NEGERI SEMBILAN: Timbalan Panglima Tentera Darat (TPTD), Lt Jen Datuk Seri Mohammad Ab Rahman meraikan mantan Pengarah Kor Armor Diraja (KAD), Brig Jen Dato’ Hj Hasanuddin Ab Ghani dalam perbarisan penghargaan yang diadakan di Padang Kawad Rejimen Kedua Kor Armor Diraja (2 KAD), Kem Sungala, Port Dickson pada 16 Dis 2022.
“Tentera Darat bakal kehilangan seorang pegawai yang menyumbang khidmat bakti serta mengorbankan seluruh jiwa dan raga terhadap perkhidmatan.
“Perwatakan mudah didekati menyebabkan beliau sangat disenangi oleh setiap lapisan anggota serta diperakui karisma dan kredibiliti yang ditonjolkan oleh beliau,” ujar TPTD.
Perbarisan penghargaan ini berkekuatan seramai 22 pegawai dan 340 anggota Lain-Lain Pangkat (LLP) yang diketuai Lt Kol Dr. Wan Zairibahri Wan Abdul Razak dari Rejimen Ketiga Kor Armor Diraja (3 KAD) dengan diiringi gabungan Pancaragam Pusat KAD dan Brassband 2 KAD di bawah pimpinan Lt Amirul Shafiq Abd Aziz.
Terdahulu, perbarisan penghargaan dibarisi dengan perarakan 23 buah kenderaan Jenis Alpha yang terdiri daripada kereta perisai Gempita 8×8 Armoured Command Vehicle, kereta perisai Gempita Armoured Fighting Vehicle 300mm Anti-Tank Guided Weapon, kereta perisai Gempita 8×8 Armoured Fighting Vehicle 300mm, kereta kebal Pendekar PT-91M dan Lipan Bara.
Bagi mengakhiri perkhidmatannya selama 41 tahun, Brig Jen Dato’ Hj Hasanuddin Hj Ab Ghani memilih 2 KAD yang merupakan unit pertama dan penuh nostalgia buat beliau ketika awal perkhidmatan sebagai pegawai KAD pada tahun 1981.
Beliau merakamkan jutaan terima kasih kerana telah merealisasikan perbarisan yang segak dan terbaik untuk dijadikan kenang-kenangan.
Usai perbarisan, majlis diteruskan dengan sesi penyampaian cenderahati dan jamuan makan di Garaj Kenderaan Jenis A (KJA) 2 KAD sebelum diakhiri dengan upacara Street Lining sebagai tanda penghormatan terhadap Brig Jen Dato’ Hj Hasanuddin Hj Ab Ghani.
Turut hadir, Panglima Latihan Tentera Darat, Mej Jen Dato’ Tengku Muhammad Fauzi Tengku Ibrahim, Pengerusi KAD, Mej Jen Dato’ Zaidan Atan, Pengarah KAD, Brig Jen Mohd Fazly Mat Said dan pegawai-pegawai kanan KAD.
Gambar : Pbt Mohammad Fadzil Akirul & Pbt Tuan Mohammad Farizal Tuan Dir