KEDAH: Pembukaan Pameran Aeroangkasa dan Maritim Antarabangsa Langkawi 2023 (LIMA ‘23) kembali beraksi dengan pelbagai acara aerobatik bertempat di Pusat Pameran Antarabangsa Mahsuri (MIEC), Pulau Langkawi pada 23 Mei 2023.
LIMA ‘23 yang bertemakan ‘Titik Perhubungan Perdagangan Maritim dan Aeroangkasa Asia’ merupakan pameran maritim serta aeroangkasa terbesar di rantau Asia Pasifik.
Pameran yang ditangguhkan hampir empat tahun akibat pandemik COVID-19 ini memasuki edisi ke-16 dan akan berlangsung selama lima hari mulai 23 hingga 27 Mei 2023 dengan penglibatan kira-kira 525 pempamer mewakili 140 syarikat dari seluruh dunia.
Terdahulu, Menteri Pertahanan (MENHAN), Dato’ Seri Utama Hj Mohamad Hj Hasan dan Menteri Pengangkutan, Loke Siew Fook telah menyempurnakan Majlis Pelancaran LIMA ‘23 di landasan terbang atau tarmac MIEC.
Sebanyak 119 pesawat menyertai pameran statik dan aerobatik manakala 40 kapal tentera laut dari dalam dan luar negara akan dipamerkan untuk tontonan umum termasuk penyertaan daripada lima negara yang terkenal dengan pertunjukan udara iaitu Rusia, Thailand, Indonesia, Korea Selatan dan Emiriah Arab Bersatu (UAE).
Turut berlangsung, Opening Gambit oleh pesawat Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) dengan aksi daripada pesawat F/A-18D Hornet, pesawat Hawk 108/208, pesawat Sukhoi SU30MKM, PC7-MK II, C-130H, A400M, EC725AP dan AW139.
Antara yang hadir, Panglima Angkatan Tentera, Jen Tan Sri Dato’ Sri Hj Affendi Buang TUDM, Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan, Dato’ Sri Muez Abd Aziz dan Panglima Tentera Darat, Jen Datuk Seri Mohammad Ab Rahman.
Gambar: PW II Shamsul Zaidi Zolkoffly, Pbt Mohammad Shukri Suhaimi, Pbt Mohammad Fadzil Akirul, Pbt Muhammad Shafirin Mohd Radzi & Pbt Tuan Muhammad Farizal Tuan Dir