NEGERI SEMBILAN: Panglima Tentera Darat (PTD), Jen Tan Sri Datuk Zamrose Mohd Zain menyempurnakan Majlis Khatam Al-Quran Peringkat Tentera Darat (TD) di Masjid As-Solihin, Gemas pada 6 Mei 2021.
Majlis ini bertujuan untuk mengimarahkan Ramadhan dengan bacaan Al-Quran serta memperkukuhkan kerohanian dalam kalangan warga TD.
Program yang bermula dari 1 hingga 23 Ramadhan 1442 Hijrah ini melibatkan seramai 70 peserta tadarus daripada pelbagai formasi.
Acara dimulakan dengan bacaan doa dan disusuli dengan bacaan Al-Quran oleh peserta tadarus yang diketuai oleh Pengarah Agama Markas Tentera Darat (MK TD).
Majlis diteruskan dengan penyampaian cenderahati yang disempurnakan oleh PTD kepada wakil formasi pasukan yang terdiri daripada MK TD, MK 3 Div, MK PLTD, MK PLDTD, MK 10 Bgd (Para) dan 21 GGK.
Pelaksanaan program seumpama ini sejajar dengan Tonggak Ketiga Perintah Ulung PTD Ke-28 iaitu Pelestarian Kesejahteraan Warga yang memberi penekanan terhadap aspek pengukuhan kerohanian warga TD.
Turut hadir, Timbalan Panglima Tentera Darat, Lt Jen Dato’ Mohammad Ab Rahman, Panglima Medan Barat Tentera Darat, Lt Jen Datuk Muhammad Hafizuddeain Jantan dan Panglima Medan Timur Tentera Darat, Lt Jen Dato’ Mardzuki Muhammad.
Gambar: Pbt Mohammad Fadzil Akirul