KUALA LUMPUR: Tanggal 15 Jul 1957 yang lalu merupakan Hari Ulang Tahun (HUT) Kor Ordnans Diraja (KOD) yang disambut dalam Perbarisan HUT KOD Ke-66 melibatkan empat detasmen terdiri daripada 15 pegawai dan 218 anggota Lain-Lain Pangkat (LLP) yang disempurnakan oleh Pengerusi KOD, Mej Jen Dato’ Hj Rusni Saad bertempat di Padang Kawad Batu Kentonmen pada 21 Jul 2023.
Ketibaan Pengerusi KOD dan isteri disambut oleh Pengarah KOD, Brig Jen Hj Suhaimi Mat Isa untuk menerima Tabik Hormat daripada Ketua Perbarisan, Lt Kol Saiful Riduan Abu Bakar dengan diiringi oleh Platun Brassband Batalion Pertama Rejimen Askar Melayu Diraja (1 RAMD) bawah pimpinan Drum Mej Sjn Saiful Abdullah Ahmad.
Dalam ucapan Pengerusi KOD, beliau mengucapkan penghargaan kepada kepimpinan tertinggi Tentera Darat (TD) di atas keprihatinan, sokongan dan kepercayaan yang diberikan kepada kor untuk terus melaksanakan fungsinya dengan berkesan demi mencapai misi dan visi yang ditetapkan.
“Sepanjang usia 66 tahun ini, KOD telah melalui pelbagai perubahan selari dengan pembangunan peringkat Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan ketika ini TD sedang giat melaksanakan pelan pembangunan jangka masa panjang bagi mempersiapkan angkatan masa hadapan melalui Pelan Pembangunan Strategik Army 4NextG.
“Bagi mendukung matlamat tersebut, keupayaan KOD terus dipertingkatkan dengan penambahbaikan doktrin dan latihan serta penerokaan kemahiran baharu supaya peranan kor akan terus relevan pada masa hadapan.
“Kita perlu sentiasa meningkatkan pengetahuan dalam kepakaran yang dimiliki dan setiap warga KOD mempunyai kepakaran tersendiri yang perlu dipertingkatkan agar dapat dijadikan rujukan oleh pihak lain,” ujar Pengerusi KOD.
Beliau menyeru kepada semua untuk bekerja bersama-sama dan terus komited meletakkan KOD sebagai pendukung utama kesiagaan TD dengan berpegang kepada moto ‘Berkhidmat dan Membantu’ bagi memberikan perkhidmatan yang terbaik kepada TD agar pelan Army 4NextG yang dikeluarkan mencapai objektif dengan berkesan.
Sempena HUT ini, Pengerusi KOD turut menganugerahkan Sijil Penghargaan Pengerusi KOD, Buku Profil Sarjan Mejar Rejimen (SMR) KOD dan Sijil Anugerah Kecemerlangan Akademik Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) kepada warga KOD.
Turut hadir, mantan-mantan jemaah tertinggi KOD dan warga veteran KOD.
Gambar: Pbt Muhammad Shafirin Mohd Radzi