Bersama PemimpinSemasa

MINDEF Fokus Lapan Teras Dalam Amanat Tahun Baharu 2022

KUALA LUMPUR: Menteri Kanan Pertahanan, Dato’ Seri Hishammuddin Tun Hussein menjelaskan bahawa Kementerian Pertahanan (KEMENTAH) telah mempunyai perancangan yang rapi di bawah Pelan Tindakan 2022 (PT 2022) dengan penglibatan langsung semua pihak.

“Hari ini kelapan-lapan teras berkenaan telah dimuktamadkan dengan mempunyai perancangan, hala tuju dan matlamat yang selari hasil daripada buah fikiran semua pihak yang terlibat.

“Antara lapan teras tersebut merangkumi Kebajikan, Kesiagaan dan Keupayaan, Kerjasama Pertahanan Antarabangsa, Pemerkasaan Veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Kompetensi Pertahanan, Kerjasama Awam-Tentera, Industri Pertahanan Nasional dan Kesiagaan Terhadap Krisis Berskala Besar.

“Kebajikan merupakan antara teras yang terpenting terutamanya berkaitan dengan aspek perumahan di mana Blueprint Perumahan 3.0 KEMENTAH dilaksanakan dengan sebanyak 12,000 unit Rumah Keluarga Angkatan Tentera Malaysia (RKMAT) bakal dibina dan bagi tahun 2022 dijangka tujuh projek pembinaan RKMAT akan siap di enam buah negeri iaitu Kedah, Kelantan, Perlis, Johor, Serawak dan Pahang,” ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Majlis Amanat Tahun Baharu 2022 Menteri Kanan Pertahanan di Dewan Perkasa, Wisma Perwira ATM pada 17 Jan 2022.

Tambah Menteri Kanan Pertahanan lagi, pada tahun 2022 ini Tentera Darat (TD) akan menerima aset-aset baharu termasuklah tujuh unit Kereta Kebal Pendekar dan 31 unit kenderaan perisai 8×8 Gempita bermula pada Jan manakala Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) akan menerima tiga buah pesawat AW 139 atau Helikopter Operasi Maritim (HOM) daripada Itali bermula Mac dan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) akan meningkatkan keupayaan Maritime Surveillance Aircraft (MSA) ke atas tiga pesawat CN235-200, dan F/A 18D melalui program Service Life Extension Program (SLEP) serta Airbus A400M dengan pendekatan Retro Fit New SOC 2.5.

Program diakhiri dengan penyampaian sumbangan kepada mangsa banjir warga KEMENTAH yang merupakan simbolik kepada program Corporate Social Responsibility (CSR) yang dilaksanakan untuk kakitangan yang terkesan akibat banjir.

Sejumlah 214 kakitangan KEMENTAH yang terkesan sepanjang bencana banjir ini telah dibantu dan diberikan sumbangan dalam usaha membantu mereka di masa-masa yang sukar tersebut.

Selain itu, penyampaian test kit Covid-19 kepada pengurusan sekolah dalam kawasan kem untuk digunakan bagi membuat ujian kendiri terhadap pelajar dan guru di mana 2,633 test kit akan diberikan kepada pihak pengurusan sekolah rendah dan menengah merangkumi Sekolah Kebangsaan KEMENTAH sebanyak 1,117, Sekolah Menengah Kebangsaan Desa Tun Hussein onn sebanyak 1.012 serta Maktab Tentera Diraja (MTD) Sungai Besi iaitu 504.

KEMENTAH juga mengambil inisiatif dalam membantu kakikatangan awam yang kurang berkemampuan dengan menyediakan peralatan anak-anak untuk kembali ke sekolah di mana seramai 100 keluarga terpilih akan menerima sumbangan Back to School dengan nilai sumbangan sebanyak RM200 bagi setiap keluarga.

Turut hadir, Timbalan Menteri Pertahanan, Dato’ Seri Ikmal Hisyam Abdul Aziz, Panglima Angkatan Tentera, Jen Tan Sri Dato’ Sri Hj Affendi Buang TUDM, Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan, Dato’ Sri Muez Abd Aziz, Panglima Tentera Darat, Jen Tan Sri Dato’ Seri Zamrose Mohd Zain, Panglima Tentera Udara, Jen Tan Sri Ackbal Hj Abdul Samad TUDM dan Panglima Tentera Laut, Laksamana Tan Sri Mohd Reza Mohd Sany.

Gambar: Pbt Muhammad Shafirin Mohd Radzi

Artikel Berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button