Bersama PemimpinMK TDSejarahSemasa

KPTD Tangani Isu Disiplin dan Jenayah – PTD

KUALA LUMPUR: Panglima Tentera Darat (PTD), Jen Tan Sri Datuk Zamrose Mohd Zain menegaskan bahawa Polis Tentera merupakan barisan hadapan atau frontliners dalam menangani isu-isu berkaitan pelanggaran disiplin dan perlakuan jenayah.

Tambahnya lagi, KPTD merupakan organisasi penguatkuasa yang mendukung kedaulatan undang-undang dan berorientasikan kepada tugas kepolisan serta merupakan salah satu organisasi penting dalam Tentera Darat (TD).

Beliau berkata demikian dalam ucapannya semasa menyempurnakan Majlis Perasmian dan Penyerahan Kereta Peronda KPTD di Padang Kawad Pusat Latihan Polis Tentera (PULAPOT) pada 10 Sep 2020.

Terdahulu, PTD menerima tabik hormat daripada 10 pegawai dan 80 anggota Lain-Lain Pangkat (LLP) KPTD bersama 40 buah kereta peronda dalam perbarisan statik yang diketuai oleh Lt Kol Shamsulakmar Hj Ismail.

Tentera Darat Malaysia (TDM) khususnya KPTD menerima sebanyak 40 buah kereta peronda jenis Honda Civic 1.8s secara sewaan daripada Syarikat SPANCO Sdn Bhd.

Perolehan aset baharu ini juga sejajar dengan Perintah Ulung PTD yang berlandaskan kepada tiga Prinsip dan lima Tonggak (3P 5T) dimana ia termaktub di dalam Tonggak Pertama iaitu Kelangsungan Misi dan Kesiagaan yang memberikan tumpuan kepada lima perkara utama.

“Saya amat memahami kekangan yang dihadapi oleh KPTD khususnya dari aspek mobiliti dalam melaksanakan tugas-tugas kepolisan yang semakin mencabar.

“Justeru bagi membantu KPTD melaksanakan tugas kepolisan dengan berkesan, TD telah meluluskan perolehan 40 buah kereta peronda secara sewaan bagi tempoh selama lima tahun,” jelas PTD.

Menurut PTD lagi, perolehan kereta peronda ini adalah bertepatan dengan keperluan semasa TD dan sebagai salah satu usaha TD bagi membantu memperkasa keupayaan dan mempertingkatkan keberkesanan pengoperasian KPTD.

Fungsi teras KPTD adalah Policing The Force iaitu memastikan disiplin warga TD berada pada tahap yang tinggi dan sentiasa patuh kepada undang-undang.

Dalam majlis tersebut, PTD menyerahkan replika kunci kepada Pengerusi KPTD, Brig Jen Dato’ Hj Mislan Anuar sebagai simbolik kepada penerimaan kereta peronda yang julung-julung kali diterima dalam perkhidmatan Tentera Darat Malaysia (TDM) amnya dan KPTD khasnya.

Turut hadir, Timbalan Panglima Tentera Darat (TPTD), Lt Jen Datuk Hasagaya Abdullah, Panglima Medan Barat Tentera Darat, Lt Jen Dato’ Mohammad Ab Rahman dan Ketua Pegawai Eksekutif SPANCO Sdn Bhd, Dato’ Hamzah Mohd Salleh.

Gambar: Saifun Hakimi Zainon

Artikel Berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button