SELANGOR: Panglima Tentera Darat (PTD), Jen Tan Sri Dato’ Seri Zamrose Mohd Zain menyaksikan Perbarisan Penghargaan Persaraan Mantan Panglima Grup Artileri Pertahanan Udara (GAPU), Brig Jen Dato’ Zainal Mohd Noor di Padang Kawad Rejimen Ke-31 Artileri Diraja (31 RAD) pada 22 Jun 2022.
Perbarisan ini terdiri daripada lima detasmen yang berkekuatan seramai 18 pegawai bersama 170 anggota Lain-Lain Pangkat (LLP) dari pasukan-pasukan naungan formasi GAPU diketuai oleh Pegawai Memerintah 32 RAD, Lt Kol Hairul Aziz dan diiringi Pancaragam Pusat Kor Armor Diraja.
Turut berlangsung adalah acara Lintas Hormat Kenderaan melibatkan lapan buah kenderaan tempur yang terdiri daripada kenderaan Fitted For Radio (FFR) Ketua Bateri, FFR Bateri Kapten, FFR Ketua Terup, 7 Tan Command Post, dua buah Meriam 35mm Oerlikon bersama sebuah Radar Skyguard dan 3 Tan BKMS.
Brig Jen Dato’ Zainal Mohd Noor dalam ucapannya menyatakan rasa terharu dan berbangga di atas persembahan perbarisan yang mantap serta mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan kepada PTD yang melapangkan masa menghadiri majlis penghargaannya walaupun terikat dengan aktiviti dan tugas yang padat.
Sejurus tamat perbarisan, majlis diteruskan dengan sesi jamuan makan serta tayangan montaj yang memaparkan serba sedikit coretan kenangan sepanjang perkhidmatan Brig Jen Dato’ Zainal Mohd Noor.
Beliau mula mengikuti latihan kadet pada tahun 1980 lalu memulakan kerjaya sebagai Pegawai Seksyen di 31 RAD pada tahun 1981 yang dahulunya dikenali sebagai Rejimen Keenam Meriam, Pangkalan Udara Kuala Lumpur.
Beliau telah berkhidmat selama 41 tahun lapan bulan dengan menyandang beberapa jawatan penting termasuk sebagai jurulatih di Cawangan Pertahanan Udara dan Pegawai Memerintah 31 RAD.
Simbolik acara diakhiri dengan Street Lining sebagai tanda penghargaan kepada Brig Jen Dato’ Zainal Mohd Noor.
Turut hadir, Timbalan Panglima Tentera Darat, Lt Jen Datuk Seri Mohammad Ab Rahman, Panglima Medan Barat Tentera Darat, Lt Jen Datuk Muhammad Hafizuddeain Jantan dan Ketua Staf Tentera Darat, Lt Jen Dato’ Hj Subari Hj Tomo.
Gambar: Riffat Mohd Yusof