila dijahit ‘hidup-hidup’ oleh tim perubatan. Matanya memerhati sahaja jarum itu menjahit perutnya bagai kain perca. Beliau tidak boleh dibius kerana dikhuatiri keadaan akan lebih memudaratkan. Perut beliau kini selamat dibalut. Tali usus beliau telah dibuang. Sejurus itu, Kalliamah tiba. Hanya jejeran air mata sahaja yang diperhatikan jatuh dari mata isteri tercinta. Kuna tersenyum dan berkata pada isterinya, “Sayang, jangan risau! Abang selamat!!”. Itulah kisah Rjr Kuna Sagaran A/L T.S Mogan semasa melaksanakan operasi di Chemor, Perak.

    Berhenti Awal

    Kuna telah menamatkan perkhidmatan setelah berkhidmat selama 13 tahun. Beliau terpaksa menamatkan perkhidmatan atas faktor kesihatan dan tidak suka pentadbiran ketika itu. “Anggota sekarang sepatutnya bersyukur dengan suasana organisasi sekarang. Dahulu, tiada siapa nak jaga kebajikan kami melainkan di kalangan kami sendiri. Salah sikit caj dan tiada kompromi langsung! Sekarang, golongan muda seharusnya seronok bekerja kerana pemimpin atasan sudah banyak bertoleransi dan berkompromi dengan mereka”, ujarnya berseloroh.

    “Jangan kata saya tidak cintakan negara! Ada ke orang yang tidak cintakan negara sanggup terus berkhidmat apabila sudah kena tembak? Saya cuma tidak boleh terima keadaan organisasi pada waktu itu sahaja. Sekiranya dipanggil untuk pergi berperang sekarang, saya sanggup untuk pergi berperang!”, sambungnya lagi.

    Harapan

    Ditanyakan apakah harapan beliau kepada organisasi ATM kini, beliau hanya menjawab, “Sekarang seronok melihat pucuk pimpinan menjaga kebajikan warganya dan veteran ATM. Tetapi entah mengapa, bagi saya agak sukar untuk perolehi “kebajikan” itu. Niat murni pemimpin atasan amat saya kagumi. Tetapi, “mereka” yang melaksanakannya sedikit mengecewakan.

    Bersama-sama isteri dan tiga orang anaknya yang tercinta

    “Contoh seperti keadaan saya, apabila memohon bantuan, saya akan pergi ke Jabatan Hal Ehwal Veteran Perak (JHEV), tetapi apabila setibanya disana, saya diarahkan untuk pergi ke Markas JHEV di Kuala Lumpur pula. Di sana pula, saya diarahkan untuk memohon sumbangan di JHEV Perak kembali. Saya ni ‘sakit’, janganlah buat saya ke sana dan ke mari”, ujar beliau sambil ketawa.

    Beliau mengharapkan agar kebajikan warga veteran agar sentiasa terpelihara sebagaimana yang telah dijanjikan pucuk kepimpinan tertinggi ATM.

  • SSjn Md Ali Ahmad PGB

    SSjn Md Ali Ahmad PGB

    [dropcap]S[/dropcap]aya memasuki tentera disebabkan semangat berkobar-kobar untuk mempertahankan tanah air pada 1970, unit asal saya ialah Artileri tetapi disebabkan tertarik dengan nama elit komando, saya memohon untuk menyertainya pada tahun 1971 kata SSjn (B) Md Ali Ahmad PGB semasa di wawancara oleh wartawan Berita Tentera Darat Malaysia Sjn Nurulhaswani Ruzaini bersama jurugambar BTDM, SSjn Vijay Gaundar Arikrishnan di kediaman beliau.

    Mengimbas kembali sejarah silam 44 tahun yang lalu pada tanggal 19 Apr 1974 ketika beliau menyertai Operasi Gonzales di Ipoh, keadaan pada waktu itu sangat kecoh apabila Platun Nombor 9 Batalion Ketiga Rejimen Renjer (3 Rjr) telah bertempur dengan pengganas komunis di Hutan Simpan Bukit Kinta berhampiran Sungai Siput Perak. Tpr Md Ali Ahmad ketika itu berusia 23 tahun dan baru dua tahun menyertai skuad elit berkenaan. Sebaik berita itu sampai ke telinga anggota Trup Nombor 9, Skuadron Z Rejimen Gerak Khas (RGK) yang berada di situ, mereka lantas mempersiapkan diri untuk melaksanakan operasi susulan bagi memburu musuh tersebut.

    Pada 18 Apr 1974, kumpulan Md Ali berkekuatan seramai 32 anggota yang diketuai oleh Lt M Zainal Abidin Husein telah diterbangkan menggunakan dua buah helikopter Nuri ke kawasan pertempuran dan diturunkan menggunakan cara abseiling bagi membantu Platun 9 dari 3 Rjr.  Mereka turut dibantu oleh satu pasukan kombat dari Pusat Latihan Tempur Tentera Darat (PULADA) termasuk seekor anjing pengesan yang bernama Ben dan dikendalikan oleh Sjn Chandran Gaing.

    Ketika dalam penerbangan menuju ke kawasan operasi, kesemua anggota terbabit melayan perasaan masing-masing dan tidak berbual diantara satu dengan yang lain kerana telah tersemat difikiran mereka untuk menghapuskan komunis yang membuat huru hara serta menimbulkan banyak kesengsaraan kepada penduduk setempat. Bagi mereka, keselamatan serta keamanan negara perlu diberi keutamaan. Setibanya di kawasan pendaratan yang ditetapkan berhampiran sebuah bukit, kesemua anggota skuadron tersebut terjun dari helikopter dengan kaedah teknik abseiling pada ketinggian kira-kira enam meter.

    “Apa yang mencabar semasa Op Gonzales adalah kesemua anggota dalam skuadron ketika itu perlu bersiap sedia untuk diturunkan melalui helikopter  ke tempat operasi kerana komunis ketika itu menggunakan taktik hit and run”, jelas Md Ali.  Sejurus tiba di lokasi, beliau dan empat lagi rakannya diarah untuk terjun lebih awal dari helikopter bagi memastikan kawasan itu selamat sebelum helikopter menurunkan semua anggota yang lain.

    “Baru beberapa anggota turun, kami terdengar bunyi tembakan. Terdetik di hati saya bahawa musuh sedang menanti kami,” katanya.  Apabila tiba giliran Tpr Md Ali Ahmad untuk turun, beliau terus bergegas terjun dari pesawat untuk mencari tempat perlindungan tanpa menggunakan tali yang disediakan. Beliau tercari-cari kawasan musuh yang sedang bersembunyi tetapi hampa kerana gagal menemuinya.

    “Kami langsung tidak dapat mencari di mana arah bunyi tembakan yang dilepaskan. Selepas helikopter berlalu pergi, kami tidak lagi mendengar sebarang bunyi tembakan. Dan pada waktu itu, musuh telah berlari untuk mencari perlindungan dan kami pun mengatur strategi bagaimana untuk memburu mereka,” ujarnya lagi.  Selepas yakin bahawa musuh telah tiada, seorang demi seorang bangun untuk meninjau kawasan sekeliling, baru beberapa langkah bergerak tiba-tiba mereka dikejutkan oleh suara rakan yang menjerit. “Jerangkap samar! Jerangkap samar!”

    Anggota tersebut ternampak beberapa wayar merintang di sekitar kawasan tersebut dan selepas diteliti rupanya ia tidak disambung ke mana-mana jerangkap samar, sebaliknya hanya helah musuh untuk menakutkan mereka yang diketahui akan mendarat disitu. Tidak lama selepas mendarat, mereka dimaklumkan pengganas komunis yang diburu telah bertempur dengan satu satu pasukan ronda dari Batalion Kelima Rejimen Askar Melayu Diraja (5 RAMD) pada satu lokasi 15 kilometer dari kedudukan pasukan Md Ali.

    Keesokannya ketika fajar telah menyinsing, Terup No 9 bersama anjing pengesan Ben meneruskan penjejakan dan kemudiannya bercantum dengan satu platun dari 5 RAMD. Selepas makan tengahari mereka mula melancarkan gerakan dengan didahului oleh Ben. Sepanjang perjalanan banyak jerangkap samar yang ditemui dan sebahagian daripadanya tidak dipasang dengan teliti mungkin kerana kesuntukan masa. Selepas melepasi kawasan jerangkap samar, mereka menemui banyak jejak-jejak musuh termasuk lorong yang dilalui oleh musuh yang dipercayai seramai 25 hingga 30 orang.

    Lewat petang itu mereka akhirnya sampai ke satu kawasan kaki bukit yang mempunyai dua lorong dan disebabkan itu Lt M Zainal Abidin Husein memecahkan terup kepada dua kumpulan. Satu kumpulan diketuainya sendiri manakala satu lagi diketuai oleh Lt M M. Anuwa Mohamad Daud.

    Md Ali menyertai kumpulan Lt M Zainal Abidin Husein yang akan melalui satu kawasan lereng bukit manakala kumpulan satu lagi bergerak terus mengikuti permatang dan mereka dijangka berjumpa semula di atas bukit untuk bermalam. Pergerakan kumpulan Lt M Zainal Abidin Husein didahului oleh seorang anggota Orang Asli yang bernama Pbt Mat Amin. Setelah melalui lorong tinggalan musuh buat beberapa ketika mereka akhirnya sampai ke satu anak air.

    Ketika Tpr Md Ali melangkah untuk melintasi kawasan tersebut, tiba-tiba mereka dihujani tembakan dari atas bukit sebelah kanan dan salah satu tembakan musuh telah mengenai Pbt Mat Amin. “Masa tu apa yang saya tahu kami telah memasuki kawasan serang hendap musuh dan jika lambat bertindak pasti kami semua akan mati,” ujarnya lagi. Sewaktu sibuk mencari tempat berlindung, entah bagaimana Lt M Zainal Abidin Husein telah cedera selepas lututnya terhentak batu dan mengakibatkannya sukar untuk bergerak. Selepas membantu ketua terup mencari tempat berlindung, Tpr Md Ali dengan berani bergerak ke depan sambil melepaskan tembakan senjata M16 ke arah kedudukan musuh dengan dibantu oleh rakan-rakan yang lain

    Dalam keadaan cemas itu, tiba-tiba kedengaran Ben melolong akibat terkena dua das tembakan pengganas dan akhirnya mati dalam dakapan Sjn Chandan. Hati Tpr Md Ali semakin geram, berbekalkan pengalaman bertempur di Sibu, Sarawak setahun sebelum itu beliau terus mara ke atas bukit dengan lebih pantas tanpa menghiraukan tembakan musuh ke arahnya. Tpr Md Ali memanjat tebing curam seorang diri untuk memastikan beliau berjaya di atas bukit untuk membolehkannya melihat musuh dengan lebih jelas.

    “Sewaktu itulah saya terserempak seorang musuh yang hendak melemparkan bom tangan ke arah rakan saya, jaraknya hanya tiga meter di depan saya. Melihat itu, saya terus melepaskan tembakan semburan dari senjata saya dan tepat mengenai kepalanya,” terang beliau lagi. Sebelum itu ada musuh yang melemparkan beberapa butir bom tangan tetapi yang anehnya semua tidak meletup.

    Selepas musuh pertama berjaya ditumpaskan, Tpr Md Ali terus mara dan ternampak lagi seorang musuh lalu ditembaknya. “Musuh itu akhirnya mati juga selepas ditembak oleh saya dan beberapa rakan yang lain,” katanya.  Melihat dua rakan mereka telah mati, ketua musuh mengarahkan pasukan mereka berundur dan ketika itu juga, salah seorang daripada mereka telah bertembung dengan kumpulan Lt M M. Anuwa Mohamad Daud.

    Md Ali Ahmad segak dengan seragam GGK

    Dalam keadaan kelam-kabut itu, Tpr Abu Kasim telah cedera terkena sedas tembakan musuh. “Kemudian musuh didapati berlari menuju ke arah satu lereng curam dan terjun ke satu kawasan gaung untuk menyelamatkan diri. Saya dengar banyak bunyi benda terhempas, tak tahulah sama ada musuh terjatuh atau barang yang terhempas,” kata Tpr Md Ali lagi.

    Biarpun begitu, seksyen yang diketahui oleh Sjn Rahmat Suratman sempat menembak ke arah dua orang musuh sehingga cedera sebelum mereka hilang di celah-celah pokok di dalam gaung. Sewaktu penggeledahan dilakukan, mereka kemudiannya menemui 20 beg galas musuh berisi pakaian, ubat-ubatan dan makanan serta dua laras senjata iaitu sepucuk senjata automatik Thompson Submachine Gun 45 model 1928 dengan tiga kelopak dan 65 butir peluru serta sepucuk Sten Gun bersama dua kelopak. Turut dijumpai 161 butir peluru 9 mm dan 30 butir peluru point 22, beberapa butir bom tangan serta tiga mayat musuh.

    Pada malam itu, anggota terup terpaksa bermalam bersama mayat musuh sebelum manyambung tugas penjejakan selama seminggu disitu mulai esoknya. Namun, musuh gagal juga ditemui dan sekembalinya anggota terup ke Kem Tambun mereka disambut oleh Pegawai Memerintah RGK semasa itu, Lt Kol Borhan Ahmad.

    “Dua perkara yang tidak boleh saya lupakan sehingga hari ini adalah kata-kata penghargaan daripada Lt Kol Borhan Ahmad dimana beliau menyatakan bahawa saya adalah hero beliau kerana berjaya menewaskan musuh selepas diserang hendap. Selain itu, saya tidak lalu makan selama seminggu selepas asyik terbayangkan rupa dan bau hanyir otak musuh yang berkecai selepas ditembak,” ujar beliau sambil mengimbau kembali nostalgia yang tidak akan dilupakannya.

    [divider style=”solid” top=”20″ bottom=”20″]

    [box type=”info” align=”” class=”” width=””]

    Md Ali Ahmad menerima pingat PGB dari Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Abdul Halim Mu’adzam Shah Ibni Almarhum Sultan Badlishah pada tanggal 5 Jun 1974

    SSjn (B) Md Ali Ahmad dilahirkan pada 23 Jan 1951, di Kg Serkam, Merlimau Melaka. Beliau memasuki Angkatan Tentera Malaysia pada 27 Jun 1970 ketika berusia 19 tahun dan unit asal beliau ketika itu adalah Artileri tetapi disebabkan tertarik dengan nama elit komando beliau membuat permohonan lalu menyertainya pada tahun 1972. Beliau ditempatkan dalam Skuadron Z, Regimen Gerak Khas (RGK) dan ditugaskan sebagai pasukan simpanan naungan Markas Divisyen Kedua Infantri Malaysia dan ditempatkan di Kem Tambun, Ipoh Perak Beliau dianugerahkan Pingat Panglima Gagah Berani (PGB) oleh Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Abdul Halim Mu’adzam Shah Ibni Almarhum Sultan Badlishah pada tanggal 5 Jun 1974 selepas dua bulan pertempuran Op Gonzales. Apa yang membanggakan adalah penganugerahan ini menjadikan beliau anggota komando termuda yang menerima pingat PGB ketika usianya 23 tahun. Tiga tahun selepas itu beliau bertukar ke Cawangan Penyiasatan Khas, Kor Polis Tentera sehinggalah menamatkan perkhidmatan dengan pangkat terakhir beliau SSjn pada tahun 1991. SSjn Md Ali Ahmad mendirikan rumah tangga bersama Rohaya Mohd Shah pada tahun 1977 dan dikurniakan lima cahaya mata perempuan dan tiga cahaya mata lelaki. Beliau yang merupakan anak jati Merlimau, Melaka meneruskan kehidupan dengan melakukan kerja-kerja kampung di usianya 67 tahun. Mata sebelah kiri beliau telah buta akibat kemalangan jalan raya. [/box]

  • PANTANG MAUT SEBELUM AJAL

    PANTANG MAUT SEBELUM AJAL

    Aku akan pastikan kau mati!! Aku akan bunuh kau! AKU AKAN BUNUH KAU!!!”, hati Pbt Zi menjerit-jerit kegeraman. Rakan baiknya dibunuh di depan mata sendiri dengan kejam! Beliau kini telah tekad. Hutang nyawa dibalas nyawa. Zi menyasarkan senjata SLR miliknya ke arah komunis yang cuba mengambil senjata Wahab. Sedang pengganas itu tunduk tanpa berlengah Zi melepaskan tembakan. Tersungkur pengganas itu menyembah bumi.

    Siap Sedia

    “OC Kompeni Alpha! Siap Sedia! Panglima arahkan kompeni kamu untuk mencari dan memusnahkan musuh di kawasan Kuak Tengah!”, suara Pegawai Memerintah Batalion Ke-12 Rejimen Askar Melayu Diraja (12 RAMD), Lt Kol Raja Aman Shah menyentak Kapt Abd Latif yang sedang khusyuk membuat laporan rondaan tengah hari tadi.

    Petang itu pada 3 Jun 1970, sekitar jam 2.30 petang, Markas Briged Keenam Infantri Malaysia (6 BGD) telah menerima laporan bahawa kelihatan lima orang pengganas, tiga daripadanya lelaki dan dua wanita sedang berada dalam keadaan keletihan bertanyakan penduduk Kampung Kuak Tengah jalan untuk pergi ke sempadan. Meskipun unit subunit terdekat dengan kawasan tersebut adalah Kompeni C 13 MTA, namun Panglima 6 Bgd, Brig Jen Mohd Usoff Abu Bakar memutuskan untuk menghantar 12 RAMD yang berada di Klian Intan ke kawasan tersebut.

    Setelah mendengar perintah operasi daripada Lt Kol Aman, sekitar jam 3.30 petang, Kapt Latif dan anggotanya bergerak ke Kampung Kuak Tengah.

    Kuak Ulu

    Jam tepat menunjukkan waktu 4.30 petang. Zi dan anggota kompeninya diturunkan di Dewan Orang Ramai kampung tersebut. Setibanya di sana, mereka telah dibawa oleh seorang pemuda kampung untuk menunjukkan kawasan pinggir hutan. “Makcik, ada nampak sekumpulan komunis di kawasan ini?”, Kapt Latif bertanyakan penduduk kampung. Itulah yang dilakukan oleh beliau sepanjang melewati denai menuju ke kawasan hutan tersebut. Rata-rata daripada mereka memberikan jawapan yang sama. Musuh sedang bergerak ke Kuak Ulu!

    Rumah Terpencil

    Setibanya di penghujung kampung, mereka telah ternampak tiga buah rumah berada di kawasan yang terpencil. Kapt Latif memutuskan untuk bertanyakan setiap penghuni rumah tersebut. Kembalinya Kapt Latif dari rumah-rumah tersebut, Zi melihat wajah Pegawai Memerintahnya mempamerkan kerunsingan. “Semua tidak boleh pakai. Jawapan yang mereka bagi amat mencurigakan!”, bentak Kapt Latif. “ Kita bagi dua kumpulan! Hassan! kau bawa Platun Satu lalu denai ke arah sebelah kanan ini dan tuju ke sempadan Malaysia-Thailand!”, arah Kapt Latif kepada Lt M Wan Hassan. “Platun Dua! Kamu semua akan berada di belakang Markas Kompeni!”, arah Latif kepada PW II Lemmat Talib yang merupakan Komander bagi platun tersebut. “Lt M Sharifuddin! Kamu bawa Platun Tiga menghala ke atas bukit dan terus ke arah sempadan!”, arahnya lagi.

    Pbt Zi Yaacob segak dengan pakaian seragam RAMD

    Melihatkan pejuang-pejuang negara ini menuju ke arah masing-masing, pemuda yang menemani mereka tadi terus meminta untuk tidak turut serta menjadi pemandu arah mereka. “Tuan, bolehkah saya pulang dahulu. Saya tidak membawa sebarang bekalan makanan, tidak ada senjata, malah ibu bapa saya juga tidak tahu saya ke sini.”, kata pemuda itu berseloroh. Zi yang melihat keadaan itu faham benar keadaan pemuda tersebut. Pemuda itu mesti  berada dalam keadaan ketakutan. Manakan tidak, beliau masih muda dan tidak pernah mengikuti sebarang latihan ketenteraan. Kapt Latif membenarkan pemuda tersebut beredar meninggalkan mereka.

    Sebelum pemuda itu pergi, pemuda itu berpesan, “Tuan! Kalau tuan hendak bergerak nanti, ikutlah jalan di sebelah bawah. Kalau tuan turuti jalan di atas, maklum sajalah orang-orang tuan pun dah letih.” kata pemuda itu sambil menudingkan tangannya ke arah denai yang dimaksudkan. “Baiklah! Kamu boleh pulang.”, balas  Kapt Latif.

    “Kpl Adnan! Kau pergi buat tinjauan kat depan tu”, arah  Latif kepada Ketua Seksyen Satu, seksyen Pbt Zi. Tanpa banyak bicara, Adnan terus mebuat tinjauan di hadapan. Selang beberapa ketika, Kpl Adnan telah kembali semula. “Macam mana Nan?”, Kapt Latif bertanya. “Tiada apa tuan! Semua Clear! Tiada perkara mencurigakan”, balas Kpl Adnan lagi. “Baiklah! Kamu semua boleh bergerak sekarang!”, seraya Kapt Latif  memberi arahan.

    Perasaan Ganjil

    Pbt Zi dan anggota seksyennya mula bergerak ke haluan yang telah ditetapkan.Seksyen Satu mula menyusuri denai hingga ke kawasan pinggir hutan.

    Bersama dengan seorang rakannya di 12 RAMD

    Waktu menunjukkan 5.15 petang. Platun Zi kini telah tiba di kaki bukit yang mana di atasnya terdapat jalan balak lama. Mereka semua diarahkan untuk berehat dan mencari tapak untuk berkhemah memandangkan hari telah pun hampir malam. Sewaktu berehat, rakan-rakan Zi mengambil kesempatan untuk makan dan minum. Entah kenapa Zi tidak berselera pada masa itu. “Zi mai la makan”, ajak sahabatnya itu. “Maaflah pok, aku rasa kurang selera lah hari ni. Nanti kalau lapar aku makan ya”, ujar Zi kepada sahabatnya itu.

    Memang sungguh Zi terasa ada sesuatu yang pelik berlaku pada dirinya. Malah tadi semasa buang air kecil pun bulu romanya naik meluap semacam sahaja. “Ayuh semua! Kita gerak sekarang!”, Kapt Latif memecah lamunannya. Mereka meneruskan perjalanan.

    Babi

    Seksyen Pbt Zi mengetuai setelah 10 minit berjalan di jalan balak lama itu, peninjau hadapan Seksyen Satu, Pbt Mustaffa tiba-tiba berhenti dan terpaku. Beliau ternampak satu susuk yang agak pelik. Terus dipanggil Penolong Ketua Seksyennya, LKpl Mohd Shobian. “Kpl, tengok kat depan tu. Ada babi baru lepas berkubanglah!”, seraya menunjukkan ke arah susuk berlumpur berwarna kuning kemerahan sama seperti warna jalan balak yang mereka lalui.

    LKpl Shobian terus memandang tepat ke arah susuk itu. Matanya fokus mengenalpasti apakah yang dilihat oleh beliau. ‘Babi’ yang menyedari dirinya diperhatikan oleh Shobian terus bangun dan lantas terjun ke kubunya. Aksi ‘babi’ itu terus memberi keyakinan kepada Shobian tentang apa yang dilihatnya. “BANDIT!!!!!!!!!!!!!”, jerit LKpl Shabian.  Namun semua telah terlambat. Mereka betul-betul berada di kawasan serang hendap musuh. Pengganas Komunis yang memang sudah lama menunggu pelanduk masuk ke jerat. Nah! Bagaikan makanan terhidang, penyangak negara ini rakus melepaskan tembakan.

    Serangan Bertalu

    Pbt Zi yang melihat keadaan yang penuh huru-hara itu terus terjun  ke bahu jalan balak mencari perlindungan. Beliau ketika itu bersama-sama Pbt Wahab kerana mereka berdua adalah anggota senjata bantuan. Wahab mengendalikan senjata General Purpose Machine Gun (GPMG) manakala Zi pula membawa pelurunya.

    Zi memerhatikan keadaan sekeliling. Bunyi peluru bersimpang-siur kedengaran di atas bahu jalan silih berganti dentuman letupan. Beliau ternampak  Ketua Seksyennya, Kpl Adnan turut sama berlindung di bahu jalan tersebut. Belum sempat dipanggil, BAMMM!!! Letupan jerangkap samar membaham Kpl Adnan terus beliau rebah di situ. Bahangnya terasa kerana dekat sekali dengan Pbt Zi. “Kpl!!! Jerit Zi. Kpl Syed Mustafa yang turut melihat kejadian itu, lantas berlari ke arah Kpl Adnan namun nasibnya juga malang apabila beberapa das tembakan menembusi dadanya dan beliau rebah bersebelahan Adnan.

    Keadaan semakin tegang. Hujan peluru dan letupan berlarutan hampir satu jam. Moral mereka semakin lemah dengan keadaan itu. Tembakan seksyen mereka kurang berkesan memandangkan kedudukan musuh amat strategi berada di puncak bukit.

    “Wahab! Kenapa?”, Zi bertanyakan kepada Pbt Wahab setelah melihat beliau bertungkus-lumus cuba menggunakan GMPG yang dilihat tidak berfungsi pada masa itu. “tak boleh! Senjata ni rosak. Mungkin terkenan serpihan letupan jerangkap samar sebentar tadi. Jantung Pbt Zi berdegup kencang. Senjata bantuan yang paling penting itu tidak dapat digunakan. Ini merupakan satu jurang yang besar dalam pertempuran mereka. Zi cuba untuk sembunyikan kegusaran beliau apabila melihat Wahab bersungguh-sungguh mencuba memastikan senjata itu berfungsi kembali.

    Perwira Rebah

    Keadaan mula sunyi sepi. Tembakan telah berhenti. Wahab masih lagi gigih membaiki senjata bantuan mereka. “Search Party! Keluar!”, kedengaran suara pengganas berteriak. Lalu kelihatan tiga musuh, salah seorang daripadanya adalah wanita keluar dari balik rumpun yang dijadikan tempat perlindungan.

    Ingatan rakan-rakan yang gugur masih segar di ingatan Zi Yaacob pada usia 86 tahun

    Zi yang melihat  keaadaan itu memanggil Wahab yang berada beberapa meter daripadanya. “Musuh datang!”, suara Zi separuh berbisik sambil melambai-lambai memanggil Wahab. Namun, Wahab tetap tidak mahu meninggalkan senjatanya. Beliau tetap meneruskan tekad dan usaha memastikan senjata itu kembali berfungsi sepenuhnya.

    Pengganas komunis wanita ternampak tindak-tanduk Wahab tetapi tidak beliau perasan Zi berada di sebalik rumpun berdekatan dengan Wahab. Tanpa berlengah, DAM!! Terpaku Zi melihat peluru menembusi dari kanan ke kiri kepala Wahab. Seorang  pengganas bersama-sama wanita itu bergerak menghampiri Wahab yang  terkulai layu untuk mendapatkan senjatanya.

    Zi hanya memerhatikan setiap gerak-geri pengganas itu dengan penuh geram. Satu semangat telah merasuk dirinya.

    Pantang Maut Sebelum Ajal

    “Aku akan pastikan kau mati! Aku akan bunuh kau! AKU AKAN BUNUH KAU!!!”, hati Pbt Zi menjerit-jerit kegeraman. Rakan baiknya dibunuh di depan mata sendiri dengan kejam!

    Beliau kini telah tekad. Hutang nyawa dibalas nyawa. Zi menyasarkan senjata SLR miliknya ke arah komunis yang cuba mengambil senjata Wahab. Sedang pengganas itu tunduk tanpa berlengah Zi melepaskan tembakan. Tersungkur pengganas itu menyembah bumi. Dua lagi rakan komunis yang menyaksikan kejadian itu dari kawasan terlindung terus melepaskan tembakan bertubi-tubi ke arah Zi.

    Punggungnya, peha serta betis kiri dan kanannya ditembusi peluru-peluru si bangsat itu. Mujur kepalanya terlindung di sebalik busut kecil. Jika tidak, pasti dia akan mengikuti nasib Wahab. Pbt Zi tidak dapat melepaskan tembakan kerana tidak nampak arah kedudukan musuh. Terbaring lemah sambil menahan kesakitan. Melihat mayat Wahab yang masih menggenggam erat senjata GPMG itu menerbitkan perasaan pilu dan geram pada komunis-komunis itu. Semangat kelangsungan hidupnya kembali semula.

    Sebak…. Pbt (B) Zi Yaacob PGB sebak apabila menceritakan detik-detik sahabatnya Allahyarham Wahab mati ditembak di depan matanya

    Seorang musuh telah keluar dari tempat perlindungannya kerana menyangkakan bahawa  Pbt Zi  sudah mati. Terus pengganas itu bergerak ke arah Wahab. Zi yakin niatnya pasti sama dengan rakannya yang telah mati dibedil Zi sebelum ini. GPMG! Pbt Zi terus perkemaskan tenangan tepat ke arah senjata Wahab. Sekiranya andaian terhadap niat musuh itu tepat, mudah baginya untuk terus memicit picu sahaja.

    TAM!!, terjelupuk satu lagi musuh negara apabila Zi melepaskan tembakan apabila musuh sedang membongkok untuk mengambil senjata Wahab.

    Komunis wanita yang melihat rakannya tumpas terus melepaskan tembakan ke arah Zi. Zi tidak membalas tembakan itu dan  berpura-pura tersungkur lantas mematikan diri. Menyangkakan Zi benar-benar mati kali ini, wanita terus menuju ke arah mayat Wahab dengan niat yang sama.

    Peluh jantan mula keluar. Pandangan mata semakin kabur. Darah membasahi diri Zi. Kesakitan kian memuncak. Manakan tidak, sebahagian badannya telah ditembusi peluru. Namun Zi tetap mahu membaham komunis itu.

    Beliau merapatkan udi senjata ke pipinya. Meskipun matanya tidak berapa nampak kerana hari sudah hampir malam dan peluh terus berjejeran. Tangannya menggenggam erat pistol grip dan picu telah bersedia dipicit. Apabila wanita komunis itu merapat dengan senjata Wahab. TAM!  Tepat tembakan beliau mengenai musuh namun ianya hanya sekadar mencederakan. Menjerit-jerit jerit wanita itu memanggil rakannya yang berada di atas bukit. Rakan komunis itu meluru turun dan terus melontar bom tangan ke arah Zi lalu melarikan diri.

    Zi hanya sekadar melihat bom tangan itu jatuh bergolek tepat di antara beliau dan mayat Wahab. Nasib Zi amat bertuah. Bom itu tidak meletup. Zi menghela nafas lega. Kesakitan mula memuncak kembali. Zi tidak berani bergerak ke mana-mana kerana khuatir akan terpijak jerangkap samar atau terjumpa musuh. Malam itu Zi baring sahaja di sebelah mayat Wahab menahan kesakitan keseorangan diri.

    Perasaan takut, bimbang dan kesakitan kian lega apabila mendengar tembakan meriam dilepaskan kedudukan musuh.

    Pada keesokan harinya, sekitar jam 7.00 pagi, Zi ditemui dan dibawa ke Hospital Royal Australian Air Force di Butterworth, Pulau Pinang menggunakan helikopter nuri.

    Gambar: Sjn Nurulhaswani Ruzaini dan ihsan dari Pbt (B) Zi Yaacob

    [divider style=”solid” top=”20″ bottom=”20″]

    [box type=”info” align=”” class=”” width=””]

    Pbt Zi Yacob dilahirkan pada tahun 1932 di Taiping, Perak. Beliau telah menganggotai pasukan keselamatan sebagai anggota Pasukan Pertahanan Tempatan (PPT) pada 6 April 1964. Kemudian, pada 15 Mei 1969 hingga 31 Mac 1973, sebagai anggota kerahan dan seterusnya diserap menjadi anggota Batalion Ke-12 Rejimen Askar Melayu Diraja yang ketika itu berpangkalan di Kem Batu Uban, Pulau Pinang. Beliau ketika itu ditempatkan sebagai anggota Platun Satu, Kompeni Alpha. Beliau telah menamatkan perkhidmatannya setelah berkhidmat selama sepuluh tahun ekoran daripada kecederaan yang dialaminya. Peristiwa serang hendap yang dialami oleh Platun No 1 Kompeni Alpha pada 3 Jun 1970 itu, telah menggugurkan empat orang anggota iaitu Kpl Adnan, Kpl Syed Mustafa, LKpl Shobian serta Pbt Wahab manakala tiga anggota telah cedera parah iaitu Pbt Zi, Pbt Mohamad Bolia dan Pbt Mohamad Rozali. Sembilan anggota lagi termasuk Platun Sarjan, Sjn Abd Jail Ali dan dua anggota Platun Tiga, Kpl Hamid Md Noor dan Pbt Daud Abdul Rahman hanya mengalami kecederaan ringan. Atas kecemerlangan dan keberanian yang dipaparkan oleh Pbt Zi, beliau telah dianugerahkan pingat Panglima Gagah Berani (PGB) oleh DYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Mu’adzam Shah Ibni Almarhum Sultan Badlishah pada 2 Jun 1971.

    [/box]

  • PW II (B) MAHMOR: 3 MINIT BENAM 7 MUSUH

    PW II (B) MAHMOR: 3 MINIT BENAM 7 MUSUH

    Pada malam itu, mereka tidur bersama-sama mayat musuh. “Mahmor! Malam ini kau off duty guard. Kau boleh tidur malam ini. Sebab kau adalah hero pada hari ini!”, kata Lt Ramli. Apa lagi seronoklah prebet ini dapat berehat dan tidur dengan sepuas-puasnya. Namun, beliau bersyukur, nasib musuh tidak memulakan langkah terlebih dahulu. Jika tidak, pasti mereka yang sedang tidur lena pada malam itu. Peristiwa bersejarah kembali berlegar di pemikirannya. Meskipun ianya telah lama berlalu dan terlalu pantas berlaku, namun dapat beliau ingati satu-satu persatu kronologi pada pagi itu. Bagaikan layar panggung, memori pada 1 Mac 1967 itu mula dimainkan dalam fikirannya.

    Ke Kawasan Berlabuh

    Sehari sebelum kejadian tersebut, merupakan hari kedua Mahmor dan rakan-rakannya di hutan. Operasi yang disertai beliau pada masa itu adalah OP GADING. Sebagaimana hari-hari terdahulu,  selepas meronda hingga ke senja, pasukan khas ini akan mencari tempat untuk bermalam. “Mahmor dan Halal!”, Komander Trup, Lt Ramli bersuara. “Ya Tuan!!”, jawab mereka berdua serentak. “Kamu berdua pergi tinjau di kawasan sungai ini!”, arah Lt Ramli sambil menunjuk ke arah peta. “Aku bercadang, esok pagi kita akan bersarapan disitu. Mudah dan dekat dengan punca air”, sambung Lt Ramli lagi. “Baik tuan!!”, terus Mahmor dan Halal bertindak seraya mendengar arahan pegawai mereka.

    “Lal! Aku rasa kalau berpandukan peta ni, tak jauh tempat ni. Depan tu je”, Mahmor berkata kepada Halal. “Haahlah. Senanglah kerja kita, bukannya jauh sangat pun”, balas Halal kepada Mahmor. Mereka berdua terus menuju ke arah anak sungai tersebut. Selang beberapa minit, mereka tiba di lokasi tersebut. “Mor! aku rasa tempat atas bukit tu sesuai untuk kita berlabuh. Lagipun  jarak sungai ini 50 meter sahaja dari penempatan sementara kita.”, ujar Halal. “Ok beres! nanti aku brief Tuan Ramli tentang tempat ni.”, ujar Mahmor menamatkan perbualan untuk kembali semula kepada Lt Ramli dan rakan-rakannya yang lain.

    Setibanya Mahmor dan Halal disana, terus ditaklimatkan kepada Lt Ramli. “Sungai tu tak jauh tuan dari pangkalan sementara yang bakal kita duduki. Tak sampi 10 minit pun tuan”, ujarnya berseloroh.

    Sungai Hilang

    Kicauan burung-burung memecahkan keheningan pagi itu. Mahmor dan seksyennya awal-awal lagi telah bangun. Memang dunia ketenteraan telah mengajar mereka untuk bangun di awal pagi lagi. Lt Ramli menghampiri Mahmor. “Mor! Ayuh kita menuju ke sungai yang kau tinjau semalam. Kita bersarapan di situ”, ujar beliau lagi. Mahmor terus menyiapkan diri dan peralatannya. Senjata mula diusung. Mereka harus ke anak sungai untuk menikmati sarapan pagi. Secara dasarnya, memang itu adalah ‘tradisi’ trupnya ketika melaksanakan operasi. Mereka akan memasak dan membungkus hidangan  tersebut untuk dijadikan bekal tengah hari. Itu lebih mudah dan ia juga dapat menghindari musuh daripada mengesan kedudukan mereka berdasarkan bau-bauan makanan itu. “Tuan! Mari kita!”, Mahmor memecah kebisuan. Mahmor mengetuai seksyennya untuk ke lokasi anak sungai itu. Di ajaknya Halal untuk ikut di belakangnya kerana dikhuatiri terlupa jalan.

    Selepas setengah jam berjalan, mereka masih tidak menemui sungai tersebut. Kedua-duanya terpinga-pinga kerana mereka yakin bahawa jalan yang mereka lewati adalah tepat. Mahmor dan Halal berpandangan satu sama lain. “Hah! Mana sungainya Mahmor, Halal?” Lt Ramli bersuara. Mahmor terus menjawab, “Tuan! Sungguh memang ada sungai di sekitar ini. Jaraknya memang amat dekat”. Ramli memandang tepat ke arah muka kedua-dua anak buahnya itu. Beliau yakin apa yang dikatakan oleh Mahmor adalah benar. Manakan tidak, mana mungkin seorang anggota pasukan khas tidak mahir dalam pandu arah. Lagipun, beliau kenal benar dengan Mahmor ini kerana rekodnya yang baik selain kepakaran beliau mencari arah di dalam hutan yang tidak kurang hebatnya. “Baiklah! Tidak mengapa”. Lt Ramli bersuara. “Kita cari sungai yang lain,” sambungnya lagi. Mahmor berasa pelik dengan keadaan itu. Terdetik di hatinya, “Aneh, orang tua ni tak marah?”. Biasanya kalau kesalahan  sebegini memang sudah ‘bergetah’ dia dikerjakan. “Mor! Tunggu apa lagi ? Ayuh kita cari sungai yang lain!”, suara Lt Ramli yang tegas itu menyentaknya dari lamunan. Mereka terus berjalan ke hadapan.

    Mahmor berjalan di hadapan memandangkan beliau  membuat tugas sebagai anggota tinjau. Selang 30 minit mereka berjalan, mereka terjumpa sebatang lagi anak sungai. Terus dengan pantas mereka membuat persiapan untuk memasak kerana ikutkan keadaan mereka sudah agak lewat untuk melaksanakan rondaan. Nasi telah siap dimasak. Mess tin kecil itu disumbatkan dengan nasi dan lauk rangsum yang telah dipanaskan. Sekiranya hendak dimakan, mudah, hanya tinggal koyakkan bungkusannya sahaja. Usai bersarapan, mereka meneruskan rondaan. Beg pek digalas, senjata diusung, mata mula meliar seiringan dengan kaki melangkah.

    Pangkalan Sementara

    Trup pimpinan Tuan Ramli  bergerak ke checkpoint seterusnya. Tiba-tiba, “KING!!KING!!”, kedengaran bunyi yang agak pelik di halwa telinga Mahmor. Mahmor selaku anggota tinjau trupnya terus memainkan peranan. Mengangkat tangan dan memberikan isyarat berhenti kepada  trupnya. Tuan Ramli dan rakan-rakannya yang lain semua terpinga-pinga. “Ada apa Mor? Kenapa kita berhenti?”, Halal bertanyakan kepada Mahmor. “Ada orang ni! Sebab aku dengar bunyi anjing. Entah-entah kumpulan penjejak musuh!”, ujar Mahmor berseloroh. Matanya mula melilau takut-takut muncul kelibat yang tidak diundang. “HOI MAHMOR!!!”, tempik  Halal. “Itu bunyi kijang! Bukan bunyi anjing. Bodoh nak mampus!”, betul-betul marah halal kepada Mahmor. Mahmor ketawa kecil dalam hatinya. Manalah beliau tahu bahawa itu adalah bunyi kijang. Tidak pernah seumur hidup beliau mendengar bunyi kijang. Mereka meneruskan perjalanan sehinggalah tiba di kawasan permatang yang agak landai, Lt Ramli mengarahkan trupnya berhenti. Setelah menanda kedudukan mereka di atas peta, Lt Ramli mula memberikan arahan. “Kita berhenti di sini! Kita hantar anggota kita yang tercedera ke Landing Point di atas puncak Gunung Gading ni. Diatas sana ada satu sekysen semboyan dan askar melayu. Lagipun, kita sudah hampir dengan puncak.”, tegas Lt Ramli. “Satu seksyen diketuai Sjn Nordin bersama 10 anggota akan naik ke atas, Sjn Peter Lim, kamu pula bawa satu seksyen untuk laksanakan pemeriksaan dan kawalan perimeter!” sambungnya lagi. “Mahmor, kau duduk di pangkal pokok besar tu. Kau adalah penanda. Semua beri perhatian! Mahmur adalah penanda laluan untuk keluar dan masuk. Sekiranya ternampak kelibat manusia lain, kamu tahu nak buat apa”,  kata Lt Ramli seraya semua mengalihkan pandangan ke arah Mahmor. “Baik tuan!!”, anggotanya menjawab faham.BTDM | Berita Tentera Darat Malaysia

      “Jamal dan Halal! Kamu berdua ikut aku ke naik ke atas sikit. Aku nak buat panggilan semboyan kepada markas untuk laporkan kedudukan kita sekarang”,  “Kita perlu naik ke tempat lebih tinggi untuk mendapatkan jaringan komunikasi yang lebih jelas lagi.”, Lt Ramli berkata lagi. “Baik tuan! Jawab mereka berdua serentak. Mereka pun pergi ke atas bukit untuk membuat panggilan. Selang beberapa ketika Jamal turun semula ke pengkalan sementara mereka. “Ada apa Mal?”, Mahmor bertanya. “Tuan Ramli suruh aku ambil bateri radio untuk tumpang caj di tempat Unit Semboyan di atas.”, balas Jamal. Selang beberapa lama kemudian Jamal turun semula dan seperti biasa melalui Mahmor lagi. “Apa pula kali ni Mal?”, bingung melihat Jamal yang sekejap naik dan turun. “Tuan Ramli suruh caj semua radio set. Banyak ni. Aku kena berulang-alik ni. Dah la besar bateri radio tu.” jawab jamal membalas pertanyaan Mahmor. Hati kecil ketawa melihat kaletah Jamal. Manakan tidak, sudahlah bateri Radio Set A 41 besar-besar. Semua seksyen  pula itu harus ditukar.

    Pbt Mahmor bersama-sama rakan seperjuangannya.

    Makan Tengah Hari

    Jam sudah menunjukkan jam 1200. Meskipun matahari tegak tinggi tetapi di bawah limbungan pokok-pokok suasana sekitar pangkalan mereka redup. Mahmor mengajak Umar untuk menikmati makan tengah hari bersama-sama. “Umar! Sulaiman! Jom makan tengahari.”, ajak Mahmor. Mereka bertiga ini memang buddy. Kalau buat apa-apa mesti bersama. “Mor! Bancuh teh tarik satu!”, Sulaiman meminta. Mahmor menuruti permintaan rakannya itu.  Sambil mereka menikmati makanan, kelihatan Jamal sedang sibuk keluar dan masuk ke pengkalan untuk menukar bateri. “Kasihan aku melihat Jamal tu. Asyik keluar masuk sahaja daripada tadi.”, ujar Sulaiman. “Tu lah penat aku menunggu di bawah pangkal pokok tu. Sampai malas aku nak mencabar kata jodoh pada dia.” balas Mahmor. Mereka berdua bergelak tawa mendengar jenaka Mahmor itu namun dikawal nada suaranya. Maklumlah, peperangan insurgensi. Mana boleh buat bising seperti pasar. Jadi sasaran mudah musuh nanti.  “Cik Lazim! Marilah makan sekali”, ajak Mahmor yang menegur Lazim yang berdiri beberapa ela di belakang  Umar yang sedang mencangkung. “Tak apa. Makanlah dulu”, balas Lazim. Sedang mereka berbual-bual kosong sambil menikmati teh yang dibuat oleh Mahmor, Mahmor terdengar bunyi dedaun kering dipijak oleh satu hidupan yang diyakini manusia. Baru sahaja Mahmor hendak menyatakan mungkin Sjn Nordin sudah balik, tiba-tiba Sulaiman yang berada disebalahnya menjerit, “Hah! ni dia!!”, memandang tepat di sebelah Mahmor. Mahmor pada ketika itu sedang berdiri di sebelah permatang tinggi. Dia tidak pasti apa yang Sulaiman nampak kerana penglihatan beliau lebih jelas memandangkan posisinya dalam keadaan duduk dan menghadap bukit. Mahmor mula ternampak betul-betul dihadapannya. Terkejut beliau melihat satu susuk tubuh dihadapannya berpakaian uniform ala-ala gerila hingga beliau sangkakan itu adalah anggota border scout.

    Pertembungan Empat Mata

    Dunia bagaikan bergerak perlahan. Mahmor dan susuk tubuh itu saling berpandangan dan terpaku kedua-duanya. Mungkin masing-masing tidak percaya apa yang dilihat di hadapan mata mereka. Tiada satu pun pengahalang diantara Mahmor dan sekujur tubuh dihadapannya. Otak Mahmor mula terjana. Beliau sedar serta-merta. “Ya Allah! Komunis!”, bentak hati Mahmor.  Pada ketika itu Sulaiman terus menjerit, “Apa lagi Mor!!!”.

    Tersentak daripada itu, terus beliau melompat ke arah senjatanya yang berada di jarak 3 meter  di sebelah kanan dari kedudukan mereka makan tengahari tadi. Nasib baik sudah menjadi kebiasaan Mahmor tidak mengunci senjatanya. Dicapai senjatanya Heavy Barrel terus dicekah dan dilepaskan bedilan bertubi-tubi ke arah musuh. Apa yang bermain di fikirannya hanyalah mahu menumbangkan si bangsat yang menjahanamkan negaranya yang tercinta ini.

    Selepas kelopak pertama habis, Mahmor ternampak musuh kedua berada di dalam keadaan tertiarap dan masih hidup. Mahmor tanpa melengah menyambar kelopak kedua dan meneruskan tembakan lagi. Seingat beliau, tiga kelopak digunakannya semasa pertembungan tersebut. Habis sudah peluru kelopak yang ketiga, suasana menjadi sunyi dan sepi.

    “Mor, mati dah ke semua?”, tanya Hud salah seorang rakannya. “Kau pergi kehadapan dan buat sentri Mor.”, sambungnya lagi. Mahmor pun bergerak kehadapan dan melangkah mayat-mayat pengganas komunis yang telah mati akibat pertembungan tadi. Setelah beliau amati, lima tubuh  terkujur layu berlonggokan dan dua lagi tersungkur di sebelah kiri dan kanan mayat-mayat tadi. “Clear!!”, jerit Mahmor. Mereka berkumpul semula. Lt Ramli yang terdengar bunyi tembakan sebentar tadi terus turun bersama-sama Jamal dan Halal. “Mor, tak sempat kami nak lepaskan tembakan Mor. Kau sapu semua sekali Mor.”, ujar Hud. Mahmor perasaan juga dengan ekor matanya melihat Hud, Mat Jantan dan Malik bergerak di sebelah kanan beliau untuk membuat cut-off. “Kau tahu tak Mor, kami baru terserempak dengan kumpulan ni. Kami ingatkan Sjn Peter Lim. Pelik jugak bila dipanggil-pangil melarikan diri.”, ujar Lt Ramli. “Lepas tu terdengar bunyi tembakan. Nasib umur aku panjang lagi. Peluru lalu atas kepala aku je tadi. Kalau aku angkat kepala, naya aku!”, sambung Lt Ramli berseloroh.

    Hero

    Jam sudah menunjukkan 5 petang. Lt Ramli mengarahkan agar semua anggotanya untuk membawa mayat-mayat tadi bergerak daripada kawasan itu. “Kita kena beralih daripada kawasan ini. Khuatir jikalau ada kumpulan komunis itu datang kembali untuk mengambil mayat-mayat ini. Esok pagi baru kita bergerak ke Landing Point untuk hantar mayat-mayat ini!”, arah Lt Ramli. Mereka bergerak sekitar satu kilometer daripada kawasan pertempuran tersebut.

    Tujuh mayat pengganas komunis yang berjaya ditumpaskan oleh Mahmor.

    Pada malam itu, mereka tidur bersama-sama mayat musuh. “Mahmor! Malam ini kau off duty guard. Kau boleh tidur malam ini. Sebab kau adalah hero pada hari ini!”, kata Lt Ramli. Apa lagi seronoklah prebet ini dapat berehat dan tidur dengan sepuas-puasnya. Namun, beliau bersyukur, nasib musuh tidak memulakan langkah terlebih dahulu. Jika tidak, pasti mereka yang sedang tidur lena pada malam itu.

    Mahmor dan rakan-rakanya mengusung mayat pengganas komunis ke puncak Gunung Gading.

    [box type=”info” align=”” class=”” width=””]PW II Mahmor Said dilahirkan pada 30 Okt 1942, di Parit Sulong, Johor. Anak keempat daripada 12 adik beradik ini pernah menerima latihan asas komando daripada 40 British Commando di Kem Majidee pada 1965. Beliau menerima pingat PGB daripada Duli Yang Maha Mulia Yang Dipertua Agong,Tuanku Al-Sultan Ismail Nasaruddin Shah pada 05 Ju 1968 atas keberanian dan kecemerlangannya dalam menjalankan tugas bersama Rejimen Gerakhas Malaysia (RGKM), kini GGK semasa satu operasi di Gunung Perigi yang terletak dalam Kompleks Gunung Gading, Lundu Sarawak. Dalam kejadian tersebut, beliau yang bertugas bersama-sama rakan-rakannya dalam terup nombor satu RGKM telah tiga hari berada disitu bagi memburu satu kumpulan antara lapan hingga 15 pengganas Pasukan Gerila Rakyat Sarawak (PGRS), satu serpihan daripada PARAKU. Kejayaan PW II Mahmor yang telah mencipta sejarah dan tidak dipecahkan sehingga kini adalah: 1) Anggota RGKM pertama menumbangkan musuh sejak penubuhannya pada 1965. 2) Berjaya membunuh musuh paling ramai dalam satu operasi secara bersendirian. 3) Berjaya membunuh musuh paling ramai dalam masa paling singkat iaitu tujuh musuh dalam tempoh tiga minit. PW II Mahmor telah mendirikan rumah tangga bersama Zabeddah Mahmood pada 4 Ogos 1969 dan dikurniakan enam orang cahaya mata.

    [/box]

  • Si Tora 12 Komando Pertama RGK

    Si Tora 12 Komando Pertama RGK

    [dropcap]T[/dropcap]entera dianggotai oleh insan-insan biasa. Insan-insan yang memiliki fitrah kemanusiaan, memiliki sifat belas, sifat kasihan, diperlengkap dengan jiwa penyayang, jiwa pengasih, jiwa romantis. Insan biasa ini telah dilatih fiziknya, dicanai mindanya, dibina ketahanannya, serta didedahkan kepada pelbagai senario, diperkenalkan dengan pelbagai senjata, dicabar dengan pelbagai ujian. Mereka melalui proses transformasi fizikal, minda dan spiritual, lalu akhirnya terbina kekuatan, terbina ketahanan, terbina ketabahan, terbina kecekalan, menghasilkan jati diri insan yang bersemangat waja dan berjiwa wira. Mereka dibangunkan dalam dimensi budaya ketenteraan yang mengutamakan disiplin yang menjunjung semangat kesetiaan yang mengamalkan ketaatan ketika melaksana misi. Mereka sedia berpanas, berhujan, mereka sedia bertempur, mereka sedia berperang. Mereka cekal jika perlu menamatkan riwayat insan lain dan pada masa yang sama turut cekal untuk ditumpahkan darahnya atau dicederakan tubuhnya, dikecaikan dagingnya mahupun dikorbankan nyawanya. Setiap keberanian dan segala kerelaan itu, dilakukan bukan untuk keperluan dirinya sendiri, tidak juga untuk kepentingan peribadinya, tetapi dilaksanakan menjunjung arahan, menjunjung perintah, memenuhi tugas demi memenuhi tanggung jawab. Mereka melakukan segalanya untuk membantu memenuhi hasrat untuk membantu mencapai matlamat, mengikut yang ditetapkan oleh pihak berkuasa yang lebih tinggi. Hasrat dan matlamat yang seringkali dan umumnya ditetapkan dari kalangan pimpinan atasan. Di situlah terletak menara ketaatan dan mercu kesetiaan anggota tentera terhadap setiap arahan dan keperluan kepimpinan organisasi dalam setiap operasi yang mereka ceburi.

    Mohamad Zakaria Abas ( duduk kiri sekali bersama rakan-rakan sepasukan yang mengikuti Kursus Asas Komando pada tahun 1968)

    Begitu jugalah dengan 4861 Allahyarham SSjn Mohd Zakaria Abas, yang merupakan salah seorang daripada 12 orang pengasas Rejimen Gerak Khas Malaysia (RGK). Kelainan yang menjadi identiti Allahyarham atau juga dikenali dengan gelaran Si Tora mahupun Singa Berantai dalam kalangan rakan-rakan sepasukan sewaktu perkhidmatan. Gelaran tersebut telah menjadi sebati disebabkan kerana sikapnya yang bengis dalam menjaga displin serta kawalan kepada anggota bawahannya dalam latihan mahupun operasi. Karier anak penoreh getah yang bersasal dari Kampung Sayong Tebing, Kuala Kangsar Perak ini bermula sebagai rekrut pada 25 Mei 1949. Selepas menamatkan latihan, beliau ditempatkan di Batalion Keempat Rejimen Askar Melayu Diraja (4 RAMD). Setelah mula berkhidmat di 4 RAMD, banyak kenangan pahit dan manis yang dialaminya sewaktu melaksanakan operasi di dalam negara mahupun di luar negara. Antaranya Allahyarham bersama seksyennya pernah terperangkap dalam kepungan tentera negara jiran sewaktu konfrantasi di Palaman Mapu, Serian pada tahun 1964 disamping bertempur ketika operasi mengesan dan memburu pengganas komunis. Salah satu kisah pertempuran yang masih diingati oleh rakan-rakan Allahyarham berlaku pada tahun 1950 an di Kampung Lengkong, Jambu Rias, Pahang apabila pasukan yang diketuainya berjaya membunuh seorang musuh yang merupakan anggota kepada Pengerusi Parti Komunis Malaya (PKM) Musa Ahmad. Begitu juga pada tahun 1959 Allahyarham serta platunnya telah diarahkan bagi menjejak satu gerombolan pihak musuh yang diketuai oleh Ibrahim Baba di Tampin, Negeri Sembilan. Penjejakan itu berakhir dengan pertempuran di hutan Kuala Krau, Temerloh Pahang. Namun begitu platunnya gagal menemui Ibrahim Baba, tetapi berjaya membunuh seorang pengganas wanita. Pada tahun 1960, Allahyarham dihantar bertugas ke  Republik Congo di bawah misi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) selama satu tahun bermula 13 Sep 1960 hingga 13 Jul 1961.

    Penglibatan Allahyarham dalam Rejimen Gerak Khas bermula pada tahun 1965. Dimana penubuhan unit ini ketika konfrantasi yang melibatkan Persekutuan Malaysia dan Indonesia. Pada waktu itu, Allahyarham menjadi Platun Sarjan di 4 RAMD di Muar, Johor dengan berpangkat Sarjan. Apabila mengetahui pihak kerajaan melalui Kementerian Pertahanan pada masa itu ingin menubuhkan pasukan khas Allahyarham bersama 22 anggota 4 RAMD terus membuat permohonan untuk mengikuti pemilihan tersebut. Ketika permohonan dibuat, usia Allahyarham telah pun mencecah usia 35 tahun dan mempunyai tiga orang cahaya mata. Walaupun ada yang beranggapan beliau sudah tua namun beliau tetap tekad untuk menyertai pasukan elit tersebut dan tidak lama selepas itu Allahyarham diminta menjalani ujian pemilihan di Kem Sungai Besi, Kuala Lumpur. Memandangkan jumlah yang hadir mencecah 300 orang yang melibatkan ketiga-tiga cabang perkhidmatan, maka sesi temuduga dan pemilihan telah berlangsung selama empat hari berturut-turut. Untuk berjaya dalam pemilihan ini, Allahyarham perlu menjalani ujian saringan yang ketat dan memeritkan antaranya perlu lulus semua ujian kecergasan, merempuh halangan, berlari, berenang serta ujian ketahanan mental. Daripada 300 anggota yang memohon hanya 15 sahaja yang terpilih mengikuti Kursus Asas Komando selama enam minggu. Pada 25 Feb 1965 Allahyarham di minta untuk melapor diri bagi mengikuti latihan asas komando yang dikendalikan oleh Rejimen ke 40 Komando Marin Diraja British (40th British Royal Marine Commando) di Kem Majidee, Johor Baharu, Johor.

    Mohamad Zakaria Abas

    Maka bermulalah perjalanan karier Allahyarham sebagai salah seorang pengasas pasukan elit negara. Latihan yang dilaluinya diperingkat awal dikendalikan oleh Mej Bacons dan Kapt Seager begitu mencabar dan memeritkan antaranya latihan terjun maut, iktiar hidup, mendayung dan berenang menyeberangi Selat Tebrau pada waktu malam. Namun begitu tugas Allahyarham sebagai jurulatih di pasukan, sedikit sebanyak memudahkan beliau mengharungi setiap latihan dan lulus dengan cemerlang. Terdapat beberapa kenangan yang masih diingati oleh rakan-rakan Allahyarham sewaktu bersama menjalani latihan. Antara yang masih diingati adalah sewaktu membuat latihan memikul balak yang beratnya lebih 40 kg dan berlari sejauh 1.6 km sambil meredah kawasan lurah, bukit dan belukar serta perlu sampai ke kawasan penamat dalam masa yang ditetapkan dengan kayu balak yang dipikul tidak jatuh. Namun begitu kayu balak yang dipikul oleh kumpulannya terjatuh kira-kira 50 meter dari garisan penamat dan betul-betul dihadapan Ketua Jurulatih Mej Bacon. Dengan wajah bengisnya Mej Bacon telah mengarahkan kumpulan Allahyarham untuk ulang semula latihan itu. Disebabkan geram dan marah dengan arahan yang diberi, tiba-tiba sahaja Allahyarham naik minyak dan memikul balak seorang diri ke tempat permulaan. Mungkin kagum dengan semangat Allahyarham, Mej Bacon akhirnya menyuruh beliau berhenti daripada memikul balak meskipun ketika itu dirinya telah bergerak sejauh berpuluh meter.

    Dari kiri, Kpl Zainal, Sjn Mohamad Zakaria Abas, Kapt Goh( Ajutan 4 RAMD dan LKpl Mat Lazim selepas menjadi juara keseluruhan pertandingan menembak antara pasukan tentera negara-negara Timur pada tahun 1956.

    Selepas berhempas pulas, akhirnya seramai 12 daripada 15 orang yang melapor diri berjaya menamatkan Kursus Asas Komando termasuk Allahyarham. Bagi melengkapkan kemahiran dalam pasukan dan perkhidmatan beliau telah dihantar menjalani Kursus Jump Master di Batu Djajar, Bandung Indonesia. Sewaktu dalam komando, satu operasi yang tidak dapat dilupakan ialah ketika menjejak seorang komander Parti Komunis Kalimantan Utara (PKKU) serta 13 anggotanya di sempadan Serawak-Kalimatan berhampiran Bau. Komander tersebut diketahui sebagai pengganas yang licik apatah lagi beliau pernah mendapat latihan asas di Batu Djajar, Bandung, Indonesia. Selama dua hari penjejakan dilakukan sambil dibantu oleh satu platun Rejimen Renjer Diraja (RRD) akhirnya kem musuh berjaya ditemui namun kesemua anggota pengganas berjaya melarikan diri setelah berjaya menghidu kehadiran pasukan keselamatan. Biarpun masa Allahyarham banyak dihabiskan dalam operasi yang dilakukan namun Allahyarham tetap dianggap istimewa oleh kebanyakan rakan-rakan seperjuangan dan pasukan kerana kecekapannya menembak dengan tepat serta tangkas mengendalikan senjata ringan sehinga diberi julukan Tangan Besi. Kehebatannya menggunakan senjata bukan sekadar di medan pertempuran, tapi turut membantu pasukan menjuarai pelbagai pertandingan menembak termasuk antara pasukan tentera negara-negara Komanwel dan negara-negara timur tengah. Disebabkan itu beliau telah terpilih sebagai salah seorang penembak tepat pasukan dan berkelayakan mengajar dalam bidang tersebut.

    Allahyarham 4861 Mohd Zakaria Abas telah bersara dari perkhidmatan pada tahun 1970 dengan pangkat terakhirnya ialah SSjn dan selepas bersara Allahyarham telah ditawarkan berkerja di Jabatan Perdana Menteri sehingga tahun 1990 yang mana ketika itu usianya telah mencecah 60 tahun. Pengorbanan beliau akan menjadi sumber ilham kepada anggota-anggota tentera khususnya anggota komando dalam menentang pencerobohan dan perbuatan angkara khianat musuh negara.Perjuangan yang tidak mengenal erti kalah dan jemu dan sentiasa menjujung tinggi cogan kata Grup Gerak Khas Cepat  dan Cergas malah sewaktu melaksanakan tugas, banyak darah dan keringat yang mengalir. Pengorbanan ini tidak mengharapkan apa-apa balasan, hanya keikhlasan demi negara tercinta. Allahyarham menghembuskan nafas terakhir pada jam 1.24 pagi, 23 Ogos 2015 sewaktu berumur 84 tahun.

    [divider style=”solid” top=”20″ bottom=”20″]

    Al Fatihah buat Allahyarham 4861 SSjn Mohd Zakaria Abas serta pejuang tanah air yang lain.

    [box type=”info” align=”” class=”” width=””]Artikel ini telah dikeluarkan pada keluaran Majalah BTDM Bil 205[/box]

     

  • SJN TAIB TAWAL PGB (BERSARA): KEBERANIAN LUAR JANGKAUAN

    SJN TAIB TAWAL PGB (BERSARA): KEBERANIAN LUAR JANGKAUAN

    Pertempuran Gunung Pueh

    [dropcap]P[/dropcap]etang itu begitu hening. Hanya kedengaran kicauan burung yang pulang ke sarang sekali sekala diselangi bunyi unggas. Begitulah sepinya suasana di dalam hutan Gunung Pueh, Lundu, Sarawak apabila  fajar mula terbenam. Tiada siapa yang sangka didalam kesepian itu  terdapat 12 kelibat manusia yang sedang berlegar bukan mencari hasil hutan mahupun bersiar-siar menikmati keindahan alam. Malah, tiada siapa juga yang tahu atas tujuan apakah kumpulan ini berada di situ melainkan organisasinya sendiri. Ya! Itulah platun yang diketuai oleh Almarhum Kapt (B) Hamid Awang yang tekun memerhati keadaan sekitar untuk menjejak pengganas komunis yang mengancam keselamatan negara dan menggugat isinya.

    Segar diingatan Taib pada ketika itu. Tanggal 7 April 1973, platun mereka telah diarahkan oleh Pegawai Pemerintah Batalion Kedua Rejimen Askar Melayu Diraja untuk membuat rondaan selepas mendapat maklumat perisikan melaporkan bahawa terdapat aktiviti komunis di kawasan itu. Apa yang lebih melucukan, platun khas itu ditubuhkan serta-merta terdiri daripada kumpulan barisan belakang yang dikatakan bermasalah memandangkan Kapt Hamid sendiri sedang dalam ‘edah’ (tidak dibenarkan memegang senjata) kerana baru dibicarakan di makhamah tentera atas kesalahan disiplin yang dilakukan oleh beliau. Meskipun dianggap sebagai sekumpulan ‘budak nakal’ namun mereka sentiasa menyedari akan tugas dan peranan sebagai benteng pertahanan negara. Tiada sekelumit pun perasaan ingin memberontak timbul apabila menerima  dan melaksanakan arahan pihak atasan.

    Jam menunjukkan 1630H. Sememangnya difikirkan secara logika ia masih awal untuk sang fajar melabuhkan tirainya. Tetapi tidak ditengah-tengah hutan belantara. Keadaan mulai gelap seperti senja memainkan peranannya. Taib pada ketika itu menggalas tanggungjawab sebagai anggota peninjau bersama-sama Sjn Dolah. Walaupun beliau baru sahaja berkhidmat selama dua tahun dan masih berpangkat prebet, namun beliau tiada perasaan gentar untuk berada di hadapan. Kapt hamid mengarahkan  platunnya berhenti dan kumpulan peninjau  untuk meninjau sekitar kawasan tersebut. Taib memulakan peninjauan dan mengorak langkah dengan berhati-hati agar tidak dikesan oleh pihak musuh. Tiba-tiba, kakinya terpijak sesuatu yang keras. Terdiam beliau seketika. Jantung mula berdegup kencang diselangi helaan nafas yang keras. Masa terhenti dan perasaan takut menyelebungi diri. Manakan tidak, dirinya terasa bagaikan nyawa dihujung tanduk dan dan paling ditakuti beliau adalah kedudukan mereka pasti akan disedari dan ini akan membahayakan pasukannya. Taib menenangkan dirinya lantas fikirannya terdetik, sejak bila ada booby trap di bumi kenyalang ini?

    Taib (baju tidak dibutang)…Bersama rakan-rakan seperjuangan

    Terus beliau tunduk dan memeriksa di bawah tapak kakinya. Aksi spontan beliau sedikit menggentarkan Sjn Dolah. Serta-merta riak wajahnya mempamerkan kelegaan dan kesyukuran apabila melihat tunggul kayu yang dipijaknya. Mereka berdua tertawa kecil melihat keadaan itu. Tetapi keadaan itu tidak terhenti begitu sahaja. Setelah diamati barulah mereka berdua menyedari bentuk tunggul itu menentang hukum alam. Ia telah digergaji! Dan ia masih  basah. Taib terus memerhatikan keaadaan sekeliling. 50 meter dihadapan mereka terdapat kayu balak mati sebesar tiga pemeluk dewasa terbaring melintang. Disebelahnya terdapat air terjun kecil dan sungai yang agak dalam berdasarkan pengamatannya. Hatinya kuat berkata ada sesuatu yang tidak kena di situ. Perlahan-lahan beliau merangkak ke arah kayu balak itu, alangkah terkejutnya apabila melihat empat pengganas komunis sedang berehat namun penuh berdisiplin dengan keadaan membentuk bulatan dan saling berhadapan serta jari sentiasa bersedia di picu senjata. Mereka terus bergegas menuju ke lokasi Kapt Hamid untuk melaporkan situasi tersebut.

    Sesampainya mereka di lokasi itu, terus ditaklimatkan kepada Kapt Hamid akan penemuan mereka berdua. Setelah mendengar laporan daripada Taib, Kapt Hamid mencadangkan untuk pulang semula ke pasukan dan memaklumkan kepada Pegawai Memerintah untuk tindakan selanjutnya. Mendengar cadangan itu, Taib terus membentak dan menyatakan sekiranya mereka datang kembali sudah pasti kesemua pengganas tersebut tidak akan ditemui kerana modus operandi komunis sememangnya tidak akan tinggal lama di penempatan sementara. Kapt Hamid menghela nafas panjang. Bukan kerana takutkan pengganas komunis itu beliau tidak mencadangkan sebarang tindakan ofensif. Tetapi mengambil perkiraan keadaan dengan langit yang kian kelam itu, dikhuatiri berlakunya perkara yang tidak diingini pada anak-anak buahnya. Namun melihat keadaan dan riak wajah Pbt Taib dan Sjn Dolah yang berkobar-kobar itu, ditambah lagi dengan kebenciannya terhadap komunis-komunis durjana yang menggangu keamanan negaranya, lantas beliau membeli cadangan Taib. “Baiklah Taib! Kalau ini yang kamu berdua mahukan, aku lantik kamu sebagai Ketua Platun. Kamu sampaikan perintah kepada kami semua”, ujar Kapt Hamid. Berderau Taib apabila perkataan itu keluar dari bibir Kapt Hamid. Manakan  tidak, dia hanyalah prebet dan pendengar perintah pula adalah pegawainya sendiri dan PTT Kanan.  Tidak sempat lagi akalnya mencari jalan untuk menepis tugasan itu, Kapt Hamid bersuara lagi. “Kan kamu yang pergi melaksanakan tinjauan dan kamu sahaja lebih arif dan tahu akan kawasan serta kedudukan musuh tersebut. Lagipun aku masih dalam pantang”. Terus diamati muka pegawainya itu dalam-dalam. Entah dari mana keyakinan Taib mula datang. Terus hati kecilnya berkata, “Tidak mengapa Taib. Kau pernah belajar dan  lakukan perkara ini semasa di pusat latihan semasa rekrut dahulu”. Taib terus membuat persiapan untuk meberikan perintah segera. Lagaknya seperti jurulatih. Tergelak juga Kapt Hamid melihat keadaan si Taib. Namun, dek kerana kesungguhan dan sikap profesionalisme yang ditonjolkan oleh Taib, ditahan gelaknya itu. “Baiklah! Semua dah dengar perintah yang disampaikan oleh Taib. Mari kita  teruskan misi kita ini. Ingat! Mati kita, mati terbela. Hidup kita, hidup membela!”, ujar Kapt Hamid. Berderau dengan kata-kata semangat daripada Kapt Hamid, mereka terus bergerak menuju pengkalan sementara musuh.

    Meskipun telah bersara, Taib sentiasa mengikuti perkembangan Angkatan Tentera Malaysia

    Taib diarahkan untuk memimpin platun itu. Sesampainya mereka disitu, Taib mengarahkan satu kumpulan untuk berada di seberang air terjun, bersiap-sedia untuk membunuh musuh yang terlepas dari serangan itu. Satu kumpulan terdiri daripada anggota perubatan dan semboyan pula diarahkan untuk menjadi kumpulan kedalaman. Manakala bagi kumpulan serangan pula adalah Taib, Sjn Dolah dan Kapt Hamid. Perlahan-lahan mereka merangkak ke arah kedudukan musuh dan apabila tiba di kawasan balak yang melintang itu, terus Taib berdiri untuk menembak. Sekali lagi Taib diuji sekali lagi apabila senjatanya mengalami stoppages sedangkan pada masa itu Taib sudah berdiri terpacul dihadapan komunis-komunis itu. Taib terus tidak berfikir panjang. Dari sisi pandangannya balak itu kelihatan setinggi paras lututnya sahaja. Terus beliau melompat di tengah-tengah kumpulan komunis. Tergamam mereka dibuatnya dengan aksi spontan Taib. Tidak cukup dengan itu, belum pun sempat komunis-komunis itu tersedar dari kejutan daripada Taib, Nah! Satu libasan padu  daripada Taib menggunakan udi senjata tepat mengenai-mengenai kepala tiga daripada empat pengganas komunis  tersebut. Terus seorang komunis yang terlepas daripada hayunan, terjun ke dalam sungai di sebelah penempatan mereka. Taib yang terjatuh selepas membedal pengganas komunis itu masih lagi dalam keadaan terbaring. Beliau cuba bangun dan alangkah terkejutnya beliau apabila dilihat salah seorang yang dihempuknya menggunakan senjata tadi telahpun berdiri dan mengacukan senjatanya tepat ke kepala Taib. Sekali lagi Taib berada di ambang maut. Tiba-tiba, Dam! satu bunyi letupan yang membuatkan kepala Taib hingar seketika. Selang beberapa ketika, desingan di  kepalanya beransur hilang. Taib mengamati keadaan sekitar. Gelap! Sememangnya gelap memandangkan waktu itu malam. Fikirannya bercelaru seketika. Tiba-tiba terdengar namanya dipanggil berulang-kali. Taib! Taib! “Itu suara Kapt Hamid”, desus hatinya. “Bagaimana keadaan kamu Taib?”, suara itu terus mengajukan soalan. “Saya baik sahaja tuan”, jawab Taib kepada pegawainya. Rupa-rupanya ketiga-tiga pengganas komunis tadi telah terkulai layu menyembah bumi.  Ketiga-tiga mereka memakan bedilan peluru M 79 Kapt Hamid. “Tuan, terima kasih kerana menyelamatkan saya tadi tuan. Kalau tidak kerana tuan, sudah tentu saya akan senasib dengan musuh durjana ini tuan”, Taib bersuara memecah keheningan malam itu. “Sebenarnya Taib, kamu tidak perlu berterima kasih kepada aku kerana aku melepaskan tembakan itu secara melulu sahaja. Tetapi pelik dan aneh kamu tidak terkena dan tercedera langsung dengan bedilan peluru aku tadi”, Kapt Hamid membalas berseloroh. Kecut perut Taib mengenangkan keadaan itu. Beliau merasa seolah terlepas daripada mulut buaya, masuk ke mulut harimau. Beliau merasakan nyawanya seperti dimain-mainkan pada hari itu. Terus Taib tergelak kecil. Tetapi bagi dirinya, Kapt Hamidlah yang menyelamatkan nyawanya. Tanpa tindakan drastik daripada beliau, mungkin kini Taib tidak lagi melihat keindahan dunia. Kapt Hamid telah memanggil kesemua anggotanya untuk atur semula. Tetapi setelah dihitung, anggotanya kurang seorang. “Mana Ali?”, teriak Kapt Hamid mencari anggota perubatannya. Semua diam seribu bahasa. “Tadi rasanya saya arahkan dia untuk tinggal di kumpulan belakang bersama-sama anggota semboyan tuan”, ujar Taib memecah kebisuan. “Eh! Tidaklah staf. Dia merangkak mengikut staf semasa melaksanakan serangan tadi.”, anggota semboyan mencelah. Terus Taib berlari ke arah pokok balak tadi. Berdegup-kencang jantung Taib apabila ternampak sekujur tubuh kaku di bawah balak itu. Perlahan-lahan didekati tubuh tersebut dan matanya telah membenarkan fikirannya. Ali telah pergi menghadap Illahi. Dilihat terdapat kesan tembakan didadanya. Terduduk Taib disebelah insan yang diangkat martabatnya oleh tuhan yang esa kerana mati syahid mempertahankan agama, nusa dan bangsa. “Ali, mengapakah kau ikut kami sekali tadi. Bukankah aku dah berpesan untuk berada di kumpulan kedalaman?’”, keluh Taib sambil memandang wajah yang baru berusia 19 tahun itu. Taib akui ini adalah ketentuan Yang Maha Kuasa dan dirinya bukannya sesiapa selain merupakan seorang hamba yang tidak berhak mempersoalkan suratan yang telah ditetapkan.

    Tetap segar diingatan

    Kini, telah 44 tahun peristiwa ini berlalu. Namun, baginya semua bagai baru semalam berlaku. Sjn (b) Taib bersyukur diberi nikmat keamanan pada hari ini, tidak seperti masa yang beliau lewati suatu ketika dahulu. Malaysia kini lebih aman dan damai.   Justeru, beliau menasihatkan khususnya kepada anggota tentera agar tidak terlalu selesa dengan keamanan yang dikecapi kini. Ancaman sentiasa ada. Cuma, bentuknya berbeza-beza. Oleh itu, janganlah menyingkatkan pemikiran bahawa ancaman kesemuanya berbentuk fizikal. Beliau juga memanjangkan penghargaan kepada pucuk pimpinan tertinggi TD kerana masih menjaga kebajikan dirinya sebagai seorang veteran tentera. Beliau juga telah menzahirkan perasaan kecewanya kepada veteran-veteran tentera yang sering menyalahkan pemimpin atasan di atas dasar tidak menjaga kebajikan. Walhal, golongan ini tidak pernah meminta melalui saluran yang betul kerana bagi beliau, Angkatan Tentera Malaysia (ATM) sentiasa menjaga kebajikan anggotanya.


    [box type=”info” align=”alignleft” class=”” width=””]Sjn Taib bin Tawal (Bersara) merupakan anak kelahiran Ayer Molek, Melaka dan dilahirkan pada 30 April 1952. Beliau telah menamatkan pelajarannya di Sekolah Menengah King Ibrahim V, Johor pada 1969 dengan kelulusan SPM berpangkat dua. Beliau telah mendirikan rumah tangga pada tahun 1974 bersama Puan Zuraidah Hashim dan dikurniakan seramai 4 cahaya mata. Beliau telah menerima latihan ketenteraan selama enam bulan di Pusat Latihan Rekrut di Port Dickson dan seterusya melapor ke pasukan Batalion Kedua Rejimen Askar Melayu Diraja pada tahun 1970. Sjn Taib telah dikurniakan Pingat Panglima Gagah Berani (PGB) di atas keberaniannya yang dipamerkan semasa pertempuran di Gunung Pueh, Lundu, Sarawak pada 7 Apr 1973 di mana seramai tiga anggota kanan Pasukan Gerila Rakyat Kalimantan (PARAKU) berjaya dibunuh oleh platunnya yang diketuai oleh Kapt (b) Hamid bin Awang. Dalam pertempuran itu juga, Kapt Hamid telah diberikan Pingat Seri Pahlawan Gagah Perkasa (SP) di atas keberanian beliau membunuh tiga anggota kanan PARAKU sekaligus menyelamatkan nyawa Sjn Taib. Kini, Sjn Taib mengusahakan warung kecil yang menghidangkan masakan panas bersama-sama isterinya di Kg Tg Mak Midah, Air Molek, Melaka.[/box]

  • Keberanian Seorang Perwira: Laungan “Allahuakbar” Naikkan Semangat Juang Anggota Platun

    Keberanian Seorang Perwira: Laungan “Allahuakbar” Naikkan Semangat Juang Anggota Platun

    [dropcap]P[/dropcap]ada 15 Julai 1976, di Hutan Simpan Ulu Muda, Gubir, Kedah, lebih kurang jam 8.10 pagi, dua anggota yang sedang berada di tempat mandi dekat anak sungai di bawah bukit tempat mereka berkhemah, telah ditembak oleh dua pengganas komunis. Tembakan tidak mengenai sasaran dan kedua-dua pengganas komunis telah melarikan diri. Semua anggota dalam pangkalan telah mengambil kedudukan siap sedia untuk menghadapi sebarang kemungkinan dan semua pengawal diarahkan balik ke dalam pangkalan.

    Kapten Zainal bin Abdul Rashid, Ketua Kompeni Alpha, telah serta-merta membawa empat lagi anggota bersama beliau untuk melakukan penjejakan. Turut bersama beliau ialah Koperal Mohd Adnan, Prebet Razali, Prebet Ariffin bin Awang Murni dan Prebet Awang.  Pada mulanya, Prebet Razali menjadi peninjau hadapan sejauh 100 meter diikuti oleh Kapten Zainal, kemudian Prebet Ariffin pula menjadi peninjau hadapan juga pada jarak 100 meter.  Selepas itu Kapten Zainal sendiri yang menjadi peninjau hadapan meneruskan penjejakan menuju permatang.

    Pada satu ketika, beberapa ekor ungka melompat-lompat di atas pokok dari permatang ke permatang. Prebet Ariffin menyatakan bahawa beliau mengesyaki kemungkinan ada orang di atas permatang yang membuatkan ungka-ungka tersebut bubar dan melompat-melompat.  Kapten Zainal telah mengingatkan supaya semua anggota bergerak dengan berhati-hati dan sentiasa berwaspada. Setelah bergerak dengan perlahan beberapa ketika, mereka sampai di atas permatang dan Kapten Zainal yang mendahului terus mencari perlindungan beberapa kaki di sebelah denai di hadapan mereka.

    Sejurus kemudian, Kapten Zainal dengan tenang memerhatikan pergerakan sekumpulan pengganas komunis sedang bergerak di hadapan kedudukan mereka.  Setelah 15 orang pengganas komunis melintas, beliau bersama Prebet Ariffin terus mengekori mereka turun melalui permatang.  Tiga lagi anggota masih belum sampai di atas permatang. Setelah beberapa ketika mengekori kumpulan pengganas komunis tersebut, kelihatan beberapa orang pengganas berhenti dan meletakkan beg galas masing-masing. Ketika itu jarak antara mereka dengan pengganas komunis hanya antara lima hingga sepuluh ela sahaja.

    Kapten Zainal memandang kepada Prebet Ariffin dan menganggukkan kepalanya mengarahkan beliau untuk menembak dahulu. Namun apabila beliau memicit picu, senjatanya tidak meletup.  Pengganas komunis yang berada di belakang sekali telah berpaling dan telah dapat melihat Prebet Ariffin. Dengan pantas Prebet Ariffin mencekah semula senjata dan serentak dengan itu mereka telah bersama menembak ke arah pengganas komunis. Kapten Zainal kemudian telah menjerit “Charge!” dengan sekuat hatinya sambil beliau terus meluru, menembak dan bergerak dengan berani menerpa ke arah pengganas komunis yang telah mula membalas tembakan. Prebet Ariffin dapat melihat seorang demi seorang pengganas komunis telah tumbang terkena tembakan Kapten Zainal. Prebet Ariffin sendiri telah turut berjaya membunuh seorang pengganas yang cuba mengambil senjata daripada rakan yang cedera untuk menembak Kapten Zainal.

    Seorang pengganas komunis wanita yang sudah cedera sempat membaling sebutir bom tangan ke arah Kapten Zainal.  Bom tangan itu telah meletup berdekatan dengan beliau dan Kapten Zainal telah jatuh tertiarap di atas badan pengganas komunis wanita tersebut.  Senjata M16 yang dibawanya telah tercampak.  Apabila Prebet Ariffin cuba untuk menarik Kapten Zainal ke tempat selamat, beliau telah ditembak oleh dua orang pengganas komunis yang sedang berada di belakang sebuah busut yang kecil.  Lantas Prebet Ariffin dengan berani sambil melaungkan ‘Allahuakhbar’, merempuh kedua pengganas komunis dan menembak ke arah mereka.  Ketika itu tiga anggota lain telah sampai dan turut bertempur memberi bantuan tembakan.

    Seorang pengganas komunis yang lain turut membaling bom tangan ke arah mereka namun tidak meletup dan pengganas komunis itu telah dapat ditembak oleh Prebet Awang. Pertempuran masih terus ber1aku dan tembakan daripada pengganas komunis yang lebih ramai semakin sengit. Bila melihatkan tidak nampak kelibat Kapten Zainal, mereka telah cuba memanggil namanya namun tiada jawapan.  Mereka seterusnya mula lemah semangat, tetapi kemudian Prebet Razali mula melaungkan ‘Allahuakhbar!, Allahuakbar!, Allahuakbar!’ serta disahut oleh anggota lain dan semangat mereka membara semula.

    Mereka berempat mula menembak sambil bergerak cuba merapatkan diri pada Kapten Zainal.  Prebet Awang memberi tembakan perlindungan kepada KoperaI Mohd Adnan yang cuba rapat dan sempat mengambil senjata Kapten Zainal serta senjata M79 danpada pengganas wanita yang telah mati. Pengganas yang lain telah menembak bertubi-tubi ke arah mereka dan mereka berdua terpaksa berundur dan tidak berdaya untuk menarik Kapten Zainal ke tempat selamat.

    Koperal Mohd Adnan kemudiannya telah menjerit dengan sekuat hati “Platun Satu, beri tembakan. Platun Dua, serang” sambil mereka berempat menembak bertubi-tubi ke arah pengganas komunis. Sejurus kemudian tembakan daripada pengganas komunis mulai reda. Pada jam 9.15 pagi pertempuran pun berhenti.  Seorang pengganas komunis yang berpura-pura mati telah melompat keluar dari perlindungan di sebelah kanan kedudukan mereka dan telah ditembak oleh Prebet Awang. Pada jam 10.20 Platun No 3 telah datang ke tempat pertempuran dan kemudian membuat penjejakan.

    Setelah penggeledahan dijalankan, mereka telah menjumpai enam mayat pengganas komunis, dua wanita dan empat telaki, senjata pelbagai jenis termasuk selaras Mortar 60 mm serta 17 butir peluru mortar 60 mm, serta 31 butir peluru 40mm M79 serta beratus-ratus peluru senjata kecil yang lain.

    Mereka yang terlibat dalam pertempuran di Hutan Simpan Ulu Muda Gubir telah menunjukkan semangat juang yang tinggi, semangat setia kawan ‘esprit de corps’ yang tiada bandingan.  Tindakan nekad, ketangkasan serta keberanian empat anggota, ketika cuba menyelamatkan Kapten Zainal, merupakan nilai-nilai ketenteraan yang patut disanjung dan dikenang.

    Allahyarham Kapten Zainal yang telah menunjukkan keberanian serta sifat kepimpinan semasa bertempur dengan musuh negara telah dianugerahkan dengan bintang kehormatan tertinggi dalam keutamaan anugerah Persekutuan iaitu Seri Pahlawan Gagah Perkasa (SP) oleh SPB Yang Dipertuan Agong pada 1 Jun 1977.  Sebelum itu Allahyarham juga telah dianugerahkan oleh KDYMM Sultan Perak, Sultan Idris Shah dengan Pingat Keberanian Handal (PKH) pada 14 Ogos 1976.  Sebagai mengenang pengorbanan dan jasanya yang tinggi kepada negara dan ATM Allahyarham Kapten zainal juga telah dinaikan kepangkat Mejar secara – merta.

    Sementara itu jasa dan pengorbanan Kopral Mohd Adnan bin Jonoh, Prebet Ariffin bin Awang Murni, Prebet Awang bin Ali dan Prebet Razali tetap tidak dilupakan.  Mereka telah dikurniakan dengan Kepujian Perutusan Keberanian (KPK) oteh SPB Yang Dipertuan Agong. Mereka juga telah dianugerahkan oleh KDYM Sultan Kedah dengan Bintang Perkasa Negeri Kedah (BPK) pada 18 Jun 1977.

    [box type=”info” align=”” class=”” width=””]Kisah perjuangan Allahyarham Mej Zainal bin Abdul Rashid SP ini telah diterbitkan di dalam buku Kemuliaan Nilai-Nilai Ketenteraan, terbitan Berita Tentera Darat Malaysia. ditulis oleh Lt Kol Hj Ab Aziz bin Ahmad (Bersara) pada tahun 2008. [/box]

  • Anggota Wataniah Pertama dan Termuda terima PGB – PW I (B) Ielias Ibrahim

    Anggota Wataniah Pertama dan Termuda terima PGB – PW I (B) Ielias Ibrahim

    Screen Shot 2016-08-01 at 11.19.29 AM[dropcap]S[/dropcap]etiap keringat dan titisan darah anak watan dalam mempertahankan negara haruslah dihargai, kerana setiap pengorbanan yang dicurahkan tidak ternilai dengan wang ringgit. Maka kita sebagai generasi pelapis dalam mempertahankan kedaulatan negara harus sedar akan jasa dan bakti yang pernah dicurahkan oleh perwira negara dahulu demi kedaulatan ibu pertiwi.

    Untuk itu pada siri kali ini, wartawan Berita Tentera Darat Malaysia, Kpl Suziana Selimin dan jurugambar Sjn Syuhaimi Saad menemui PW I (B) Ielias Ibrahim, 52, merupakan orang pertama yang dianugerahkan Pingat Pahlawan Gagah Berani (PGB) dalam Rejimen Askar Wataniah sebagai menghargai jasa dan keberaniannya menentang petualang negara pada tahun 1977. Untuk itu, ikutilah liku-liku perjalanan dan detik yang meninggalkan nostalgia dalam kehidupannya sebagai seorang anggota tentera.

    “Setelah menamatkan latihan pada tahun 1976, saya terus ditempatkan ke 11 Malaysian Teritorial Army (11 MTA). Setahun selepas itu pada 1977 saya ditumpangkan pula ke 11 MTA dan ditugaskan ke kawasan Grik bagi memantau pembinaan Jalan Raya Timur Barat. Tanggal 15 Ogos 1977 iaitu sehari sebelum umat Islam menyambut Ramadan saya (pada masa itu prebet) diarahkan bersama empat anggota yang lain iaitu LKpl Zaki Shamsudin sebagai Ketua Seksyen, Pbt Abd Halim Hassan, Pbt Md Ali dan Pbt Tajuddin Yusof untuk mengambil bekalan makanan di Pos Lima kawasan yang sama yang terletak 20 km dari Kem Banding”.

    “Pada masa itu saya ditugaskan di Pos Lapan JTRB. Sebaik sahaja kami melewati Pos Enam, rakan saya Pbt Halim ternampak longgokan kulit binatang seperti baru sahaja ditinggalkan oleh pihak komunis. Seolah-olah kawasan tersebut menjadi tempat persinggahan mereka. Lantas Pbt Halim terus memaklumkan kepada LKpl Zaki namun tidak diendahkan dan beliau membuat keputusan untuk tetap meneruskan perjalanan ke Pos Lapan,” jelas anak kelahiran Batu Kurau ini.

    Setelah meneruskan perjalanan lebih kurang 200 m dari tempat penemuan longgokan kulit binatang itu tadi kira-kira jam 0900 pagi, dengan tiba-tiba kumpulan mereka diserang oleh pihak komunis anggaran 30 orang dari atas bukit sebelah kanan mereka. Dalam keadaan yang kelam-kabut itu, rakan Ielias iaitu Pbt Md Ali telah terkena tembakan ketika sedang mencari kedudukan yang sesuai untuk berlindung begitu juga dengan Pbt Tajuddin. Malangnya, beliau terkorban pada ketika itu juga.Screen Shot 2016-08-01 at 11.19.41 AM

    “Pada masa yang sama Pbt Halim turut terkena tembakan musuh semasa membuat tinjauan ke atas kedudukan musuh. Tembakan tersebut tepat mengenai perut, pinggang dan belakangnya. Beliau terus mengambil kedudukan meniarap dan tetap juga cuba melepaskan tembakan tetapi pada kali ini beliau ditembak pada bahagian bahu dan lengan kirinya pula. Bagi memastikan dirinya tidak terus menjadi sasaran pihak musuh, Pbt Halim berpura-pura mati dan ini berhasil apabila pihak komunis menyangka yang beliau telah benar-benar mati,” katanya lagi.

    Screen Shot 2016-08-01 at 11.19.34 AMDalam keadaan itu, Ielias yang berada dari bawah bukit menjerit-jerit memanggil LKpl Zaki bagi membantunya. Tapi apakan daya jeritannya itu, tenggelam dalam bunyi tembakan peluru yang dilepaskan oleh pihak musuh. Selepas tiga jam insiden tembak-menembak itu, pasukan sahabat melepaskan tembakan mortar ke arah kedudukan musuh.

    “Sejam berlalu, tiba-tiba saya terdengar bunyi ketukan buluh oleh pihak komunis beserta arahan dalam bahasa Cina. Sejurus selepas itu, saya ternampak dua anggota komunis menuruni bukit. Tanpa berlengah lagi, saya terus melepaskan tembakan dan berjaya mengenai salah seorang daripada mereka. Seorang yang masih hidup itu cuba untuk mengambil senjata rakannya yang terbunuh tadi namun kesempatan ini tidak saya persiakan apabila melepaskan tembakan kedua dan tepat ke arahnya. Serta-merta komunis itu mati di tempat kejadian,” terang beliau.

    Screen Shot 2016-08-01 at 10.50.58 AMPada jarak 30 kaki, Ielias dapat melihat empat orang komunis yang mana salah seorang daripada mereka cuba bergerak menghampiri beliau manakala yang lain beransur-ansur meninggalkan tempat kejadian. Terlintas terus dalam fikiran beliau untuk berpura-pura mati dalam keadaan mata terbeliak. Beliau bernasib baik kerana taktiknya berjaya. Dengan semangat tidak kenal menyerah, sekali lagi beliau melepaskan tembakan dan tepat ke bahagian pinggang musuh. Akhirnya komunis tersebut rebah di situ jua.

    Setelah keadaan beransur reda, Ielias terus mendapatkan Pbt Halim yang cedera parah. Pada 1600 pasukan sahabat dari Pos Lima JTRB tiba bagi membantu mereka. Anggota pasukan keselamatan yang tercedera dan terkorban telah di bawa ke Pos Lima JTRB dan diterbangkan dengan pesawat Nuri ke Markas Taktikal di Banding.

    Ielias pula beliau dibawa ke Hospital Ipoh untuk menjalani rawatan kerana hanya mengalami luka-luka kecil akibat pertempuran tersebut. Semasa di hospital, beliau menerima khabar pihak pengganas komunis menghubungi pasukannya untuk menyerang balas atas kematian rakan-rakan mereka. Lantas kawalan keselamatan diperketatkan di hospital bagi mengelakkan sebarang kejadian yang tidak diingini berlaku. Sehinggakan saudara-mara hendak datang melawat beliau pun terpaksa menjalani pemeriksaan yang teliti. Namun tiada kejadian yang tidak diingini berlaku.

    Atas kerana keberaniannya yang sungguh luar biasa membunuh tiga orang pengganas komunis termasuk seorang wanita, pada bulan dan tahun yang sama, PW I (B) Ielias yang pada ketika itu berusia 21 tahun telah dianugerahkan Pingat Panglima Gagah Berani (PGB) pada 29 Ogos 1977 oleh Yang di-Pertuan Agong, Sultan Yahya Petra Ibni Almarhun Sultan Ibrahim di Istana Negara.

    Screen Shot 2016-08-01 at 11.19.52 AMDan pada 12 Dis 1977, Sultan Perak ketika itu, Sultan Idris Shah telah berkenan menganugerahkan PW I(B) Ielias Pingat Keberanian Handalan (PKH) sempena Hari Keputeraan Baginda.

    Beliau kemudiannya diserapkan sebagai anggota tetap ke 9 Rejimen Renjer Diraja pada 1 Nov 1979 dan menamatkan perkhidmatan pada 1998 di unit terakhirnya Universiti Sains Malaysia sebagai Sarjan Mejar Rejimen untuk PALAPES.

    Bapa kepada empat orang cahayamata kini mengusahakan perniagaan makanan secara kecil-kecilan yang dibantu isteri tercinta, Aznah Abdul Rahman bagi menambah pendapatan apatah lagi tiga daripada anaknya masih belajar. Manakala anak sulung beliau pula mengikut jejak langkahnya menyertai Tentera Darat dan kini sedang menjalani latihan lanjutan di Melaka dalam Kor Perkhidmatan Diraja.

    Di akhir perbualan beliau turut berpesan kepada anggota tentera yang baru agar sentiasa mengenang segala jasa dan pengorbanan yang pernah dicurahkan oleh pejuang terdahulu dalam mempertahankan kedaulatan negara tercinta.

    “Mereka seharusnya lebih menghargai keamanan dan keharmonian yang dikecapi terkini. Tanpa golongan seperti saya dan sahabat yang terkorban ketika menentang pengganas komunis dahulu tak mungkin negara kita berada dalam situasi seperti sekarang. Bersyukur dan berterima kasihlah kepada barisan atau benteng pertahanan negara yang sanggup meninggalkan keluarga, saudara-mara dan sahabat-handai demi erti sebuah perjuangan yang sebenar,” kata bekas penuntut Sek Men Khir Johari, Sungai Sumun, Perak ini.

    [box type=”info” align=”” class=”” width=””]Artikel ini diterbitkan  dalam Majalah BTDM keluaran 192[/box]