MELAKA: Seramai 500 warga tentera dari Markas Divisyen Ketiga Infantri Malaysia (MK 3 Div) termasuk pekerja awam hadir dalam Program Road Show Task Force Perisai Wira anjuran Bahagaian Staf Perisikan Pertahanan (BSPP) yang diadakan di Dewan Serbaguna Kem Terendak pada 26 Okt 2017.
Program ini bertujuan memberi kesedaran dan kefahaman berkaitan bahaya perjuangan gerakan ektremis Daesh serta imlpikasi dari segi perundangan kepada seluruh warga tentera.
Dalam ucapan Pengarah Task Force, Mej Jen Dato’ Mohd Noor Osman (Bersara) berkata pihak atm tidak akan berkompromi dengan anggota yang menyimpan, mengedar serta menyokong perkara yang berkaitan dengan Daesh yang mana setiap orang yang mempunyai akses kepada internet adalah berpotensi menjadi sasaran untuk direkrut oleh kumpulan pengganas tersebut.
Pada masa yang sama turut diadakan dua sesi syarahan dari Tim Task Force bertajuk Ancaman Ekstremisme, Radikalisme dan Terorisme Kepada Keselamatan ATM serta Implikasi Perundangan Anti Keganasan Terhadap Warga ATM yang disampaikan oleh Pegawai Staf 1 Sel Keganasan BSPP, Lt Kol Dr Zulkarnain Haron dan Pegawai Staf 1 Undang-Undang BSPP, Lt Kol Shaharudin Abd Rahman.
Turut hadir Komander Artileri Div 3 Div, Brig Jen Dato’ Nordin Hj Salleh, Pengarah Majlis Keselamatan Negara Negeri Melaka Mohd Termizi Dan, Ketua Staf Markas 3 Div, Pegawai Memerintah dan Pemerintah Pasukan di bawah naungan 3 Div.