KEDAH: Pameran Maritim dan Aeroangkasa Antarabangsa Langkawi 2025 (LIMA ’25) melabuhkan tirainya dengan mencatatkan rekod kehadiran lebih 450,000 pengunjung sepanjang lima hari penganjurannya sekali gus menjadikannya edisi paling berjaya dalam sejarah acara dwitahunan ini.
Menteri Pertahanan (MENHAN), Dato’ Seri Mohamed Khaled Nordin menyatakan bahawa angka ini menunjukkan sambutan luar biasa terhadap LIMA ’25 meskipun cuaca tidak menentu sepanjang tempoh penganjuran.
“Peningkatan ketara ini turut memberi impak besar terhadap perkhidmatan pengangkutan ke pulau peranginan ini apabila Ferry Line Ventures Sdn Bhd melaporkan lebih 40,000 tiket feri terjual sepanjang penganjuran dimana 100 perjalanan tambahan disediakan bagi memenuhi permintaan tinggi,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa menyempurnakan Majlis Penutup LIMA ’25 yang berlangsung di A.T.M.O.S Sphere Dome, Pusat Pameran Antarabangsa Mahsuri (MIEC) pada 24 Mei 2025.
Menurut beliau, penganjuran kali ini bukan sahaja menampilkan teknologi terkini dalam sektor maritim dan aeroangkasa, malah berjaya membuka ruang kerjasama strategik dan peluang perniagaan antara pemain industri tempatan dan antarabangsa.
LIMA ’25 berjaya menghimpunkan pelbagai entiti industri pertahanan, keselamatan, komersial serta teknologi maritim dan aeroangkasa dari dalam dan luar negara dengan penyertaan 860 pempamer dari 24 negara.
Turut hadir, Timbalan MENHAN, Tuan Hj Adly Zahari, Panglima Angkatan Tentera, Jen Datuk Hj Mohd Nizam Hj Jaffar, Ketua Polis Negara, IG Tan Sri Razarudin Husain, Ketua Setiausaha MINDEF, Datuk Lokman Hakim Ali dan Panglima-Panglima Perkhidmatan.
Gambar: Kpl Mohammad Shukri Suhaimi & LKpl Nik Ahmad Asyraaf Nik Husein