Bersama PemimpinMisi PengamanSemasa

ATM Teguh Hubungan Antarabangsa

KUALA LUMPUR: Menteri Kanan Pertahanan, Dato’ Sri Hishammuddin Tun Hussein merakamkan setinggi-tinggi ucapan tahniah dan syabas kepada seluruh pasukan Batalion Malaysia 850-9 (MALBATT 850-9) di atas pengorbanan, komitmen dan perjuangan yang tidak berbelah bahagi.

“Walaupun dunia masih dilanda pandemik COVID-19, ianya tidak membantutkan hasrat kumpulan pertama MALBATT 850-9 untuk melaksanakan misi di bawah Pasukan Interim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dengan penuh bersemangat walaupun terpaksa meninggalkan keluarga tercinta demi tugas dan tanggungjawab sebagai seorang anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

“Penglibatan ATM dalam melaksanakan misi United Nations Interim Force In Lebanon (UNIFIL) di bawah panji-panji PBB semenjak tahun 2007 membuktikan pengiktirafan berterusan PBB terhadap ATM sekaligus Malaysia terus diberi kepercayaan dan penghormatan tertinggi di peringkat antarabangsa,” jelas Menteri Kanan Pertahanan.

Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Majlis Pemakaian Beret PBB, Penyerahan Bendera Malaysia dan Penghantaran Kumpulan Pertama MALBATT 850-9 di Cabang Pergerakan Udara, Pangkalan Udara Subang pada 30 Sep 2021.

Kumpulan Pertama MALBATT 850-9 yang diketuai oleh Kol Megat Maz Ardi Nohuddin selaku Komander telah berlepas ke Lubnan pada hari ini bersama 218 pegawai dan anggota Lain-Lain Pangkat (LLP) bagi menyertai misi pengaman selama setahun.

Untuk rekod, MALBATT 850-9 berkekuatan seramai 854 anggota ATM termasuk 30 anggota dari Angkatan Bersenjata Diraja Brunei dan seorang pegawai awam Kementerian Pertahanan akan diatur gerakkan ke negara berkenaan secara berfasa.

Aturgerak pasukan MALBATT 850-9 pada kali ini menampilkan jumlah anggota wanita paling ramai sejak ATM terlibat dalam Misi UNIFIL iaitu seramai 11 pegawai dan 75 anggota LLP dimana mereka akan melaksanakan misi selama setahun berbanding enam bulan secara penggiliran sebelum ini.

Ini membuktikan keupayaan dan kredibiliti anggota wanita ATM selari dengan keperluan semasa UNIFIL yang sememangnya memerlukan lebih ramai penglibatan anggota wanita bagi melaksanakan tugasan berkaitan kemasyarakatan melibatkan wanita-wanita tempatan.

Tambah Menteri Kanan Pertahanan, Force Integration Training (FIT) yang telah ditempuhi oleh anggota MALBATT 850-9 di MALBATT Village, Port Dickson pada 28 Jun hingga 20 Ogos 2021 yang lalu amat penting bagi mempersiapkan mental dan fizikal para anggota memandangkan operasi PBB dilaksanakan di negara yang berbeza persekitaran, iklim serta budaya.

Di akhir ucapan, beliau merakamkan setinggi-tinggi perhargaan dan terima kasih kepada seluruh keluarga MALBATT 850-9 yang telah memberi restu membenarkan suami, isteri, anak, abang atau adik melaksanakan misi di luar negara.

Terdahulu dari itu, beliau menyempurnakan acara pemakaian beret PBB yang dimulakan dengan pemakaian beret kepada Komander MALBATT 850-9 lalu diteruskan acara serah menyerah bendera Malaysia sebagai simbolik bahawa MALBATT 850-9 siap untuk diatur gerak disaksikan pegawai-pegawai kanan ATM.

Turut hadir, Panglima Angkatan Tentera (PAT), Jen Tan Sri Dato’ Sri Hj Affendi Buang TUDM, Ketua Setiausaha (KSU) Kementerian Pertahanan, Dato’ Sri Muez Abd Aziz, Panglima Tentera Darat (PTD), Jen Tan Sri Datuk Zamrose Mohd Zain.

Gambar: Pbt Muhammad Shafirin Mohd Radzi

Artikel Berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button