Bersama PemimpinSemasaTentera Bersama Rakyat

Sambutan Gilang-Gemilang Hari Kebangsaan 2022

KUALA LUMPUR: Sambutan Hari Kebangsaan Ke-65 secara fizikal dan berskala besar kembali disambut di Dataran Merdeka selepas dua tahun Malaysia berada di bawah Perintah Kawalan Pergerakan akibat wabak COVID-19 yang melanda seluruh dunia bermula tahun 2020.

Sambutan dimulakan dengan perarakan masuk Panji-Panji Kebawah Duli Yang Maha Mulia (KDYMM) Seri Paduka Baginda (SPB) Yang di-Pertuan (YDP) Agong dan Panji-panji Rejimen daripada Batalion Pertama Rejimen Askar Melayu Diraja (1 RAMD) oleh Kawalan Kehormatan Utama terdiri daripada empat pegawai dan 103 anggota Lain-Lain Pangkat (LLP) diketuai Mej Nurul Fauzan Md Sabri.

Terdahulu, keberangkatan tiba KDYMM SPB YDP Agong dan Raja Pemaisuri Agong dengan menaiki kereta kuda disambut oleh Perdana Menteri (PM), Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob dan Menteri Kanan Pertahanan, Dato’ Seri Hishammuddin Tun Hussein.

Acara diteruskan dengan nyanyian lagu Negaraku serentak dengan menaikkan Jalur Gemilang diiringi 14 das tembakan kehormatan melambangkan 14 buah negeri di Malaysia oleh 41 Bateri Istiadat Rejimen Artileri Diraja (41 Bti RAD) diketuai Lt Kol Mohamad Asri Che Wil dan diikuti bacaan ikrar Rukun Negara oleh ikon sukan atlet pecut negara, Muhammad Azeem Fahmi yang telah memecahkan rekod 100 meter kategori bawah 20 tahun dalam Kejohanan Olahraga Dunia di Colombia.

Keunikan sambutan pada tahun ini diserikan dengan pelbagai persembahan dan perarakan kontinjen melibatkan Perarakan Kenderaan Klasik Bersama Karyawan Seni, syarikat-syarikat swasta, Perarakan 65 Motorsikal Berkuasa Tinggi serta penglibatan istimewa Perarakan Kereta Kuda KDYMM SPB YDP Agong diiringi muzik daripada Orkestra RTM. 

Acara gilang-gemilang ini diteruskan dengan perarakan kereta berhias Power & Energy melibatkan PETRONAS dan Tenaga Nasional Berhad, kereta berhias gabungan Pemacu Telekomunikasi Tanah Air, kereta berhias MEASAT dan kereta berhias Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) serta kontinjen animasi.

Kumpulan perarakan yang menarik perhatian serta sentiasa dinanti-nantikan tentunya kontinjen agensi keselamatan negara yang terdiri daripada Angkatan Tentera Malaysia (ATM) melibatkan pasukan Tentera Darat, Laut dan Udara, Polis DiRaja Malaysia (PDRM) serta Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM). 

Hadirin juga turut dipersembahkan demonstrasi menyelamatkan tebusan oleh pasukan khusus ATM yang terdiri daripada gabungan 21 Grup Gerak Khas (21 GGK), Pasukan Khas Laut (PASKAL) dan Pasukan Khas Udara (PASKAU) yang mempamerkan kompetensi taktik, teknik dan prosedur dalam penggempuran jarak dekat.

Pertunjukan udara yang turut melibatkan PDRM, Jabatan Bomba dan Penyelamat serta APMM mencuri perhatian hadirin di mana para juruterbang terbaik ATM mempertontonkan kemahiran mereka mengendalikan pesawat pejuang jenis SUKHOI SU 30 MKM, F-18D HORNET dan B.A.E HAWK, pesawat angkut A400M dan C130 serta pesawat helikopter jenis EC 725AP, AW 109, MD 530G, FENNEC, AW139, AW 189 dan MI 17. 

Sambutan yang bertemakan ‘Keluarga Malaysia Teguh Bersama’ ini melibatkan seramai lebih 20,000 peserta, 76 ekor haiwan tempur perkhidmatan, 369 aset darat dan 68 aset udara daripada pelbagai agensi badan beruniform.

Acara berakhir dengan tiga kali laungan Daulat Tuanku sebelum SPB YDP Agong dan Raja Permaisuri Agong berangkat beredar meninggalkan majlis.

Gambar: Kapt Mursyideen Ahmad Iskandar, Lt M Siti Nur Aliah Roslan, PW II Shamsul Zaidi Zolkoffly, LKpl Muhammad Nashriq Khairul Zaime, Pbt Mohammad Fadzil Akirul, Pbt Mohammad Shukri Suhaimi dan Saiful Hakimi Zainon.

 

Artikel Berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button