Bersama PemimpinMK TDSemasa

Inovasi TD Produk Berimpak Tinggi

KUALA LUMPUR: Warga Markas Tentera Darat (MK TD) menghadiri Majlis Penyampaian Anugerah Inovasi dan Penulisan Esei Panglima Tentera Darat (PTD) Tahun 2016 serta Pelancaran Logo Malaysian Army Standards (MASt) yang disempurnakan PTD, Jen Tan Sri Dato’ Sri Zulkiple Hj Kassim di Auditorium Kementerian Pertahanan pada 10 Nov 2017.

Majlis yang merupakan acara tahunan ini merupakan pengiktirafan kepada warga TD yang mempamerkan kecemerlangan dalam penghasilan inovasi produk berimpak tinggi selain mencambah kreativiti warga TD dalam penulisan esei dan reka cipta yang mana secara keseluruhannya Anugerah Pengurusan dan Inovasi TD Tahun 2016 dimenangi oleh MK Pemerintahan Latihan dan Doktrin TD.

Dalam ucapan PTD, beliau mengucapkan syabas kepada formasi-formasi kerana telah berusaha menghasilkan idea dan produk masing-masing setiap tahun untuk dipertandingkan seterusnya menyokong usaha ke arah membina warga TD yang berinovasi dan berkreativiti tinggi.

“Ini bertepatan dengan apa yang telah saya gariskan pada Teras Keempat Perintah Ulung saya iaitu, amalan inovasi serta kreativiti perlu dibudayakan supaya segala sumber atau aset dapat diuruskan dengan berhemah, perkhidmatan diberikan dengan berkualiti dan risiko yang memudaratkan dapat dielakkan.

“Untuk itu, saya berkehendakkan semua peringkat pemerintah memartabatkan pembudayaan dan penyuburan nilai-nilai inovatif dan kreativiti dalam formasi dan pasukan masing-masing dengan meletakkan komitmen pada aras yang tertinggi dan sentiasa memberi sokongan sepenuhnya ke atas penyertaan pasukan yang terpilih mewakili formasi masing-masing dan jika berjaya akan membawa nama TD ke peringkat yang lebih tinggi,” tegas PTD.

Sebanyak 142 penyertaan daripada semua formasi TD mengambil bahagian dalam 12 kategori yang dipertandingkan yang mana Anugerah Pengurusan Inovasi TD kategori Inovasi Pengurusan Sumber Manusia dimenangi oleh Institut Pegawai Kanan Tentera Darat (INSPEKA) iaitu inovasi Perkongsian Pintar INSPEKA Agensi Awam: Strategi Memperkasa TD dan Negara, kategori Inovasi Pengurusan Kewangan memperlihatkan kemenangan berpihak kepada 91 Depot Pusat Ordnan Diraja dengan projek bertajuk Pengurusan Perolehan Alat Ganti Kenderaan TD (MIS).

Manakala kategori Inovasi Pengurusan Projek dimenangi oleh Pusat Latihan Armor (PULAMOR) menerusi projek bertajuk Recycle Turret 90 mm Cockerill Training Stand with Monitoring System, kategori Inovasi Pengurusan Pelanggan disandang oleh MK 1 Div menerusi projek bertajuk Markas Pemerintahan Medan Timur TD – Agen Transformasi Pembangunan dan Mensejahterakan Rakyat Negeri Sarawak serta kategori yang terakhir iaitu Anugerah Inovasi Pengurusan Teknologi Maklumat dan Komunikasi dimenangi oleh Wisma Transit KL menerusi projek Sistem E-Transit.

Selain itu, keputusan Pertandingan Kumpulan Inovatif dan Kreatif (KIK) Kategori Pengurusan dimenangi oleh Batalion Ke-26 Rejimen Askar Melayu Diraja menerusi projek bertajuk Sistem Push-Up Database Hornet, Kategori Teknikal pula disandang oleh Institut Kejuruteraan TD dimana kumpulan ini telah mengetengahkan projek yang bertajuk Kesukaran Mengeluarkan Kartus Kosong yang Melekat pada Chamber Senjata 20 mm Cannon melibatkan latihan tembakan tidak dapat dilaksanakan dengan efektif dan yang terakhir sekali bagi kategori Hybrid dimenangi oleh Pusat Latihan Peperangan Khas (PULPAK) dan Pusat Latihan Kor Perkhidmatan Diraja (PULMAT) melalui projek Penggunaan Payung Terjun anggota yang telah diubahsuai sebagai Payung Kargo.

Bagi Anugerah Pengiktirafan dimenangi oleh Muzium TD menerusi Operasi Gangga yang telah mendapat Pengiktirafan Antarabangsa Muzium TD dalam Aspek Arkeologi Ketenteraan, Kategori Anugerah Pengurusan Logistik disandang oleh 73 Batalion Ordnan Diraja, manakala Anugerah Pengurusan Bgd dimenangi oleh MK 5 Bgd dan kategori Pengurusan Div berjaya disandang oleh MK 4 Div.

Terdahulu dari itu turut dilancarkan logo MASt yang merupakan manual kualiti serta dibangunkan bagi membolehkan keberkesanan dan kecekapan sistem prosedur sedia ada dalam TD dapat diseragamkan bagi manfaat semua warga TD dengan kejayaan membangunkan 33 MASt dalam tempoh satu tahun dimana pembangunan MASt ini dilaksanakan secara berfasa dimulakan dengan tiga MASt yang pertama iaitu Pengurusan Keluar dan Masuk Kem Tentera, Pengurusan Stor Senjata dan Pengurusan Kompleks Sajian TD.

Turut hadir Timbalan Panglima Tentera Darat, Lt Jen Dato’ Seri Panglima Hj Ahmad Hasbullah Hj Mohd Nawawi dan pegawai-pegawai kanan TD.

 

Gambar: Tengku Norsuraya Tengku Abd Rahman

Artikel Berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button

bonus new member

sicbo online