KUALA LUMPUR: “Kebelakangan ini, Pemerintahan Medan Barat Tentera Darat (PMBTD) melakar beberapa kejayaan yang sememangnya menjadi kebanggaan seluruh warga Tentera Darat (TD).
“Pemerintahan ini telah menyumbang bakti dalam beberapa peristiwa penting seperti penglibatan Greater Klang Valley Task Force, Op MURNI, Op SAR mangsa tanah runtuh Father’s Organic Farm di Batang Kali serta penganjuran acara utama iaitu sambutan Hari Tentera Darat Ke-90, penganjuran Malaysian Army Pavilion sempena pameran Defence Services Asia & National Security Asia, sambutan Hari Kebangsaan dan banyak lagi”, jelas Panglima Tentera Darat (PTD), Jen Tan Sri Dato’ Seri Zamrose Mohd Zain.
PTD dan isteri, Puan Sri Datin Seri Zainuriah Hj Mustapha diraikan dalam Perbarisan Penghargaan PTD Ke-28 berkonsep perbarisan tempur yang berkekuatan seramai 56 pegawai dan 1,120 anggota Lain-Lain Pangkat (LLP) dari PMBTD dengan diiringi oleh Gabungan Pancaragam Pusat Rejimen Renjer Diraja (RRD) serta Pancaragam Pusat Kor Armor Diraja (KAD) di PMBTD pada 16 Mac 2023.
Sempena perbarisan penghargaan ini, PTD melaksanakan pemakaian pangkat melibatkan dua pegawai dan 10 anggota Lain-Lain Pangkat (LLP) serta menyempurnakan simbolik menanam pokok di Batalion Pertama Rejimen Askar Melayu Diraja (1 RAMD) sekaligus beramah mesra bersama warga 1 RAMD.
Di samping itu, seramai seorang anggota LLP dan dua orang waris yang mengalami masalah kesihatan kronik menerima sumbangan kebajikan daripada PTD ketika Majlis Makan Tengah Hari di Dewan Dato’ Jamil.
Turut hadir, Panglima Divisyen Ketiga Infantri Malaysia (3 Div), Mej Jen Dato’ Rashidin Hashimi Abd Rashid, Panglima 2 Div, Mej Jen Dato’ Hj Muhammad Huzaimi Sabri dan pegawai-pegawai kanan TD.
Gambar: Pbt Muhammad Shafirin Mohd Razi