PERAK: Ketua Jurutera merangkap Pengerusi Rejimen Askar Jurutera Diraja (RAJD), Brig Jen Fazillah Ibrahim melafazkan setinggi-tinggi kesyukuran atas sambutan Hari Ulang Tahun (HUT) RAJD Ke-72 bukan sekadar acara rejimental tahunan tetapi suatu medan muhasabah dan penghargaan terhadap segala pengorbanan serta kejayaan warga RAJD yang sentiasa berusaha menjulang maruah kor ini di Padang Kawad Kem Sangro, Taiping Perak pada 22 Apr 2025.
Terdahulu, ketibaan beliau disambut oleh Komander Jurutera Medan Barat, Brig Jen Ts. Roshdan Ahmad sebelum menerima tabik hormat dan memeriksa perbarisan melibatkan empat detasmen berkekuatan seramai 15 pegawai dan 208 anggota Lain-Lain Pangkat (LLP) yang diketuai oleh Lt Kol Ts. Gs Abdul Rashid Othman.
Seterusnya, perbarisan diteruskan dengan penyampaian anugerah kecemerlangan dan perutusan HUT Kor yang disampaikan oleh Pengerusi RAJD.
Sambutan HUT kali ini membawa makna lebih besar apabila RAJD kekal berdiri teguh seiring dan segagah bersama aspirasi Tentera Darat (TD) bagi mendokong Angkatan Masa Hadapan (AMH) dan selaras dengan tema hari TD ke-29 iaitu ‘Sinergi Tentera Darat dan Rakyat Pemangkin Aspirasi Angkatan Masa Hadapan’.
“Selain itu, RAJD terus mengorak langkah ke hadapan dengan pendekatan holistik pembangunan melalui sinergi manusia, mesin dan matod serta rejimen ini berusaha memperkukuh hubungan di antara TD dan rakyat dengan menyokong serta membantu Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dalam semua pembangunan negara dan rakyat selari dengan peranan dan tugas RAJD semasa aman,” ujarnya.
Majlis diakhiri dengan jamuan sambutan hari raya dan acara memotong HUT RAJD Ke-72 bertempat di Garaj Kenderaan Skuadron Pertama RAJD (1 Skn RAJD).
Turut hadir, Ketua Pengarah Bahagian Perkhidmatan Kejuruteraan Pertahanan, Brig Jen Sr. Ratenah Ismail, Pengarah Bahagian Geospatial Pertahanan, Brig Jen Dato’ Pahlawan Sr Dr Mohd Zambri Mohamad Rabab, Timbalan Ketua Pengarah Perancangan Bahagian Perkhidmatan Kejuruteraan Pertahanan, Brig Jen Ir. Muhammad Zamri Musa dan Setiausaha Sulit Kanan DYMM Paduka Seri Sultan Perak Darul Ridzuan, Brig Jen Norzahari Efandy Zakaria.
Gambar: Rjr Raja Khairul Husaini Raja Roslan