NEGERI SEMBILAN: Panglima Tentera Darat (PTD), Jen Tan Sri Dato’ Muhammad Hafizuddeain Jantan dalam ucapannya menyatakan bahawa kerjaya ketenteraan bukanlah kerjaya yang sama dengan perkhidmatan awam yang lain.
“Perlu diingatkan bahawa kita adalah tunjang utama pertahanan negara yang memerlukan pengorbanan, semangat juang yang tinggi, komitmen dan taat setia yang tidak berbelah bahagi dalam melunaskan segala tugas dan tanggungjawab yang diamanahkan.
“Kita sentiasa proaktif untuk meningkatkan profesionalisme dan kesejahteraan warga, mengukuhkan aspek kerohanian serta mencorakkan pola pemikiran positif,” tegasnya lagi.
Beliau berkata demikian ketika menyempurnakan Perbarisan Tamat Latihan Perajurit Muda (TLPM) Lelaki Siri 198/23 bertempat di Padang Kawad Pusat Latihan Asas Tentera Darat (PUSASDA) pada 27 Jan 2024.
Terdahulu, ketibaan PTD disambut oleh Timbalan Panglima Tentera Darat (TPTD), Lt Jen Dato’ Tengku Muhammad Fauzi Tengku Ibrahim, kemudian menerima tabik hormat daripada kontinjen perbarisan yang diketuai oleh PM Keseluruhan Terbaik Lelaki iaitu PM Muhammad Ilham Ikhwan Shawal dengan diiringi Pancaragam Pusat Rejimen Renjer Diraja, Pancaragam Pusat Kor Armor Diraja, Brass Band Wanita Rejimen Semboyan Diraja dan Brass Band PUSASDA.
Seramai 1,436 orang Perajurit Muda (PM) berkelulusan Diploma, Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM), Sijil Vokasional Malaysia (SVM), Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) dan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) berjaya menamatkan latihan asas selama enam bulan.
Perbarisan diserikan lagi dengan acara penyampaian hadiah kepada lima kategori terpilih melibatkan Keseluruhan Terbaik Lelaki dianugerahkan kepada PM Muhammad Ilham Ikhwan Shawal yang akan berkhidmat dalam Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD) manakala Kategori Ketenteraan Terbaik diberikan kepada PM Niel Serang Laja yang akan berkhidmat dalam Rejimen Renjer Diraja (RRD).
Kategori Kawad Terbaik jatuh kepada PM Mohamad Hakimie Mohamad Rejab yang akan berkhidmat dalam RAMD, Kategori Akademik Terbaik pula dinobatkan kepada PM Muhammad Amirul Roslan yang akan menyertai Kor Jurutera Letrik dan Jentera Diraja (KJLJD) manakala Kategori Jasmani Terbaik disandang oleh PM Muhammad Alif Zakaria yang akan berkhidmat dalam RRD.
TD juga sentiasa mengalu-alukan penyertaan para belia tanpa mengira bangsa, agama dan latar belakang taraf pendidikan untuk menabur bakti dalam profesion ketenteraan ini.
Syarat utama dalam pemilihan adalah mempunyai tahap kesihatan fizikal dan mental yang terbaik selain sekurang-kurangnya lulus berkredit dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) bagi mata pelajaran teras.
Turut hadir, Panglima Medan Barat Tentera Darat, Lt Jen Dato’ Pahlawan Hj Muhammad Huzaimi Sabri, Panglima Medan Timur Tentera Darat, Lt Jen Dato’ Mohd Sofi Md Lepi, Ketua Staf Tentera Darat, Lt Jen Dato’ Zaidan Atan dan pegawai-pegawai kanan TD.
Gambar: Lt M Riffat Mohd Yusof, LKpl Mohammad Shukri Suhaimi, LKpl Mohammad Fadzil Akirul & LKpl Muhammad Shafirin Mohd Radzi