KUALA LUMPUR: Sambutan Hari Kebangsaan Ke-59 disambut meriah dengan kehadiran ribuan rakyat Malaysia daripada segenap lapisan masyarakat dan pelbagai bangsa serta agama mempamerkan semangat kebersamaan dan cintakan negara menyambut Hari Kebangsaan 2016 yang turut dihadiri oleh Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong Al-Sultan Almu`tasimu Billahi Muhibbuddin ibni Al-Marhum Sultan Badlishah bersama Raja Permaisuri Agong, Tuanku Hajah Haminah bertempat di Dataran Merdeka pada 31 Ogos 2016.
Sejurus keberangkatan tiba pasangan Diraja, Seri Paduka Baginda menerima tabik hormat dan memeriksa perbarisan Kawalan Kehormatan Utama terdiri daripada empat pegawai dan 103 anggota dari Batalion Pertama Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD) diketuai Mej Azadlee Rafedzi Kamal Rafedzi seterusnya diikuti acara menaikkan Jalur Gemilang dan diiringi nyanyian lagu kebangsaan Negaraku disusuli dengan 14 das tembakan meriam oleh 41 Bateri Istiadat Rejimen Artileri Diraja (RAD).
Tema, logo dan lagu sambutan Hari Kemerdekaan Ke-59 iaitu Sehati Sejiwa masih dikekalkan kerana ianya mencerminkan roh kesepaduan, kesefahaman, semangat kekitaan dan kemanusiaan seluruh rakyat di negara ini disamping ia meningkatkan semangat patriotik dan cintakan negara dalam kalangan rakyat Malaysia tanpa mengira latar belakang agama dan bangsa.
Pengunjung yang hadir turut dipertontonkan dengan persembahan khas Polis DiRaja Malaysia (PDRM), perbarisan yang melibatkan 26 kontinjen dan 20 pasukan pancaragam dari pasukan-pasukan keselamatan dan agensi-agensi awam berjumlah 14491 orang serta pertunjukan 248 aset dari Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan PDRM.
Turut hadir Perdana Menteri Malaysia, Dato’ Sri Mohd Najib Tun Hj Abdul Razak, Timbalan PM, Dato’ Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi, Menteri Pertahanan, Dato’ Seri Hishammuddin Tun Hussein, Panglima Angkatan Tentera, Jen Tan Sri Dato’ Sri Dr. Hj Zulkifeli Hj Mohd Zin, Ketua Polis Negara Tan Sri Dato’ Sri Khalid Abu Bakar, Panglima ketiga-tiga cabang perkhidmatan Darat, Laut dan Udara serta Penasihat Pertahanan luar negara.
Gambar: Sjn Saiful Fazley Rusli