KUALA LUMPUR: Timbalan Panglima Tentera Darat (TPTD), Lt Jen Datuk Seri Mohammad Ab Rahman menyaksikan Latihan Akhir Eksesais MANTIS Siri 8/2022 di Stesen Mass Rapid Transit (MRT) Cochrane, Cheras pada 19 Mac 2022.
Latihan ini merupakan kerjasama bilateral di antara Tentera Darat Malaysia (TDM) dengan Angkatan Tentera Kanada (ATK) melibatkan kolaborasi bersama agensi awam yang turut dijadikan sebagai latih amal Pelan Tindakan Kecemasan daripada pihak Rapid Rail Sdn Bhd.
Objektif eksesais dilaksanakan adalah untuk menguji tahap kesiapsiagaan staf MRT dengan penglibatan Polis DiRaja Malaysia (PDRM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) dan beberapa agensi awam lain dalam menghadapi sebarang insiden atau ancaman serta membantu mencapai Key Performance Indicator (KPI) berkaitan Safety and Security.
Konsep eksesais ini menjurus kepada Operasi Melawan Keganasan dalam situasi ancaman Chemical, Biological, Radiological, Nuclear and Explosive (CBRNe) di Stesen Keretapi bawah tanah dan tempat parkir kenderaan.
Eksesais ini menguji tahap keupayaan pasukan Skuadron Ke-12 Rejimen Askar Jurutera Diraja (12 Skn RAJD) sebagai Tim CBRNe, 21 Grup Gerak Khas (21 GGK) dan Canadian Special Operation Forces Command (CANSOFCOM) sebagai Tim Penggempur serta pasukan perubatan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dalam menangani rampasan keretapi oleh pengganas melibatkan tebusan orang awam.
Pelaksanaan latihan seumpama ini sejajar dengan Perintah Ulung Panglima Tentera Darat Ke-28 iaitu Tonggak Pertama, Kelangsungan Misi Dan Kesiagaan, Tonggak Keempat, Pengukuhan Hubungan Pertahanan serta Tonggak Kelima, Peningkatan Hubungan TD Dengan Awam.
Turut hadir, President Group CEO Prasarana Malaysia Berhad, Tuan Mohd Azharuddin Mat Sah, Panglima Medan Barat Tentera Darat, Lt Jen Datuk Muhammad Hafizuddeain Jantan, Canadian Defence Advisor, Lt Col Jason King dan Komander Jurutera Medan Barat, Mej Jen Ir Abdul Hamid Mohd Isa.
Gambar: LKpl Muhammad Nashriq Khairul Zaime dan Riffat Mohd Yusuf