KUALA LUMPUR: Panglima Tentera Darat (PTD), Jen Tan Sri Dato’ Seri Zamrose Mohd Zain menerima lencana kehormat dari Kor Ordnan Diraja (KOD) bertempat di Padang Kawad 91 Depot Pusat Kor Ordnans Diraja (91 DPOD), Kem Batu Kentonmen pada 15 Sep 2022.
Terdahulu, ketibaan PTD disambut Pengerusi KOD, Mej Jen Mohd Tamam Jamioon sebelum diteruskan dengan gimik pemakaian Lencana Kehormat Kejuruteraan Peluru dan Bahan Letupan.
Gimik berkonsepkan ancaman alat letupan rekaan ganti (IED) milik musuh yang diletakkan di tempat awam bagi mengancam ketenteraman awam. Tim Explosive Ordnance Disposal (EOD) dari 40 Markas Kejuruteraan Peluru Kor Ordnans Diraja (40 MKP) telah diaturgerakkan bagi menangani ancaman tersebut.
Selain itu, PTD juga berpeluang mengendalikan Remote Explosive Ordnance Disposal Vehicle (REODV) yang digunakan Tim EOD. REODV merupakan sejenis alat yang boleh diaturgerakkan dalam pelbagai bentuk muka bumi dan dilengkapi enam buah kamera 360° serta mampu untuk mengangkat beban sehingga 75kg.
Sejurus selesai pertunjukan gimik, PTD kemudian bergerak ke Cawangan Perkhidmatan Percetakan (CPP) 91 DPOD bagi acara perasmian Mesin Cetak dan Mercu Tanda Percetakan.
Ketibaan PTD ketika itu disambut oleh Pegawai Memerintah CPP 91 DPOD, Kol Jamian Hj Samuri sebelum menyaksikan tayangan montaj Fungsi Mesin dan Peralatan Cetak.
PTD telah merasmikan enam buah mesin cetak dan dua buah komputer yang diterima dalam perolehan sepanjang 2021 hingga 2022 bagi meningkatkan kualiti dan kuantiti bahan cetakan untuk kegunaan Angkatan Tentera Malaysia (ATM).
Majlis diakhiri dengan jamuan ringan dan acara bergambar.
Turut hadir, Timbalan Panglima Tentera Darat (TPTD), Lt Jen Datuk Seri Mohammad Ab Rahman.