KUALA LUMPUR:Panglima Tentera Darat (PTD) Jen Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor menerima kunjungan rasmi Commanding General of The Philippines Army Lt Gen Eduardo M Ano bertempat di Pejabat PTD pada 18 Jan 2016.
Terdahulu dari itu, Lt Jen Eduardo M Ano menerima Kawalan Kehormatan Utama (KKU) dari Batalion Pertama Rejimen Askar Melayu Diraja (1 RAMD) terdiri daripada 3 pegawai serta 103 anggota Lain-Lain Pangkat (LLP) yang diketuai oleh Mej Mohd Izham Ahmad Rafidi bersama Pegawai Panji-Panji Rejimen iaitu Lt Muda Badru Hussin Ibrahim Hussin dan diiringi oleh Pancaragam Pusat Rejimen Askar Melayu Diraja.
Objektif utama kunjungan adalah untuk mengukuhkan lagi hubungan bilateral di peringkat Negara Asean di samping itu jika terdapat sebarang kekurangan dalam menghadapi sesuatu ancaman, maka bantuan dari negara lain menjadi keutamaan dan jika berlaku sebaliknya pihak Tentera Darat Filipina akan turut menyalurkan bantuan.
Turut hadir Timbalan Panglima Tentera Darat (TPTD), Lt Jen Dato’ Seri Panglima Hj Ahmad Hasbullah Mohd Nawawi, Ketua Staf Markas Tentera Darat (KS MKTD), Mej Jen Dato’ Shahrani Mohd Sany, Asisten Ketua Staf (AKS) Cawangan Sumber Manusia (CSM), Mej Jen Dato’ Suhaimi Hj Mohd Zuki, AKS Operasi dan Latihan (OPLAT) Mej Jen Dato’ Mohd Ramli Jaafar, dan Asisten Panglima Pasukan Simpanan Mej Dato’ Mohd Dalib Basir.