PERAK: Seramai 62 pegawai dan 729 anggota Lain-Lain Pangkat (LLP) di bawah naungan 10 Briged (Para) terlibat dalam Eksesais Gerak Pantas Siri 24/2018 yang dilaksanakan mulai 18 hingga 20 Jul 2018 bertempat di sekitar kawasan Seberang Perak.
Latihan medan dwi tahunan ini berkonsepkan aturgerak secara penerjunan paracut di belakang kawasan pihak musuh seterusnya menjalankan operasi ofensif bagi membersihkan ancaman musuh serta menawan beberapa kawasan penting di sepanjang laluan Kampung Gajah ke Ipoh.
Pada hari pertama, latihan penerjunan paracut dilaksanakan secara bersama dengan pesawat Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) dan US Pacific Airforce (PACAF) melibatkan 250 penerjun yang diketuai oleh Pegawai Memerintah Batalion Ke-17 Rejimen Askar Melayu Diraja (Para), Lt Kol Anwar Zamani Jusop dan turut disertai Panglima 10 Bgd Para, Brig Jen Dato’ Tengku Muhammad Fauzi Tengku Ibrahim serta disaksikan Raja Muda Selangor, DYTM Lt Tengku Amir Shah ibni Sultan Idiris Shah.
Sejurus mendarat, anggota-anggota ini terus menuju ke kawasan titik pertemuan kompeni berjarak 15 km, seterusnya menyeberangi Sungai Perak dengan mendayung sampan secara taktikal bagi melaksanakan serangan mengejut untuk menawan Jambatan Kg Gajah yang telah ditakluk musuh.
Setelah berjaya dengan operasi tersebut, pasukan 17 RAMD seterusnya bergerak sejauh 20 km ke kawasan objektif utama iaitu kawasan pertahanan musuh dan menawan kawasan yang dipertahankan oleh musuh yang dilakonkan oleh 18 RAMD Para, berkekuatan satu kompeni.
Di akhir latihan, Panglima 10 Bgd menegaskan bahawa latihan yang dijalankan bukan hanya sekadar untuk memperkukuhkan asas taktik dan Prosedur Operasi Standard, tetapi juga adalah untuk menguji keupayaan tempur Para Batallion Group bersama-sama dengan pasukan afliasi yang membantu serta menilai aspek perancangan dan persiapan staf di peringkat batalion dan briged.
Gambar Oleh: Lt Kol Hj Ahmad Nazran Ashari dan PW II Mohd Shahril Mat Ali
[srizonfbalbum id=252]