KUALA LUMPUR: Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Almu’tasimu Billahi Muhibbuddin Tuanku Alhaj Abdul Halim Mu’adzam Shah Ibni Al-Marhum Sultan Badlishah dan Raja Permaisuri Agong Tuanku Hajjah Haminah berkenan mencemar duli berangkat ke Istiadat Perbarisan Menjunjung Kasih Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong XIV bertempat di Dataran Panglima Tentera Darat pada 16 Nov 2016.
Keberangkatan tiba pasangan diraja pada jam 830 pagi itu, di sambut gilang gemilang dengan alunan lagu Negaraku dari Pancaragam Gabungan Pusat Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan 21 das tembakan meriam kehormatan dari 41 Bateri Rejimen Artileri Diraja (RAD) disusuli terbang lintas hormat oleh lima buah helikopter ATM yang membawa Jalur Gemilang, bendera ATM, Tentera Darat Malaysia (TDM), Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM).
Istiadat perbarisan ini merupakan satu istiadat penuh ketenteraan yang diadakan sempena tamat tempoh pemerintahan Tunku Abdul Halim Mu’adzam Shah sebagai Seri Paduka Baginda (SPB) Yang Di-Pertuan Agong Ke-XIV dan tanda penghormatan serta ketulusan hati warga ATM merafak sembah menjunjung setinggi-tinggi kasih kepada Seri Paduka Baginda Tuanku selaku Pemerintah Tertinggi ATM.
Seramai 22 pegawai dan 541 anggota Lain-Lain Pangkat (LLP) dari ketiga-tiga cabang perkhidmatan ATM terlibat dalam istiadat perbarisan ini yang diketuai oleh Lt Kol Mohd Radzi Othman melibatkan lima Panji-panji diarak iaitu Panji-panji Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD), Rejimen Renjer Diraja (RRD), Kor Amor Diraja (KAD), Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM).
Dalam titah SPB, baginda menyeru kepada perwira-perwira yang masih berkhidmat agar mencontohi semangat yang telah ditunjukkan oleh Lt Adnan Saidi yang berjuang sehingga titisan darah terakhir di Bukit Chandu, Pasir Panjang pada 14 Feb 1942.
“Walaupun beliau telah meninggalkan kita 74 tahun yang lampau, namun kekentalan dan semangat keperwiraan beliau telah dapat dijiwai bukan sahaja oleh setiap warga Angkatan Tentera malahan kepada seluruh rakyat Malaysia dan Beta juga ingin mengucapkan syabas kepada ATM kerana telah berjaya memastikan sempadan perbatasan negara terpelihara dengan berjaya mematahkan pencerobohan oleh tentera Kesultanan Sulu di Lahad Datu, Sabah pada Mac 2013 dalam misi Operasi Daulat,” titah baginda.
Selain itu, baginda menasihatkan kepada seluruh warga ATM agar tidak alpa dengan kejayaan yang telah dikecapi sebaliknya dijadikan pemangkin dan pemacu untuk bergerak lebih maju ke hadapan agar ATM menjadi sebuah organisasi yang utuh dan terus menjamin keselamatan negara, kesejahteraan rakyat serta sentiasa disegani oleh kawan dan digeruni oleh pihak lawan.
Diakhir perbarisan warga ATM mempersembahkan street lining bermula dari Wisma Perwira TD hingga balai pengawal utama sebagai tanda penghormatan kepada SPB dan Raja Permaisuri diiringi 14 ekor kuda dari Skuadron Istiadat Berkuda TD.
Turut hadir Timbalan Menteri Pertahanan, Datuk Mohd. Johari Baharom, Panglima Angkatan Tentera Jen Tan Sri Dato’ Sri Dr. Hj Zulkifeli Hj Mohd Zin, Panglima Tentera Darat Jen Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor, Panglima Tentera Laut Laksamana Tan Sri Ahmad Kamarulzaman Hj Ahmad Badarudin dan Panglima Tentera Udara Jen Tan Sri Dato’ Sri Roslan Saad (TUDM).
Gambar: Kapt Ahmad Farhan Hassan, PW II Mohd Shahril Mat Ali, Sjn Saiful Fazley Rusli dan Sjn Vijay Gaundar Arikrishnan