KUALA LUMPUR: Tentera Darat (TD) telah menerima beberapa perolehan aset baharu melibatkan Kenderaan Jenis B (KJB), Kenderaan Jenis C (KJC), senjata Sub Machine Gun (SMG), peralatan optronik dan peralatan pelbagai bagi suku kedua tahun 2022 yang disempurnakan oleh Panglima Tentera Darat (PTD), Jen Tan Sri Dato’ Seri Zamrose Mohd Zain dalam Majlis Penyerahan Aset TD bertempat di Garaj A, 92 Depot Kenderaan Pusat (92 DKP) pada 29 Jun 2022.
Antara KJB yang diterima ialah sebuah Outreach Command Centre Vehicle (OCCV) yang dibekalkan oleh DEFTECH Sdn Bhd dan 50 unit Mobile Field Kitchen (MFK) oleh High Point Worldwide Sdn Bhd, manakala KJC yang diperolehi adalah sebuah Tactical Mobility Support System (TMSS) dibekalkan oleh Dwi Makna Sdn Bhd dan dua unit Track Excavator oleh EZMM Niaga Sdn Bhd.
Bagi perolehan senjata, peralatan optronik dan peralatan pelbagai pula, TD menerima sebanyak 11 unit SMG yang dibekalkan oleh Syarikat Kharisma Wira Sdn Bhd, 160 unit Night Vision Weapon Sight (NVWS) oleh Softlabs Technologies Sdn Bhd dan 126 unit Non Lethal Restraint (NLR) oleh iKenanga Sdn Bhd untuk kegunaan operasi TD.
Terdahulu, PTD diiring bagi melakukan pemeriksaan ke atas setiap perolehan aset secara walking brief yang disampaikan oleh wakil syarikat pembekal masing-masing.
Majlis disempurnakan dengan penyerahan replika kunci kepada PTD sebagai simbolik penyerahan aset-aset tersebut kepada TD serta penyampaian cenderahati.
Penerimaan aset baharu ini bertepatan dengan Tonggak Pertama Perintah Ulung PTD Ke-28 iaitu Kelangsungan Misi Dan Kesiagaan yang memberi penumpuan kepada perolehan dan penyelenggaraan aset-aset bagi memastikan kesiagaan tempur TD berada di tahap terbaik untuk sebarang atur gerak operasi.
Turut hadir, Ketua Staf Tentera Darat, Mej Jen Dato’ Mohd Sofi Md Lepi, Panglima Logistik Tentera Darat, Mej Jen Hj Abdul Aziz Samsi@Hj Shamsudin dan pegawai kanan TD.
Gambar: Pbt Mohammad Fadzil Akirul