NEGERI SEMBILAN: Panglima Tentera Darat (PTD), Jen Tan Sri Dato’ Seri Zamrose Mohd Zain bersama isteri diraikan dalam Perbarisan Penghargaan PTD Ke-28 di Markas Pemerintahan Latihan dan Doktrin Tentera Darat (MK PLDTD) pada 20 Feb 2023.
“Antara kejayaan yang dilakar ialah memperolehi penarafan lima bintang bagi Accountability Index Monitoring System (AIMS) dan membangunkan 52 manual sebagai rujukan warga TD serta mewujudkan e-Doktrin untuk kemudahan pengguna.
“Saya berbangga dengan kejayaan yang dikecapi hasil daripada kegigihan usaha dan semangat kerjasama warga PLDTD dalam melaksanakan tugas,” ujar PTD.
Beliau berkata demikian ketika berucap dalam perbarisan penghargaan sempena persaraannya pada tanggal 22 Mac 2023 selepas lebih 43 tahun berkhidmat kepada negara.
Perbarisan dimulakan dengan Kawalan Kehormatan Utama (KKU) sebelum diikuti dengan perbarisan tempur yang terdiri daripada 28 pegawai dan 459 anggota Lain-Lain Pangkat (LLP) melibatkan kontinjen daripada pusat-pusat latihan TD sambil diiringi oleh gabungan pancaragam Pusat Latihan Muzik TD dan Pusat Latihan Asas Tentera Darat (PUSASDA).
Sejurus selesai perbarisan, PTD bersama isteri berkesempatan menyempurnakan penyampaian sumbangan kebajikan kepada seorang anggota LLP dan empat orang waris yang mengalami masalah kesihatan kronik.
Turut hadir, Asisten Panglima Pasukan Simpanan, Mej Jen Dato’ Hamdan Hj Ismail, kakitangan awam dan warga MK PLDTD serta pegawai-pegawai kanan TD.
Gambar: Mohammad Shukri Suhaimi & Mohammad Fadzil Akirul