KUALA LUMPUR: Perdana Menteri (PM), Dato’ Seri Anwar Ibrahim bersama warga Angkatan Tentera Malaysia (ATM), kakitangan awam Kementerian Pertahanan (KEMENTAH) dan kariah masjid hadir menunaikan solat Jumaat berjemaah di Masjid Khalid Al-Walid pada 27 Jan 2023.
Terdahulu, ketibaan PM disambut oleh Menteri Pertahanan (MENHAN), Dato’ Seri Utama Hj Mohamad Hj Hasan dan Panglima Angkatan Tentera (PAT), Jen Tan Sri Dato’ Sri Affendi Buang TUDM sebelum menikmati makan tengah hari di tapak niaga berhadapan masjid.
PM kemudian bersama seluruh jemaah mendengar khutbah bertajuk ‘Amanat MENHAN Citra Murni Hasrat PM’ yang menyeru seluruh kerangka besar organisasi ATM hendaklah bersama membina kecemerlangan dan kegemilangan perkhidmatan awam negara untuk melahirkan ‘Malaysia Madani’.
Turut hadir, Ketua Setiausaha KEMENTAH, Dato’ Sri Muez Abd Aziz, Panglima Tentera Darat, Jen Tan Sri Dato’ Seri Zamrose Mohd Zain, Panglima Tentera Laut, Laksamana Tan Sri Mohd Reza Mohd Sani dan Panglima Tentera Udara, Jen Tan Sri Dato’ Sri Mohd Ashgar Khan Goriman Khan TUDM.
Gambar: Pbt Muhammad Shafirin Mohd Radzi & Pbt Nik Ahmad Asyraaf Nik Husein