PULAU PINANG: Seramai 83 anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang masih berkhidmat dan bersara yang tercedera ketika bertugas bersama waris diraikan dalam Majlis Ramah Mesra ATM Bersama Anggota Cedera Sempena Hari ATM Ke-84 di ASF Hangar Pangkalan Udara Butterworth Tentera Udara Diraja Malaysia pada 3 Okt 2017.
Majlis yang disempurnakan oleh Panglima Angkatan Tentera, Jen Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor itu bertujuan meraikan anggota yang cedera kekal semasa melaksanakan operasi ataupun latihan berisiko tinggi sama ada yang masih berkhidmat mahupun yang sudah bersara bagi mengenang jasa dan pergorbanan yang dicurahkan.
Acara ini merupakan acara tahunan setiap kali sambutan Hari ATM yang mana jumlah keseluruhan anggota cedera seluruh Malaysia berjumlah 527 anggota meliputi 95 anggota masih berkhidmat dan 432 anggota telah bersara dimana setiap markas formasi dipertanggungjawab untuk melaksanakan majlis.
Dalam ucapan PAT, beliau mahukan acara sebegini diteruskan dan diperkasakan lagi bagi mengeratkan hubungan baik yang sedia terjalin bagi mengetahui permasalahan anggota yang tercedera ini dari semasa ke semasa kerana jasa dan pengorbanan mereka ini amat tingggi nilainya dan tidak boleh dibeli dengan wang ringgit.
“Mereka inilah yang menjaga keamanan dan kedaulatan negara suatu ketika dahulu yang mana generasi kini tidak akan merasai pahit getir seperti mana yang dilakukan oleh anggota terdahulu yang cedera ini dan tanpa mereka tidak mungkin ATM akan lebih utuh dalam kesatuan ini serta disegani oleh seluruh rakyat Malaysia,” tegas PAT.
Pada masa yang sama anggota yang diraikan ini diberi sumbangan saguhati bernilai RM 500.00 seorang dari dana Tabung Kebajikan Angkatan Tentera (TKAT) selain turut menerima peralatan khas berpandukan permohonan melalui Jabatan Hal Ehwal Veteran ATM dan bantuan kewangan kepada anak mereka yang dapat melanjutkan pengajian ke Universiti.
Turut hadir Panglima Tentera Darat, Jen Tan Sri Dato’ Sri Zulkiple Hj Kassim, Timbalan Panglima Tentera Laut, Laksamana Madya Dato’ Anuwi Hassan dan Timbalan Panglima Tentera Udara, Lt Jen Dato’ Sri Ackbal Hj Abdul Samad TUDM.
Gambar: SSjn Vijay Gaundar Arikrishnan