KEDAH: Kementerian Pertahanan (MINDEF) secara rasminya memeterai keseluruhan kontrak bernilai RM11 bilion sempena Pameran Maritim dan Aeroangkasa Antarabangsa Langkawi 2025 (LIMA’25) yang berlangsung di Pusat Pameran Antarabangsa Mahsuri (MIEC) pada 22 Mei 2025.
Menteri Pertahanan (MENHAN), Dato’ Seri Mohamed Khaled Nordin memaklumkan bahawa jumlah tersebut merangkumi 40 kontrak utama, dua Surat Niat (LOI) bernilai lebih RM 30 juta dan enam Memorandum Persefahaman (MoU) yang melibatkan kerjasama strategik antara MINDEF dan pemain industri pertahanan tempatan serta antarabangsa.
“Pecahan perbelanjaan ini dibahagikan kepada lima perkara utama iaitu perolehan aset strategik untuk pertahanan darat, maritim, udara, keselamatan siber serta aspek kebajikan dan kemudahan untuk Angkatan Tentera Malaysia (ATM),” katanya selepas menyaksikan Majlis Menandatangani dan Penyerahan Dokumen Kontrak, SST, LOI dan MoU.
Antara perolehan paling signifikan ialah 136 unit Kenderaan Perisai Jenis A (KJA) berserta pembangunan infrastruktur oleh syarikat tempatan, MILDEF Technologies Sdn Bhd dengan anggaran kos projek bernilai RM 1.8 bilion.
Langkah ini dijangka memperkukuh kesiapsiagaan Tentera Darat Malaysia (TDM) ke tahap maksimum di samping menyokong pembangunan kapasiti pertahanan negara serta memperkukuh keupayaan industri tempatan.
Selain itu, MINDEF turut menitikberatkan aspek kebajikan anggota tentera dengan memulakan projek pembinaan Hospital Angkatan Tentera (94 HAT) baharu di Kem Terendak, Melaka bagi menggantikan fasiliti sedia ada yang telah berusia lebih 50 tahun.
Hospital ini akan dilengkapi kemudahan dan peralatan perubatan moden berteknologi tinggi, sejajar dengan keperluan perkhidmatan kesihatan ATM masa kini.
Tambah beliau, MINDEF turut memberi penekanan kepada pembangunan aset pertahanan yang lebih canggih termasuk aplikasi teknologi Kecerdasan Buatan (Artificial Intelligence – AI).
“Inisiatif ini akan membuka ruang kepada pembangunan industri pertahanan nasional yang lebih berdaya saing di peringkat global,” ujar beliau.
Bagi pihak kerajaan, perjanjian-perjanjian tersebut telah ditandatangani oleh Ketua Setiausaha MINDEF, Datuk Lokman Hakim Ali yang turut disaksikan oleh Timbalan MENHAN, Tuan Hj Adly Zahari serta Panglima Angkatan Tentera, Jen Datuk Hj Mohd Nizam Hj Jaffar.
Turut hadir, Panglima Tentera Darat, Jen Tan Sri Dato’ Seri Muhammad Hafizuddeain Jantan, Panglima Tentera Laut, Laksamana Datuk (Dr.) Zulhelmy Ithnain TLDM dan Panglima Tentera Udara, Jen Tan Sri Dato’ Sri Mohd Asghar Khan Goriman Khan TUDM.
Gambar: LKpl Nik Ahmad Asyraaf Nik Husein & Pbt Tuan Mohammad Farizal Tuan Dir.