KUALA LUMPUR: Seramai 60 pegawai dan 158 anggota Lain-lain Pangkat (LLP) wanita Tentera Darat (TD) menyertai Program Sukan Back To Basic Wanita TD Tahun 2015 yang dirasmikan oleh Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Wanita Tentera Darat (JKHEWTD), Brig Jen Dato’ Norhuda Ahmad bertempat di Dewan Wardieburn, Setapak pada 30 Okt 2015.
Objektif program ini diadakan bertujuan untuk menyuburkan kembali pengetahuan asas ketenteraan kepada wanita TD baik di medan mahupun pasukan, mewujudkan kesatuan yang erat serta saling menghormati antara pelbagai lapisan peringkat wanita TD agar dapat dimanfaatkan untuk saling membantu dalam aspek kerjaya mahupun sosial dan sebagai satu cara untuk berinteraksi dan memupuk hubungan silaturrahim yang lebih erat di kalangan pegawai dan anggota wanita keseluruhannya.
Acara dimeriahkan lagi dengan zumba, layout katil bermasa, masak nasi dalam mess tin, lari berganti, memakai celoreng harimau belang bermasa, layout meja dan kutleri bermasa, memasang tayar kenderaan bermasa serta membuka dan memasang khemah bermasa.
Turut hadir, pegawai-pegawai kanan TD, pegawai-pegawai dan anggota Lain-lain Pangkat (LLP).