Bersama PemimpinLatihanMK Latihan & DoktrinPasukan SimpananSemasa

Pentauliahan Diraja Pegawai Kadet PALAPES Ke-40

SELANGOR: Istiadat Perbarisan Pentauliahan Diraja Pegawai Kadet Pasukan Latihan Pegawai Simpanan (PALAPES) Universiti Awam Ke-40 Tahun 2022 kembali dilaksanakan mengikut skala sebenar perbarisan dalam fasa pasca pandemik COVID-19.

Terdahulu, keberangkatan tiba Kebawah Duli Yang Maha Mulia (KDYMM) Pemangku Raja Pahang (PRP), Tengku Mahkota Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah disambut oleh Menteri Kanan Pertahanan, YB Dato’ Seri Hishammuddin Tun Hussein, Panglima Angkatan Tentera (PAT), Jen Tan Sri Dato’ Sri Hj Affendi Buang TUDM dan Naib Canselor (NC) Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), YBhg. Prof. Dato’ Gs. Ts. Dr. Mohd Ekhwan Hj. Toriman.

Seterusnya, PRP menerima tabik hormat dan memeriksa kontinjen perbarisan diketuai oleh Pegawai Rendah Kanan, Muhammad Badrul Amin Amanti yang terdiri daripada 16 detasmen berkekuatan seramai 1,201 Pegawai Kadet Universiti Awam diiringi oleh gabungan Pancaragam Pusat TLDM, Pancaragam Pusat TUDM dan Pancaragam Pusat Rejimen Renjer Diraja (RRD) di bawah pimpinan Lt Komdr Mohd Shamran Ramli TLDM.

Turut diadakan majlis Penganugerahan Pedang Kehormat kepada 34 Pegawai Kadet Terbaik tiga perkhidmatan daripada 19 Universiti Awam yang disempurnakan oleh KDYMM PRP.

Sejarah penubuhan PALAPES di Universiti Awam adalah bagi memberi peluang kepada para penuntut untuk berkecimpung dalam ATM selepas tamat pengajian dan menjadi sumber tenaga anggota Pegawai Simpanan yang terlatih agar boleh dikerah pada bila-bila masa.

Perbarisan berakhir dengan tiga kali laungan ‘Daulat Tuanku’ sebelum PRP berangkat ke Bilik Diraja Dewan Canselor Tun Abdul Razak (DECTAR) untuk menjamu santapan diraja.

Acara Pentauliahan Diraja diteruskan di DECTAR di mana seramai 1,625 orang Pegawai Kadet PALAPES melibatkan tiga perkhidmatan Darat, Laut dan Udara yang menerima watikah dan ditauliahkan dengan pangkat Lt M.

Turut hadir, Panglima Tentera Darat, Jen Tan Sri Dato’ Seri Zamrose Mohd Zain, Panglima Tentera Udara, Jen Tan Sri Dato’ Sri Mohd Asghar Khan Goriman Khan, Ketua Setiausaha KEMENTAH, Dato’ Sri Muez Abd Aziz dan Pegawai-pegawai Kanan ATM.

Gambar: Pbt Mohammad Fadzil Akirul

Artikel Berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button