PUTRAJAYA: Panglima Angkatan Tentera (PAT), Jen Tan Sri Dato’ Sri Affendi Buang TUDM bersama-sama Menteri Pertahanan (MENHAN), Dato’ Seri Utama Hj Mohamad Hj Hasan menyempurnakan Majlis Graduasi Pusat Pengajian Pertahanan Nasional (PUSPAHANAS) melibatkan peserta kursus Maktab Ketahanan Nasional (MKN), Maktab Pertahanan Angkatan Tentera (MPAT) dan Maktab Turus Angkatan Tentera (MTAT) di Dewan Auditorium PUSPAHANAS pada 10 Dis 2022.
Majlis graduasi ini didahului dengan penyampaian sijil dan anugerah kepada graduan MKN Kohort 3/2022 seramai 21 pegawai kanan sekaligus menyaksikan Anugerah Kertas Terbaik MKN dinobatkan kepada Kol Wan Azwan Azwari Wan Ali TUDM manakala Anugerah MKN dirangkul oleh Laksamana Pertama Shaiful Nizam Abdul Manan.
Majlis diteruskan dengan penyampaian sijil dan anugerah kepada graduan MPAT Siri 42/2022 yang melibatkan seramai 64 pegawai kanan serta diikuti penyampaian anugerah khas melibatkan Anugerah Terbaik dari aspek akademik, keseluruhan dan kertas kajian.
Anugerah Akademik Terbaik dirangkul oleh Sr Lt Col Koh Poh Hui dari Singapore Army dan diikuti Anugerah Kertas Kajian Terbaik menjadi milik Kdr Ir Ts Mohd Mursyid Mahjuddin TLDM manakala Anugerah Keseluruhan Terbaik diberikan kepada Kept Mohammad Fairuz Hassan TLDM.
Majlis selanjutnya meraikan graduan Kursus Pemerintahan dan Staf Malaysia Siri 51/2022 MTAT seramai 180 pegawai di mana Anugerah Penuntut Terbaik MTAT melibatkan Anugerah Komandan, Anugerah Universiti Pertahanan Malaysia (UPNM), Anugerah Haigate dan Anugerah Lembaga MTAT Keseluruhan Terbaik.
Anugerah Komandan bagi Penuntut Terbaik Malaysia dianugerahkan kepada Mej Erina Tricia Gregory manakala Penuntut Terbaik Luar Negara jatuh kepada Lt Cdr Shivtaj Sing Bal dari India.
Anugerah UPNM CGPA 4.0 bagi Penuntut Terbaik Malaysia diberikan kepada Mej Abi Aufa Mohd Saini manakala Penuntut Terbaik Luar Negara dirangkul oleh Maj Kok Yi Long dari Singapore Army.
Anugerah Haigate bagi Penuntut Kursus Terbaik Malaysia jatuh kepada Mej Mohd Faizul Rizam Mat Supri TUDM dan Penuntut Kursus Terbaik Luar Negara Sqn Ldr Rohit Jamwal dari Australia.
Anugerah Lembaga MTAT Keseluruhan Terbaik Malaysia turut diungguli oleh Mej Erina Tricia Gregory dan Maj Kok Yi Long bagi Keseluruhan Terbaik Luar Negara.
Pencapaian yang ditunjukkan oleh Mej Erina Tricia Gregory dengan mengungguli dua anugerah, jelas membuktikan Angkatan Tentera Malaysia memiliki pegawai-pegawai yang kompeten dan berpengetahuan luas.
Turut hadir, Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan, Dato’ Sri Muez Abd Aziz, Panglima Tentera Laut, Laksamana Tan Sri Mohd Reza Mohd Sany, Timbalan Panglima Tentera Darat, Lt Jen Datuk Seri Mohammad Ab Rahman, Panglima Pendidikan dan Latihan Udara, Lt Jen Dato’ Zahani Zainal Abidin TUDM, Naib Canselor UPNM, dan Atase-Atase Pertahanan.
Gambar: Pbt Mohammad Shukri Suhaimi