KUALA LUMPUR: Menteri Pertahanan (MENHAN), Dato’ Seri Mohamed Khaled Nordin menjelaskan perancangan dan hala tuju Kementerian Pertahanan (KEMENTAH) serta hasratnya selaku peneraju kementerian ketika menyampaikan Perutusan Tahun Baharu Tahun 2024 bertempat di Auditorium Wisma Pertahanan pada 9 Jan 2024.
Dalam amanat MENHAN, beliau memfokuskan lima fokus utama yang menjadi tunjang kepada perutusan tahun ini seperti Fokus Pertama, Memastikan sistem pertahanan negara bukan sahaja sentiasa dalam keadaan bersedia tetapi dihormati kawan dan lawan, Fokus Kedua, Membangunkan dan mengemas kini perancangan pertahanan yang lebih terkini, Fokus Ketiga, Kebajikan dan pembangunan kapasiti, Fokus Keempat, Patriotisme sebagai benteng pertahanan terbaik negara dan Fokus Kelima, Malaysia dan keamanan sejagat.
MENHAN seterusnya menyaksikan Memorandum Persefahaman (MoU) antara KEMENTAH dengan Institut Integriti Malaysia dimana objektifnya untuk membantu dan menyokong satu sama lain dalam program-program kesedaran, advokasi, penyelidikan dan pengukuhan mengenai dasar, nilai integriti, tata kelola dan antirasuah dalam sektor awam juga sektor korporat di Malaysia. Seterusnya sebagai usaha sama dalam penglibatan sektor awam dan sektor korporat bagi menjadi ahli kepada Sistem Integriti Korporat Malaysia (CISM).
Majlis ini juga menyaksikan pelancaran Imej Korporat baharu bagi KEMENTAH yang mencerminkan MINDEF ke arah pemodenan. Reka bentuk tersebut melambangkan KEMENTAH sebagai kementerian yang sentiasa mengamalkan nilai-nilai sepunya seperti integriti, cekap dan profesional dalam melaksanakan tanggungjawab yang diberikan.
Turut hadir, Timbalan MENHAN, Tuan Hj Adly Zahari, Ketua Setiausaha KEMENTAH, Datuk Seri Isham Ishak, Panglima Angkatan Tentera, Jen Tan Sri Dato’ Seri Mohammad Ab Rahman, Panglima Tentera Darat, Jen Dato’ Muhammad Hafizuddeain Jantan, Panglima Tentera Laut, Laksamana Tan Sri Abdul Rahman Ayob dan Panglima Tentera Udara, Jen Tan Sri Dato’ Sri Mohd Ashgar Khan Goriman Khan TUDM.
Gambar: LKpl Mohammad Fadzil Akirul