Islamic StateKeganasanRencana

Mengapa Anggota Tentera Dilarang Menyertai IS

Soalan-Soalan Lazim

Umum mengetahui isu-isu keganasan yang melibatkan Islamic State yang lebih dikenali sebagai IS, Islamic State of Iraq and Levant (ISIL), Islamic State of Iraq and the Levant (ISIL) atau Daesh iaitu panggilan yang diberikan oleh negara-negara Arab begitu kerap dilaporkan di media-media sosial. Keganasan keterlaluan yang tidak berperikemanusaian serta tidak bersifat islamik ini kerap dijadikan propaganda oleh media massa barat yang memusuhi dan membenci Islam demi menjatuhkan imej agama Islam dengan melambangkan agama ini sebagai agama pengganas. Walhal, hakikatnya Islam sendiri tidak menggalakkan peperangan malah turut melarang pembunuhan. Kumpulan militan IS merupakan kumpulan militan radikal yang menggunakan nama Islam sebagai topeng untuk berjihad. Kumpulan ini telah menguasai sebahagian besar kawasan di timur Syria, di utara serta barat Iraq serta terkini sudah meluas ke seluruh dunia sehingga ke Malaysia. Kumpulan ini menggunakan keganasan yang jauh terpesong daripada ajaran agama Islam seperti melakukan pembunuhan beramai-ramai ke atas musuh yang ditangkap, penculikan dan memenggal kepala petugas media dari negara luar.

Matlamat utama IS adalah untuk mewujudkan sistem pemerintahan khalifah iaitu negara yang diperintah oleh seorang pemimpin politik dan agama. Penularan penyebaran fahaman kumpulan militan ini dilihat bagaikan wabak di seluruh dunia sehinggakan Malaysia juga tidak terkecuali apabila kumpulan ini cuba merekrut rakyat negara ini. Pelbagai cara dan kaedah yang digunakan oleh kumpulan militan ini samada melalui media cetak mahupun elektronik demi mempengaruhi rakyat untuk menyertai perjuangan mereka yang tidak berasas. Justeru, kerajaan Malaysia sendiri telah mengambil langkah bagi membendung fahaman kumpulan militan ini dengan mengharamkan IS serta mengakui bahawa organisasi kumpulan ini adalah kumpulan pengganas yang akan merosakkan pemikiran rakyat Malaysia dan mencemarkan prinsip sebenar ajaran Islam.

Oleh sedemikian, sebagai lapisan benteng pertahanan negara yang pertama Angkatan Tentera Malaysia (ATM) terus mengambil langkah yang sama dengan mendokong arahan kerajaan Malaysia dan mengeluarkan arahan agar setiap anggota ATM dilarang sama sekali terlibat secara langsung atau tidak langsung dengan kumpulan militan ini. Bagi menerangkan secara terperinci dalil-dalil mengapakah Anggota ATM dilarang sama sekali menyertai IS, berikut adalah soalan-soalan lazim (Frequently Asked Questions – FAQ) dan jawapan bagi merungkai segala persoalan tersebut:

1. Sebagai seorang anggota ATM, kenapa saya dilarang sama sekali terlibat dalam ISIS?

Pertamanya, semua warga ATM perlu mengetahui bahawa Kerajaan Malaysia telah mengisytiharkan bahawa ISIS adalah sebuah kumpulan pengganas (kumpulan haram). Apabila sesebuah kumpulan atau pertubuhan itu telah diisytiharkan sebagai sebuah organisasi haram maka segala penglibatan atau kaitan dengannya juga pada undang-undang dan peraturan yang telah ditetapkan dalam organisasi ini. Perkara ini adalah sangat jelas dari hari pertama kita menyertai ATM. Semua anggota ATM adalah tertakluk kepada Akta Angkatan Tentera 1972 dan menyertai pertubuhan haram seperti ISIS ini adalah jelas merupakan satu kesalahan di bawah Akta tersebut.

Disamping itu, pelbagai lagi peraturan seperti Perintah Tetap Pasukan dan Formasi (SOP), Perintah Am AT, Perintah Am TD, Peraturan-peraturan Perkhidmatan Kakitangan Awam (JPA) 1993, Peraturan Tatatertib Perkhidmatan Awam 1993 dan pelbagai lagi peraturan dalam perkhidmatan dengan jelas menyatakan larangan kepada warga ATM supaya tidak menyertai sebarang pertubuhan haram.
Justeru, warga ATM yang terlibat dengan pertubuhan haram seperti ISIS ini boleh diambil tindakan di bawah undang-undang dan peraturan sedia ada. Keduanya, warga ATM perlu menyedari bahawa penglibatan dalam ISIS akan mencemarkan imej ATM sebagai organisasi yang menjadi benteng pertahanan negara. Ia amat bertentangan dengan sumpah taat setia seperti mana Ikrar Kesateria yang kita lafazkan sebagai seorang anggota tentera.

2. Apakah benar perjuangan militan ISIS bercanggah dengan ajaran Islam yang sebenarnya?

Perjuangan militan ISIS adalah sangat jelas bertentangan dengan ajaran Islam. Perkara ini telah diperjelaskan oleh Majlis Fatwa Kebangsaan yang bersidang pada tahun 2014. ISIS atau ISIL adalah merupakan rentetan dari gerakan Salafi Jihadi di Iraq yang pada asalnya terdiri dari tiga organisasi jihad yang berbeza: iaitu Ansar al-Islam yang terdiri dari kelompok Salafi Jihadi warga Iraq yang membentuk kawasan ‘pemerintahan Islam’ mereka yang tersendiri dan mengamalkan kehidupan Islam iortodoks dan radikal.

Keduanya, kumpulan Mujahidin berasal dari Jordan di bumi Iraq yang mengisytiharkan diri mereka sebagai Jamaah al-Tawhidwa al-Jihad di bawah pimpinan Abu Mus’ab al-Zarqawi yang berhijrah ke Iraq untuk melancarkan jihad memerangi pendudukan tentera Amerika Syarikat ke atas bumi Iraq dan kumpulan ketiga adalah al-Qaeda yang berhijrah dari Afghanistan, akibat serangan Amerika Syarikat keatas bumi Afghan selepas peristiwa 11 September. Kebanyakan para ulama Ahli Sunah WalJamaah di seluruh dunia telah mengingatkan umat Islam agar tidak terpengaruh dengan kumpulan ISIS atau ISIL ini kerana ideologi keganasan dan sikap mereka yang mengkafirkan orang yang tidak sehaluan dengan mereka dan menghalalkan darah mereka.

ISIS adalah kumpulan Salafi Takfiri iaitu golongan yang cenderung mengkafirkan orang lain yang tidak menganut ideologi yang sama dengan mereka. Malah mereka lebih ekstrem kerana sanggup membunuh umat Islam yang tidak sehaluan dengan ideologi salafi yang mereka anuti. Mereka membunuh rakyat yang tidak berdosa dan menghalau golongan Kristian dan Yazidi dengan penuh kezaliman. Para Ulama Ahli Sunnah di seluruh dunia melabelkan ISIS atau ISIL ini sebagai Khawarij di zaman moden dan Jumhur Ulama Ahli Sunnah bersepakat mengenai kesesatan dan juga penyelewengan golongan ini dan memperingatkan umat Islam agartidak terpedaya dengan segala propaganda ISIS atau ISIL ini.

Sehubungan itu, berdasarkan fakta-fakta yang telah dikemukakan dan selaras dengan nas-nas syarak, Majlis Fatwa Kebangsaan Malaysia berpandangan bahawa kecenderungan dan keghairahan umat Islam untuk berjihad atas nama ISIS atau ISIL di bumi Syria adalah berpunca daripada kekeliruan dalam memahami konsep jihad dan mati syahid yang sebenar menurut Hukum Syarak. Seruan jihad dan mati syahid yang dipegang oleh mereka adalah bercanggah dengan Islam dan boleh membawa kepada kekufuran kerana mereka menghalalkan darah sesama umat Islam.

Oleh itu, Majlis Fatwa Kebangsaan Malaysia telah menegaskan bahawa tindakan umat Islam dari Malaysia yang telah atau pun yang ingin berjuang atas nama jihad di bumi Syria bagi menyokong golongan ISIS atau ISIL adalah sia-sia kerana perjuangan mereka tidak tergolong sebagai jihad dan kematian mereka juga tidak dikategorikan sebagai syahid menurut kerangka Hukum Syarak. Majlis Fatwa Kebangsaan Malaysia telah menasihatkan seluruh umat Islam di Malaysia supaya menginsafi diri dan tidak mudah terpengaruh atau terjebak dengan keganasandan propaganda perjuangan kumpulan ISIS atau ISIL ini.

3. Apakah perbezaan Jihad militan ISIS dengan jihad Islam yang sebenarnya?

Jihad atau jahada yang berasal dari perkataan arab ini terlalu kerap disalahtafsirkan sebagai Perang Sabil (holy war). Adalah menjadi kesilapan jika hanya mengaitkan atau menyamakan jihad dengan berlawan atau berjuang atau berperang kerana ianya adalah salah satu aspek sahaja dari jihad. Jihad memberi pengertian yang amat besar dimana jihad adalah merupakan perjuangan untuk melaksanakan kebaikan dan menolak ketidakadilan, penindasan dan kemungkaran dari seseorang atau dalam masyarakat. Perjuangan ini adalah perjuangan rohani, sosial, ekonomi dan juga politikal.

Justeru, konsep dan ruang lingkup jihad itu sebenarnya amat luas dan bukannya hanya terhad kepada konflik bersenjata. Jihad di dalam medan perang mengikut pandangan Islam adalah merupakan pilihan yang terakhir danianya tertakluk kepada kondisi-kondisi yang tertentu. Ianya hanya boleh dilaksanakan oleh sebuah negara Islam yang diketuai oleh pemimpin Islam (bukan individu atau kumpulan) untuk mempertahankan kebebasan yang mana termasuklah kebebasan beragama. Sepertimana yang termaktub di dalam Al Quran:

“Diizinkan berperang bagi orang-orang (Islam) yang diperangi (oleh golongan penceroboh), kerana sesungguhnya mereka telah dianiaya; dan sesungguhnya Allah Amat Berkuasauntuk menolong mereka (mencapai kemenangan)” (al-Hajj: 22).  Begitu juga dengan ayat; ”Iaitu mereka yang diusir dari kampung halamannya dengan tidak berdasarkan sebarang alasan yang benar, (mereka diusir) semata-mata kerana mereka berkata: “Tuhan kami ialah Allah”.

Dan kalaulah Allah tidak mendorong setengah manusia menentang pencerobohan setengahnya yang lain, nescaya runtuhlah tempat-tempat pertapaan serta gereja-gereja (kaum Nasrani), dan tempat-tempat sembahyang (kaum Yahudi), dan juga masjid-masjid (orang Islam) yang sentiasa disebut nama Allah banyak-banyak padanya dan sesungguhnya Allah akan menolong sesiapa yang menolong ugamaNya (ugama Islam); sesungguhnya Allah Maha Kuat, lagi Maha Kuasa” (al-Hajj: 22).

Salah satu pertentangan ISIS tentang jihad dan mati syahid ialah mereka menganjurkan serta menggalakkan pengikutnya untuk mencapai mati syahid dengan cara bom bunuh diri (suicide bomber). Pelbagai hadis telah dimanipulasi untuk menggambarkan kelebihan mati sebagai syuhada. Rasulullah S.A.W. ada mengingatkan bahawa umat Islam di akhir zaman, terutama para pemimpin mereka, akan jauh sekali dari hakikat Islam dan bahkan sebahagian dari mereka akan menjadi seburuk-buruknya manusia. Para pemimpin ini akan menyesatkan golongan muda Islam yang ingin mendalami agama. Para pemimpin ini mendidik dan mengindoktrinasi pengikut mereka bahawa jika mereka menyerahkan nyawa dalam apa yang mereka katakan sebagai jalan Islam, maka mereka ini akan masuk ke syurga sebagai syuhada (syahid).

Ini adalah merupakan satu pembohongan dan manipulasi doktrin agama untuk kepentingan politik sempit mereka. Sepatutnya umat Islam bertanya kepada para pemimpin-pemimpin tersebut atas dasar dan hujah apa mereka menyatakan sedemikian. Sekiranya mati syahid itu boleh dicapai dengan cara meledakkan diri sendiri dengan bom maka mengapa pemimpin itu sendiri tidak melakukannya? Ini selaras dengan saranan dalam Al Quran Surah Ash Shaf, ayat 2 yang berbunyi “Mengapakah kamu mengatakan apa yang tidak kamu kerjakan?” Justeru, perlakuan dan tindakan bunuh diri atas nama jihad itu sama sekali tidak boleh dikategorikan sebagai suatu amal saleh, malah ia lebih merupakan pencemaran nama Islam serta pendurhakaan terhadap firman Tuhan. Al-Quran jelas menyatakan: “Hai orang-orang yang beriman, janganlah kamu memakan harta bendamu antara sesamamu dengan jalan batil, kecuali yang kamu dapatkan dengan perniagaan berdasar kerelaan di antara sesamamu. Dan janganlah kamu membunuh dirimu. Sesungguhnya Allah Maha Penyayang terhadapmu.” (An-Nisa: 29).

Kata-kata ‘janganlah kamu membunuh dirimu’ adalah melarang keras tindakan bunuh diri. Disamping itu apakah mungkin tindakan pembunuhan orang-orang tidak berdosa seperti yang dilakukan oleh ISIS terhadap golongan Yazidis, Assyrian, Rafidi dan sesama golongan Sunni boleh dianggap sebagai amal soleh yang akan memberikan izin seorang Islam itu masuk ke pintu syurga? Yang pasti adalah membuka jalan ke pintu neraka!

Abu Zaid bin Thabit bin Dhahak meriwayatkan bahwa Rasulullah S.A.W. bersabda: ‘Barangsiapa yang bersumpah palsu dan tidak mengatakan keadaan yang sebenarnya, sesungguhnya ia bukan dari pengikut Islam sebagaimana ia menganggap dirinya. Barangsiapa yang membunuh dirinya dengan sebuah alat maka ia akan disiksa dengan alat itu pada Hari Penghisaban. Seseorang tidak boleh bersumpah tentang sesuatu yang bukan haknya. Mengutuk seorang mukminin sama saja dengan membunuhnya.’ (Sahih Bukhari, Kitab Adab, bab Memanggil dengan nama buruk dan mengutuk).

Tindakan dan perlakuan pengikut ISIS ini sama sekali bertentangan dengan visi dan penafsiran tentang hakikat Jihad Islamiah. Apa yang berlaku di Syria dan Iraq adalah Perang Saudara untuk mendapatkan kuasa politik. Perang politik tidak boleh dikategorikan sebagai Jihad. Seruan Jihad menjadi mantra ISIS untuk merekrut pengikut mereka. Namun apa sebenarnya makna Jihad yang dimaksud Allah S.W.T. dan Rasul-Nya? Apa yang menjadi Jihad di masa kini yang patut kita ikuti? Al-Quran mengemukakan Jihad lain yang disebut sebagai Jihad Akbar sebagai: ‘Janganlah mengikuti orang-orang kafir dan berjihadlah terhadap mereka dengan Al-Quran ini dengan jihad yang besar.’ ( Al-Furqan:52)

Jihad akbar dan hakiki menurut ayat ini adalah melaksanakan dan mengajarkan isi Al-Quran. Sekarang ini bukan lagi masanya menghunus pedang tetapi saatnya menggunakan hujah dan kepintaran umat Islam. Apa yang dimaksud dengan hal ini dan bagaimana caranya kita harus masuk dalam medan perang agar manusia menyedari keindahan Islam dan ajarannya? Salah satu jawapannya adalah dengan memahami makna dari Jihad Fiallah atau Jihad Akbar yaitu Jihad terhadap nafsu dan kecenderungan buruk dalam diri kita, khususnya perjuangan kita melawan Syaitan. Inilah yang dimaksud dengan Jihad hakiki iaitu Jihad individual yang digunakan untuk memperbaiki diri menjadi soleh dan hamba Allah serta mengubah perlakuan Syaitan-syaitan dalam diri kita menjadi Muslim yang muttaqi agar kita boleh menarik orang lain ke dalam agama Islam.

Al-Quran menyatakan: ‘Barangsiapa berjuang maka ia berjuang untuk dirinya peribadi, sesungguhnya Allah Maha Kaya, bebas dari sekalian mahluk-Nya.’ (Al-Ankabut: 6) Ayat ini menggambarkan apa yang dimaksudkan dengan seorang Mujahid yang sebenar iaitu seorang yang berjuang di jalan Allah. Wawasan agung dan suci yang dilaksanakan secara konsisten dan konstan dalam praktik sebenar itulah yang dimaksud sebagai Jihad dalam terminologi Islam. Kita ini seharus menjadi contoh yang sempurna dari ajaran Islam dan untuk itu kita harus memahami ajaran Al-Quran serta sunnah Rasul. Rasulullah S.A.W. menyatakan bahwa sebaik-baik pernyataan dari keimanan yang hakiki adalah orang lain selalu terpelihara dan hidup damai kerana perlindungan kita. Islam disebut agama yang terbaik ialah jika semua orang merasa selamat dari kita dan kita tidak pernah mencederai mereka baik dengan tangan atau pun lidah (Sahih Bukhari, Kitabul Iman).

4. Apakah bahan-bahan propaganda ISIS yang dilarang dimiliki oleh anggota ATM?

ISIS mempunyai agensi media yang diberi nama Al-Hayat Media Centre yang mengeluarkan pelbagai jenis produk propaganda dalam bentuk CD, video, risalah, artikel, buletin, video game dan booklet. Segala produk dari agensi media ISIS ini tidak boleh dimiliki oleh anggota ATM kerana ia adalah bahan propaganda ISIS. Bahan-bahan ini baik dalam bentuk soft copy mahu pun bahan bercetak adalah dilarang sama sekali. Bahan-bahan larangan ini termasuklah t-shirt, sticker, poster, bendera, insignia atau apa sahaja bahan-bahan yang boleh mempromosi organisasi ini baik di laman sosial atau secara umum.

Bahan-bahan propaganda ISIS ini adalah terlalu banyak namun sebagai panduan, berikut adalah bahan-bahan yang dilarang:

  • CD yang mempromosi aktiviti ISIS.
  • Video-video yang mempromosi keganasan ISIS atau yang menggalakkan hijrah ke IS.
  • Risalah/artikel (soft dan hard copy) yang mempromosi aktiviti ISIS atau Khilafah yang mereka perjuangkan.
  • Video game dari produksi Al Hayat Media Centre.
  • Risalah ‘Hijrah to Islamic State”.
  • Majalah DABIQ (soft dan hard copy).
  • T-Shirt, sticker, insignia, bendera atau logo ISIS yang mempromosikan kumpulan ini.
  • Apa sahaja majalah/risalah atau buletin yang diasosiasikan dengan ISIS keluaran mana-mana negara atau mana-mana organisasi lain di dunia ini yang dengan jelas mempromosikan perjuangan, kegiatan atau Khilafah Islamiyah ISIS.
5. Kenapa ada segelintir anggota ATM terpengaruh dengan perjuangan ISIS?

Segelintir anggota ATM terlibat dengan perjuangan ISIS kerana faktor terpengaruh atau terikut-ikut kerana sentimen dan bukannya berdasarkan fakta. Ada juga yang terperangkap kerana tidak peka dengan undang-undang anti keganasan seperti SOSMA, POCA dan POTA yang baru diperkenalkan. Kenaifan tentang aspek perundangan juga menyebabkan ada anggota tidak menyedari bahawa mereka telah melakukan kesalahan di bawah undang-undang tersebut. Di samping itu ada segelintir warga ATM terpengaruh kerana kurangnya fahaman mereka tentang aspek jihad dan perjuangan mendirikan sebuah Khilafah. Mereka tidak memahami konsep dan pengertian jihad yang sebenarnya dalam Islam.

Apa yang paling ketara adalah mereka ini tidak memahami bahawa perjuangan menegakkan sebuah Khilafah adalah satu perjuangan yang ‘utopia’. Gagasan menegakkan Khilafah Islamiyah yang diperjuangkan oleh ISIS ini sebenarnya tiada dalam Al Quran. Seruan untuk berjuang menegakkan sebuah Khilafah Islamiyah sebenarnya adalah seruan kepada umat Islam untuk kembali kepada zaman kekhilafahan iaitu satu zaman atau era kegemilangan umat Islam suatu ketika dahulu bermula dari zaman Khalifah Ar Rashidin hinggalah kepada zaman Khalifah Utshmaniah yang runtuh pada tahun 1924. Perintah untuk menegakkan Khilafah ini sebenarnya tiada dalam Al Quran atau mana-mana sumber sejarah Islam yang berautoriti. Kesimpulannya, perjuangan untuk mendirikan sebuah Khilafah Islamiyah bukannya merupakan satu hukum.

Secara ringkasnya punca kekeliruan segelintir anggota tentera yang terjerumus dalam perjuangan ISIS ini adalah seperti berikut:

  • Tidak faham sebenarnya tentang konsep jihad, Daulah Islamiyah dan Khilafah Islamiyah.
  • Tidak tahu membezakan di antara aliran Salafi dengan Wahabi.

Mereka beranggapan bahawa aliran Salafi itu lebih islamik dan lebih suci berbanding dengan aliran anutan umat Islam arus perdana. Mereka merasakan diri mereka lebih islamik/lebih sunnah dari orang lain. Justeru, mereka ingin menjadi satu golongan yang eksklusif sehingga merasakan bahawa diri mereka sahaja yang layak masuk syurga. Mereka ingin mendekati agama Islam demi menebus kesilapan silam secara jalanpintas (short-cut to heaven). Cara yang dipilih ialah dengan mencapai mati syahid. Untuk memastikan mereka benar-benar dapat mati syahid maka ada yang sanggup menjadi pengebom berani mati (suicide bomber).

Mereka mempunyai fahaman agama yang cetek dan beramal mengikut tafsiran sendiri. Ada segelintir warga tentera ini belajar agama hanya melalui internet, whatsapp group atau di media-media sosial seperti ceramah agama di Youtube. Justeru, mereka amat mudah dipengaruhi oleh naratif-naratif ISIS. Mereka beranggapan agama Islam itu terlalu “eksklusif”. Justeru, mereka tidak mahu memahami betapa mudah dan indahnya agama Islam ini lalu timbul perasaan untuk bermusuh dengan orang bukan Islam malah bersikap keras sesama Muslim yang tidak sealiran.

Oleh sebab ceteknya pengetahuan agama mereka maka mereka tidak faham ilmu hadis lalu terpengaruh dengan hadis-hadis palsu atau hadis lemah yang di manipulasi oleh kumpulan ISIS. Sebagai contoh, hadis yang menyatakan tentang bersatulah dengan ‘tentera Allah dari Khorasan yang datang dengan panji-panji hitam pimpinan Mahdi’ yang merupakan satu hadis palsu. Mereka ini juga tidak memahami sejarah dan peradaban Islam lalu terpengaruh dengan perjuangan ISIS yang ingin menegakkan Khilafah Islamiyah yang merupakan satu perjuangan yang ‘utopia’.

Adakah umat Islam yang tidak berjihad menegakkan Khilafah Islamiyah tidak akan masuk syurga? Realiti inilah yang tidak dapat diasimilasikan oleh golongan yang cetek pemikiran agamanya lalu melihat Islam ini terlalu eksklusif. Mereka juga tidak mengkaji ‘asbab an nuzul’ iaitu sebab musabab dan konteks ayat Quran diturunkan. Disebabkan ceteknya fahaman agama dan sempitnya pandangan mereka terhadap aspek muamalat dan siasah (sosial dan politik) maka mereka menjadi ekstrem dan mempunyai nilai toleransi yang sangat tipis terutamanya terhadap saudara seagama mereka sendiri.

6. Bagaimana IS mempengaruhi minda anggota ATM?

ISIS menggunakan media sosial untuk mempengaruhi sentimen umat Islam di seluruh pelosok dunia agar bersimpati dan menyokong perjuangan mereka. Media sosial kini menjadi medium untuk menyampaikan maklumat kepada pengguna dengan cara yang paling cepat dan efisien. Naratif-naratif yang digunakan adalah perkara-perkara biasa yang menjadi fahaman dan anutan umat Islam seharian. ISIS menggunakan naratif jihad, sentimen umat Islam dihina dan dijajah, sentimen golongan Sunni ditindas, Daulah Islam, Khilafah Islamiyah, kegemilangan umat Islam, kebangkitan umat Islam, tradisi-tradisi Islam yang menjadi kebanggaan umat Islam dan pelbagai lagi perkara-perkara yang dapat dan boleh menaikkan sentimen umat Islam untuk bersimpati dan menyokong perjuangan mereka.

Justeru, minda umat Islam amat mudah dipengaruhi apabila sentimen-sentimen begini dimainkan dan diulang tayang berkali-kali di media sosial kerana ia digarap dengan begitu indah dan berkesan melalui penulisan, video clip, risalah dan poster. Oleh kerana umat Islam mempunyai akses yang mudah dan terkini kepada media sosial maka strategi ini amat mudah untuk mempengaruhi dan meresapi minda mereka. Faktor ini diperkuatkan lagi dengan situasi dan kondisi politik serta ekonomi umat Islam yang sangat lemah pada ketika ini. Gabungan naratif-naratif sebaran ISIS ini dengan situasi dan kondisi yang berlaku dalam dunia Islam kontemporari mencetuskan satu fenomena baru iaitu bersatunya segelintir umat Islam untuk menyokong perjuangan secara radikal apabila mereka melihat perjuangan melalui proses demokrasi tidak mempunyai hasil yang diharapkan.

Segelintir anggota ATM yang merasa mereka mempunyai ‘kebertanggungjawaban’ terhadap kondisi umat Islam yang ditindas menyebabkan minda mereka dipengaruhi sedangkan mereka sendiri tidak mengetahui dengan jelas fakta yang sebenarnya. Wawasan dan visi agama yang sempit serta sikap keterbukaan yang tipis menyebabkan minda mereka amat mudah dipengaruhi.

7. Jika seorang anggota ATM di dapati add/share/wechat/whatsapp bahan-bahan propaganda IS, apakah ia menyalahi undang-undang/peraturan sedia ada?

Sekali lagi diingatkan bahawa ISIS adalah satu kumpulan pengganas yang telah diisytiharkan oleh kerajaan Malaysia. Maka apa sahaja yang boleh disosiasikan dengan perjuangan kumpulan ini adalah merupakan satu kesalahan. Di bawah undang-undang baru yang diperkenalkan oleh kerajaan iaitu SOSMA, POTA dan POCA, kesemua aktiviti ini boleh menjadi satu kesalahan di bawah tajuk ‘mempromosi, merekrut, menyebar, menggalakkan, membantu, melindungi, menyebar dan menganjurkan’ aktiviti keganasan. Kesemua perkara ini adalah menjadi kesalahan di bawah Seksyen 130B hingga Seksyen 130Z KANUN KESIKSAAN dan boleh dijatuhi dengan pelbagai hukuman seperti penjara seumur hidup.

Justeru, untuk mengelakkan diri kita dari terperangkap dengan kesalahan-kesalahan sebegini adalah lebih baik anggota tentera tidak melibatkan diri dengan aktiviti social network, perkara-perkara yang berkaitan dengan aktiviti ISIS atau mana-mana kumpulan militan atau ekstremis. Sekiranya ada di antara kita menerima bahan-bahan mengenai perjuangan ISIS dari mana-mana individu atau group media sosial, adalah lebih baik ianya terus dipadam dan tidak perlu disebarkan kepada orang lain.

 

8. Apakah undang-undang/peraturan sedia ada sudah mencukupi untuk menghalang penglibatan anggota ATM dengan ISIS?

Undang-undang sivil dan peraturan perkhidmatan sedia ada sudah mencukupi untuk menghalang mana-mana warga ATM dari melibatkan dengan aktiviti militan atau pengganas. Berikut adalah senarai undang-undang sivil dan peraturan sedia ada dalam ATM:

  • Akta Angkatan Tentera 1972. Kanun Kesiksaan:
    (1) Sek 130C – Melakukan perbuatan pengganas.
    (2) Sek 130D – Memberikan peralatan kepada pengganas.
    (3) Sek 130E- Merekrut orang sebagai ahli kumpulan pengganas atau untuk menyertai perbuatan pengganas.
    (4) Sek 130F – Memberikan latihan dan arahan kepada kumpulan pengganas dan orang-orang yang melakukan perbuatan pengganas.
    (5) Sek 130G – Menghasut, menggalak atau mencari harta untuk berlakunya sesuatu perbuatan pengganas.
    (6) Sek 130H- Memberikan kemudahan sebagai penyokong perbuatan pengganas.
    (7) Sek 130I – Mengarahkan aktiviti kumpulan pengganas.
    (8) Sek 130JA – Keluar negara untuk melakukan perbuatan keganasan.
    (9) Sek 130JB – Pemilikan dan sebagainya berhubung dengan pengganas.
    (10) Sek 130JC – Kesalahan membina dan sebagainya untuk pengganas.
    (11) Sek 130JD – Persiapan perbuatan keganasan.
    (12) Sek 130K – Melindungi orang melakukan perbuatan keganasan.
    (13) Sek 130KA – Ahli kepada kumpulan pengganas.
    (14) Sek 130L – Pakat jahat jenayah.
    (15) Sek 130M - Sengaja meninggalkan daripada memberi maklumat mengenai tindakan pengganas
  • Akta Pencegahan Jenayah 1959 (PIN 2015) (POCA)
  • Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012(PIN 2015) (SOSMA).
  • Akta Pencegahan Keganasan 2015 (POTA).
  • Akta Langkah-Langkah Khas Menentang Keganasan Di Luar Negara 2015 (SMATA).
  • Akta Pencegahan Penggubalan Wang Haram Dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001.
  • Akta Penjara (PIN 2015).
  • Akta Keterangan 1950.
  • Arahan Majlis Keselamatan Negara NO 18.
  • Perintah Majlis Angkatan Tentera.
  • Perintah Am AT Bil 1/13 (berkenaan penggunaan media sosial dalam ATM).
9. Apakah kesalahan dan hukuman jika anggota ATM disahkan terbabit dengan gerakan militan ISIS? Apakah kesan kepada keluarga saya?

Pelbagai bentuk dan jenis hukuman boleh dikenakan ke atas anggota ATM yang terlibat dengan perjuangan ISIS bergantung pada jenis dan bentuk kesalahan yang dilakukan. Hukuman secara spesifik pula bergantung pada pertuduhan yang dikenakan oleh mahkamah. Sebagai panduan, beberapa kes terdahulu yang melibatkan anggota ATM yang telah dipertuduhkan dan dijatuhi hukuman oleh mahkamah adalah penjara dan kediaman terhad (buang daerah).

Apabila seseorang itu telah dijatuhi hukuman penjara, maka segala bentuk ‘privilege’ seperti ganjaran, pencen dan keistimewaan sebagai bekas anggota tentera akan luput dengan sendirinya. Keluarga dan anak-anak pula akan menanggung risiko kehilangan sumber mata pencarian dan kasih sayang dari seorang ketua keluarga. Malah kesan pemenjaraan juga akan mencetuskan konflik kekeluargaan sehingga berlaku perceraian dan anak-anak yang terbiar tanpa pendidikan yang sempurna.

Justeru, semua warga ATM perlu memikirkan implikasi terhadap perbuatan mereka yang melibatkan diri dengan aktiviti militan ini. Selain dari itu berikut adalah hukuman-hukuman lain yang boleh dikenakan:

  • Anggota boleh didakwa di Mahkamah Tentera.
  • Isteri dan ahli keluarga boleh didakwa di mahkamah sivil kerana membantu atau melindungi aktiviti keganasan (rujuk kes seorang isteri yang dijatuhi hukuman 6 bulan penjara kerana melindungi suaminya yang terlibat dengan perjuangan ISIS).
  • Pegawai atasan boleh didakwa di mahkamah sivil kerana melindungi orang melakukan perbuatan keganasan.
  • Ditamatkan perkhidmatan dengan keji.
  • Diberi teguran sebagai tindakan pentadbiran.
10. Jika saya mengetahui ada kalangan anggota ATM terlibat, bagaimana saya boleh membantu pihak atasan ATM?

Seperti yang telah dinyatakan bahawa sesiapa sahaja yang menyembunyikan maklumat berkenaan aktiviti keganasan adalah menjadi kesalahan di bawah Seksyen 130, Kanun Kesiksaan. Justeru, sebarang maklumat berkenaan aktiviti keganasan perlu dilaporkan kepada saluran pemerintahan masing-masing atau di pejabat Detasmen Keselamatan Medan (DKM) setempat. Ini adalah tanggungjawab setiap individu dalam ATM untuk mencegah menularnya aktiviti keganasan daripada merebak dalam organisasi ini.

11.  Apakah tanggungjawab saya sebagai anggota ATM dalam mencegah penglibatan anggota ATM dalam ISIS?

Pertamanya, setiap individu mestilah memastikan diri mereka sendiri tidak terlibat dengan aktiviti militan atau keganasan. Seterusnya, setiap individu dalam organisasi ini berperanan dalam mencegah penularan elemen-elemen radikalisme, ekstremisme dan militan di kalangan warga tentera. Konsep ini dipanggil ‘whole society approaches’.

Berikut adalah tindakan yang boleh dilakukan:

    • Melaporkan sebarang aktiviti atau kecenderungan warga tentera terhadap perjuangan ISIS mengikut saluran pemerintahan masing-masing.
    • Menasihati rakan sekerja yang menunjukkan kecenderungan kepada radikalisme dan ekstremisme.
    • Melaporkan sebarang kewujudan kumpulan-kumpulan yang ‘eksklusif’ dalam pasukan. Melaporkan kewujudan kumpulan-kumpulan ‘Whatsapp/ Instagram/Telegram/Wechat/Facebook/Twitter’ dan sebagainya di media sosial yang cenderung mempromosi perjuangan ISIS.
    • Memantau rakan sekerja yang melibatkan diri dengan jama’ah-jama’ah pengajian agama yang beroperasi secara sulit di luar pasukan.
    • Membimbing rakan sekerja yang menunjukkan kecenderungan kepada perjuangan ISIS.
    • Merujuk rakan sekerja yang bermasalah kepada pegawai atasan untuk diberi perhatian.
    • Memastikan aspek keselamatan dalam pasukan dipatuhi dan melaporkan sebarang insiden pencemaran disiplin di kalangan rakan sekerja.
    • Menggalakkan rakan sekerja yang bermasalah untuk menjalani proses kaunseling agar tidak terjerumus dengan perjuangan ISIS
12.  Apakah petunjuk-petunjuk seorang anggota ATM terlibat dengan ISIS?

Ada pelbagai petunjuk yang memberi indikasi bahawa seseorang anggota itu terlibat dengan perjuangan ISIS; berikut adalah garis panduan yang boleh digunakan:

  • Mereka mula mengasingkan diri dari kelompok sosial.
  • Mereka mula menubuhkan rangkaian sendiri di media sosial (whatsapp group, wechat group,telegram group, facebook group) yang dianggotai oleh individu-individu yang mereka percayai sahaja.
  • Mereka mula berhujah tentang perjuangan ISIS dan menunjukkan simpati kepada perjuangan di Syria dan Iraq.
  • Mereka mula berhujah tentang keperluan dan kewajipan berjuang untuk menegakkan sebuah Daulah Islam dan Khilafah Islamiyah.
  • Mereka mula menzahirkan hasrat untuk berhijrah ke Syria dan menyertai Khilafah Islamiyah.
  • Mereka cuba membuat pinjaman kewangan dengan Koperasi Tentera, ceti haram atau institusi kewangan dalam jumlah dan alasan yang mencurigakan.
  • Mereka mula berubah menjadi lebih Islamik dan bercakap tentang jihad, mati syahid dan ganjaran-ganjaran pahala dalam berjihad.
  • Secara tiba-tiba mereka memajukan permohonan cuti yang panjang dengan alasan untuk melakukan umrah atau bercuti di mana- mana negara di Timur Tengah.
  • Mereka menunjukkan sensitiviti yang berlebihan terhadap nasib umat Islam terutamanya kepada golongan Sunni dan menunjukkan kebencian yang amat ketara kepada golongan Syiah.
13.  Apakah ancaman ISIS terhadap ATM?

ISIS sememangnya menjadi ancaman kepada ATM sebagai sebuah organisasi ketenteraan dan kepada warganya yang menjadi aset sumber manusia. ATM adalah sebuah organisasi yang menjadi benteng pertahanan negara. Keselamatan dan kedaulatan Negara Malaysia ini adalah dipertanggungjawabkan kepada ATM. Sekiranya elemen-elemen ISIS telah meresap ke dalam organisasi ini maka amat sukar bagi kita untuk melaksanakan tugas dan tanggungjawab sebagai benteng pertahanan negara. Berikut adalah ancaman ISIS kepada ATM:

  • Elemen ISIS akan menjejaskan keselamatan fizikal seperti keselamatan kem, instalasi, persenjataan dan peralatan ATM.
  • Elemen ISIS akan menjejaskan keselamatan operasi, kerahsiaan, latihan dan tugasan ATM baik dalam waktu aman mahu pun dalam waktu konflik.
  • Elemen ISIS akan menjejaskan moral dan semangat setiakawan kerana terdapatnya ‘musuh dalam selimut’ dalam organisasi ini.
  • Elemen ISIS akan membocorkan rahsia perkhidmatan, keupayaan, aturgerak dan maklumat-maklumat berkenaan ATM sehingga menjejaskan organisasi ini.
  • Organisasi ATM dan warganya akan menjadi sasaran kepada serangan pengganas ISIS.
  • ISIS berkebolehan mensabotaj operasi, peralatan, persenjataan, operasi dan tugasan ATM seki- ranya mereka mempunyai maklumat yang diperolehi dari ‘symphatiser’ mereka.
  • Trup dan warga ATM yang bertugas di luar negara boleh menjadi sasaran ISIS. ISIS juga boleh memberikan ancaman siber kepada ATM.
  • Keberkesanan dan keupayaan ATM untuk melaksanakan tugas menjaga kedaulatan negara akan terjejas apabila kerahsiaan dan kesiapsiagaan trup dan pasukan telah di ‘compromise’.
  • ATM terpaksa berhadapan dengan satu medan tempur yang baru iaitu ‘asymmetric warfare’ sehingga menjejaskan tumpuan terhadap tugas-tugas konvensional yang sedang dilakukan sekarang.
14.  Apakah ISIL, ISIS, IS dan DAESH sebuah gerakan pengganas yang sama?

Ya. Kesemua nama ini hanya berbeza dari segi istilah sahaja yang menunjukkan masa ia ditubuhkan tetapi ia memberi representasi kepada subjek yang sama. Seperti kata pepatah Inggeris “same wine but different bottle”. Berikut adalah penjelasan tentang kesemua nama-nama tersebut:

  1. Islamic State of Iraq and the Levant (ISIL) - Wilayah yang tidak didefinasikan sekitar Syria mengikut sejarah di rujuk sebagai Levant (dalam istilah bahasa Perancis lama iaitu merujuk kepada ‘lands of the rising sun’. ‘The Levant’ mengikut sejarah merujuk kepada wilayah sekitar Syria dan termasuk Lebanon, Israel, Palestine dan Jordan.
  2. Islamic State in Iraq and Syria (ISIS) - Tiga perkataan pertama merujuk kpd Islamic State of Iraq (ISI) sementara ‘al Sham” merujuk kepada Syria dan wilayah di sekitarnya. Nama ISIS muncul setelah mereka menawan wilayah di Syria.
  3. Islamic State (IS) – Kumpulan ini menggugurkan dua perkataan di hujung untuk mendapatkan pengiktirafan masyarakat dunia tentang Khilafah (Caliphate) yang mereka isytiharkan sendiri.
  4. Ad-Dawla Al-Islamiya Fi Iraq Wa Ash-Sham (DAESH/ DAIISH) - Daesh ialah singkatan nama kumpulan ini dalam bahasa Arab, ‘al-Dawla al-Islamiya fi Iraq wa ash-Sham’. Kadang kala ia dieja dengan ejaan DAIISH atau Da’esh.
15. Apakah yang perlu saya lakukan bagi mengelakkan diri saya dari terjebak dengan gerakan militan ISIS?

Seperti yang telah dinyatakan, ISIS adalah sebuah gerakan pengganas. Justeru, sematkan dalam pemikiran kita bahawa penglibatan dalam apa jua bentuk aktiviti perjuangan ISIS adalah merupakan satu kesalahan. Untuk mengelakkan diri dari terjebak dengan ISIS, maka tidak perlu kita bersimpati atau menyokong perjuangan mereka. Fahamkan diri kita bahawa ISIS bukannya berjuang mewakili orang Islam dan Khilafah yang mereka isytiharkan itu tidak diiktiraf oleh mana-mana negara di dunia ini. Fahamkan juga diri kita bahawa apa yang ber- laku di Syria dan Iraq sekarang adalah Perang Saudara. Perang ini adalah perang di antara beberapa kabilah atau puak yang ingin mendapatkan kuasa seterusnya mengawal sumber alam di Iraq dan Syria. Ia tiada kena mengena dengan jihad atau mempertahankan agama Islam. Kita tidak perlu berkongsi atau menyebarkan apa saja bahan-bahan mengenai ISIS. Di bawah undang-undang baru yang diperkenalkan oleh kerajaan iaitu SOSMA, POTA dan POCA, kesemua aktiviti ini boleh menjadi satu kesalahan di bawah tajuk ‘mempromosi, merekrut, menyebar, menggalakkan, membantu, melindungi, menyebar dan menganjurkan’ aktiviti keganasan. Kesemua perkara ini adalah menjadi kesalahan di bawah Seksyen 130B hingga Seksyen 130Z KANUN KESIKSAAN dan boleh dijatuhi dengan pelbagai hukuman seperti penjara seumur hidup. Sebelum kita melakukan sesuatu yang bakal merugikan masa depan dan hidup kita, maka kita mestilah memikirkan implikasi kepada diri, keluarga, saudara mara, sahabat handai serta organisasi akibat dari perbuatan kita tersebut.

16. Kenapa militan ISIS berminat merekrut anggota tentera?

ISIS berminat merekrut anggota tentera kerana warga tentera mempunyai pelbagai kemahiran dan kepakaran. ISIS memerlukan individu yang berkemahiran untuk mengendalikan senjata, berperang, mengendalikan persenjataan dan radar, mahir dalam komputer, berkebolehan memandu, tahan lasak dan boleh menerima arahan dari pihak atasan. Individu yang berkemahiran dan mempunyai kepakaran sebegini akan ditugaskan sebagai pemandu, pengutip cukai, pengawal stesen jana kuasa, penembak curi, membunuh tawanan, menjadi pengebom berani mati dan pelbagai lagi tugas yang tidak akan dilakukan oleh warga Syria dan Iraq. Pejuang asing yang menyertai ISIS sebenarnya adalah askar upahan (mercenaries) kerana mereka dibayar upah/gaji untuk melakukan tugas-tugas sebagai tentera dalam Khliafah Islamiyah mereka.


Artikel Berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button

Situs Judi Slot Terbaik Dan Terpercaya No 1

Slot Gacor

Slot Gacor

Slot Gacor

Slot Gacor

Slot Gacor

Slot Gacor

Slot Gacor

Slot Gacor

Slot Gacor

Slot Gacor

Slot Gacor

Slot Gacor

Slot Gacor

Slot Gacor

RTP Live

Situs Slot Bet Kecil

Slot Online

Situs Judi Slot Terbaik Dan Terpercaya No 1

Bonus New Member

Bonus New Member

slot bet kecil

Bonus New Member

Bonus New Member

Bonus New Member

Bonus New Member

slot pulsa

slot depo pulsa 10k

demo slot pragmatic

slot bet kecil

Sbobet

Slot Gacor

Bonus New Member

Slot Gacor

RTP Slot

Situs Judi Slot Terbaik dan Terpercaya No 1

Bonus New Member

Bonus New Member

Bonus New Member

Bonus New Member

Bonus New Member

Bonus New Member

Bonus New Member

bonus new member

Slot Gacor

Slot Gacor

Slot Gacor

Slot Gacor

Slot Gacor

Slot Bonus

bonus new member

sicbo online