KUALA LUMPUR: Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong XVI, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Almarhum Sultan Hj Ahmad Shah Al-Musta’in Billah berkenan mencemar duli ke Majlis Pengurniaan Sumbangan Ampun Kurnia Kepada Veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) bertempat di Dewan Serbaguna Masjid Wilayah Persekutuan pada 25 Jun 2020.
Baginda berkenan mengurniakan sumbangan bernilai RM1.8 juta daripada Majlis Agama Islam Persekutuan (MAIWP) kepada 6,000 Veteran ATM dalam kalangan B40.
Selain itu, Baginda turut berkenan mengurniakan ampun kurnia berupa wang tunai dan hamper barangan makanan asas kepada 10 Veteran ATM sebagai simbolik Baginda berkenan berangkat menyantuni golongan Veteran ATM yang telah banyak mencurahkan bakti kepada negara.
Keberangkatan Agong ke majlis tersebut turut mencerminkan keperibadian tinggi dan keprihatinan Baginda dalam menyantuni golongan berkenaan serta membantu golongan yang memerlukan bantuan untuk kelangsungan hidup.
Majlis ini dianjurkan MAIWP dan Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) dengan kerjasama Istana Negara, Kementerian Pertahanan dan pertubuhan bukan kerajaan Bantu-Bantu Malaysia.
Sejak pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada 18 Mac lalu, majlis ini merupakan aktiviti ketiga Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong yang diadakan di luar Istana Negara.
Turut hadir ialah Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Ahmad Marzuk Shaary, Panglima Angkatan Tentera, Jen Tan Sri Dato’ Seri Hj Affendi Buang TUDM dan Panglima dari ketiga-tiga cabang perkhidmatan.