Bersama PemimpinSemasa

Pegawai Kadet PALAPES Zon Tengah Dua Selamat Ditauliahkan

SELANGOR: Panglima Tentera Darat (PTD), Jen Tan Sri Dato’ Seri Zamrose Mohd Zain menyempurnakan Majlis Lafaz Pengisytiharan Pentauliahan dan Pemakaian Pangkat Pegawai Kadet Pasukan Latihan Pegawai Simpanan (PALAPES) Darat Universiti Awam Ke-39 Zon Tengah Dua di Pusat Kesenian dan Kebudayaan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah (PKKSSAAS), Universiti Putra Malaysia (UPM) pada 17 Jan 2022.

Seramai 212 Pegawai Kadet terlibat dalam Majlis Lafaz Pengisytiharan dan Pemakaian Pangkat terdiri daripada 86 Pegawai Kadet Lelaki dan 126 Pegawai Kadet Wanita yang telah menamatkan pengajian di UPM dan Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM).

PTD mengucapkan syabas dan tahniah kepada semua pegawai kadet yang berjaya ditauliahkan sebagai pegawai muda di dalam Rejimen Askar Wataniah.

“Sebagai pegawai muda Askar Wataniah, anda adalah aset yang akan membantu ganti anggota tetap dan sentiasa bersedia diaturgerak dan mengambil alih tanggungjawab anggota tetap.

“Tuan puan juga boleh memohon skim pegawai graduan atau menyertai kerahan untuk diserap ke angkatan tetap.

“Sebagai rakyat Malaysia, saudara dan saudari perlu mempunyai rasa kekitaan atau sense of belonging agar semangat patriotik dan cintakan negara sentiasa terus kekal tersemat di dalam jiwa,” jelas PTD dalam ucapannya.

Acara pemakaian pangkat dibahagikan kepada empat sesi iaitu dua sesi telah disempurnakan sendiri oleh PTD dan dibantu Panglima Medan Barat Tentera Darat (PMB TD), Lt Jen Datuk Muhammad Hafizuddeain Jantan manakala dua sesi lagi disempurnakan oleh PMB TD yang dibantu oleh Panglima Latihan Tentera Darat, Mej Jen Dato’ Nazari Abd Hadi.

Kemudian, acara diteruskan dengan penyampaian anugerah kadet terbaik UPM dan UPNM yang mana Pegawai Kadet ini telah dinilai secara keseluruhan dari segi personaliti, kepimpinan pengetahuan isu semasa dan penglibatan dalam PALAPES.

Pegawai Kadet Terbaik PALAPES UPM dianugerahkan kepada Lt M Eddy Irwan Sidek lulusan Ijazah Sarjana Muda Pendidikan Sains Pertanian manakala Pegawai Kadet Terbaik PALAPES UPNM dinobatkan kepada Lt M Firdaus Adnan yang merupakan penuntut Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Mekanikal.

Kedua-dua Pegawai Kadet Terbaik dianugerahkan Pedang Kehormat sebagai hadiah atas semangat dan kesungguhan yang ditunjukkan sepanjang menjalani latihan PALAPES.

Turut hadir, Komandan PALAPES UPM, Kol (Kehormat) Prof. Dr. Mohd Ruslan Sulaiman dan Pemangku Komandan UPNM, Lt Kol Prof. Ts Dr. Muhd Zu Azhan Yahya.

Gambar: Riffat Mohd Yusuf

Artikel Berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button