PenghargaanSemasa

Perbarisan Penghargaan Mej Jen Shamsiruddin Mohd Shariff

NEGERI SEMBILAN: Panglima Tentera Darat (PTD), Jen Tan Sri Datuk Zamrose Mohd Zain merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Mantan Ketua Pengarah Operasi Cawangan Operasi dan Latihan Tentera Darat (KP OPLAT), Mej Jen Shamsiruddin Mohd Shariff yang akan bersara setelah lebih 41 tahun mencurahkan khidmat bakti kepada nusa, bangsa dan negara tercinta.

“Setiap yang bermula pasti akan berakhir dan kini tiba masanya untuk Mej Jen Shamsiruddin Mohd Shariff meletakkan noktah perjalanan perkhidmatannya yang cemerlang dan kita perlu akur dengan ketentuan yang ditetapkan oleh Ilahi,” jelas PTD.

Tambah PTD lagi, TD dan RAMD merasa sedih di atas kehilangan seorang pegawai kanan yang memberi sumbangan yang cukup besar dan bermakna kepada organisasi.

“Saya sarankan agar ketokohan beliau dijadikan contoh dan teladan agar dapat melahirkan generasi baharu pemimpin TD yang cemerlang dan berdedikasi,” tegasnya.

PTD berkata demikian semasa ucapan beliau dalam Perbarisan Penghargaan Mej Jen Shamsiruddin Mohd Shariff di Dewan Makan Batalion Ke-15 Rejimen Askar Melayu Diraja (15 RAMD) pada 4 Dis 2020.

Mengimbas keperibadian Mej Jen Shamsiruddin Mohd Shariff, beliau dilahirkan di Rembau, Negeri Sembilan pada 16 Dis 1960 dan mula menceburi bidang ketenteraan dengan mengikuti latihan Pegawai Kadet di Maktab Tentera Diraja di Sungai Besi pada 6 Jan 1979.

Beliau kemudian ditauliahkan pada 31 Dis 1979 ke dalam RAMD dan memulakan perkhidmatannya sebagai Ketua Platun di 7 RAMD yang berpangkalan di Selangor pada ketika itu.

Antara jawatan penting pernah disandang ialah Pegawai Memerintah 15 RAMD, Jurulatih Kanan di Pusat Latihan Darat, Timbalan Komandan di Institut Pegawai Kanan TD dan Pengarah Rancang dan Pembangunan Pasukan Sumpanan TD.

Selain itu beliau juga pernah menjawat jawatan sebagai Ketua Penolong Setiausaha di Bahagian Dasar dan Perancangan Strategik KEMENTAH, Panglima 9 Bgd serta jawatan terakhir beliau adalah KP OPLAT.

Beliau telah berkahwin dengan Che Rohana Abdul Kadir dan dikurniakan tiga orang cahaya mata.

Terdahulu dari tu, Mej Jen Shamsiruddin Mohd Shariff menerima tabik hormat terakhir dari Kontinjen Perbarisan terdiri daripada sembilan pegawai dan 108 anggota Lain-Lain Pangkat (LLP) diketuai oleh Pegawai Memerintah 15 RAMD, Lt Kol Norhidayat Hj Zainal dalam keadaan norma baharu mengikut Standard Operasi Prosedur (SOP) yang digariskan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Sementara itu, dalam ucapan Mantan KP OPLAT beliau menzahirkan rasa kesyukuran dan ucapan penghargaan kepada PTD di atas kesudian beliau hadir bersama-sama pada perbarisan penghargaan persaraannya.

“Saya amat terharu atas pengorbanan saudara-saudari bersusah payah merealisasikan perbarisan pada pagi ini walaupun kita dalam suasana PKPB.

“Walaupun berhadapan dengan kekangan melaksanakan operasi namun masih memberi keutamaan untuk perbarisan penghargaan saya dan majlis cukup bermakna ini akan menjadi satu pengalaman serta ingatan manis yang akan dikenaang selamanya,” katanya.

Tambahnya lagi, TD telah mendewasakannya dan memberi ilmu, kemudahan serta kebajikan kepada beliau dimana TD juga menjadi sebuah keluarga yang besar dan anugerah ini tidak dapat dibeli dengan wang ringgit dimana-mana organisasi awam atau swasta.

Turut hadir, Panglima Medan Barat Tentera Darat, Lt Jen Dato’ Mohammad Ab Rahman dan Panglima 3 Div, Mej Jen Dato’ Tengku Muhammad Fauzi Tengku Ibrahim.

Gambar: Sjn Saiful Fazley Rusli

Artikel Berkaitan

Back to top button