KUALA LUMPUR: “Jangan sesekali meletakkan saudari-saudari di kumpulan yang lemah agar wanita tidak sentiasa dilihat negatif dan anda semua harus mengubah persepsi dangkal ini dengan membuktikan bahawa golongan wanita juga mampu melaksanakan tugasan sepertimana yang biasa dilakukan oleh golongan lelaki,” pesan Panglima Tentera Darat (PTD), Jen Tan Sri Dato’ Sri Zulkiple Hj Kassim dalam Majlis Perjumpaan Wanita Tentera Darat dan Pelancaran Buku Srikandi Tentera Darat di Auditorium Wisma Pertahanan pada 10 Apr 2018.
Seramai 500 pegawai dan anggota Lain-Lain Pangkat (LLP) Wanita dari pelbagai Kor serta veteran Wanita TD hadir dalam perjumpaan sempena sambutan Hari Wanita TD yang disambut pada 15 Mac setiap tahun dimana buat julung kalinya Buku Srikandi TD diterbitkan sejak penglibatan wanita dalam TD bermula era tahun 60an dan buku ini bakal menjadi sumber rujukan sejarah kepada semua generasi wanita TD yang akan datang.
Buku ini dihasilkan bagi memaparkan sejarah evolusi perkembangan penglibatan wanita dalam profesion ketenteraan, ia meliputi lapan bab yang memfokuskan penglibatan wanita dalam pelbagai dimensi, pembangunan kerjaya dan pencapaian yang akan membanggakan dalam perkhidmatan, kerjaya, kursus atau sukan sama ada di dalam dan diluar negara.
Ia merupakan satu nukilan lakaran sejarah bagi menghargai jasa-jasa dan pengorbanan Wanita TD bermula seawal tahun 1963 sehingga kini yang mana buku ini juga telah digarap untuk mengenang sejarah serta menghargai sumbangan dan pengorbanan pembabitan wanita dalam TD sejak 55 tahun lalu.
“Tentera Darat (TD) pada hari ini telah memberi peluang dan ruang untuk peningkatan kerjaya wanita dalam organisasi sama ada pegawai mahupun anggota Lain-Lain Pangkat (LLP) Wanita,” ujar PTD.
Tambah PTD lagi, beliau menekankan berkenaan keterampilan diri iaitu Body Mass Index (BMI) anggota wanita TD sentiasa dikekalkan pada paras yang ditetapkan agar ia tidak keterlaluan yang mana sedikit sebanyak akan menjejaskan imej sebagai seorang anggota tentera.
Turut hadir, Ketua Pengarah Perkhidmatan Kesihatan, Lt Jen Dato’ (Dr) Ya’akob Koming, Ketua Staf Tentera Darat, Mej Jen Dato’ Pahlawan Redzuan Hj Baharuddin, Asisten Ketua Staf Cawangan Sumber Manusia, Mej Jen Dato’ Mardzuki Muhammad, Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Wanita (JKHEW) TD, Brig Jen Suriakala Suriabagavan dan Mantan JKHEW TD, Mej Jen (B) Dato’ (Dr) Roshidah Hj Ishak dan Brig Jen (B) Dato’ Norhuda Ahmad.
Gambar: LKpl Ainur Aisyah Yahaya
[srizonfbalbum id=197]