KUALA LUMPUR: Menteri Pertahanan (MENHAN), Dato’ Seri Hishammuddin Tun Hussein diiringi oleh Panglima Angkatan Tentera (PAT), Jen Tan Sri Dato’ Sri (Dr.) Hj Zulkifeli Mohd Zin menyempurnakan Majlis Official Opening and Reception bersempena penganjuran Defence Service Asia (DSA) 2016 yang bertempat di Hotel Terkemuka pada 17 Apr 2016.
DSA 2016 adalah sebagai platform utama kepada ahli perniagaan yang mempamerkan pelbagai sistem pertahanan serta keselamatan untuk di promosikan ke peringkat yang lebih tinggi, bahkan penganjuran pada edisi kali ini melibatkan pelbagai pertukaran idea dan teknologi melalui pembentangan kertas kerja, forum dan diskusi.
Selain itu, penganjuran pada tahun ini memperlihatkan kejayaan penglibatan peserta pameran seramai 1200 orang dari 60 buah negara dan dijangkakan kehadiran seramai 34000 pelawat dari 77 buah negara yang datang melawat Malaysia bersempena DSA 2016.
Dalam ucapan pembukaan MENHAN, beliau mengalu-alukan kehadiran delegasi luar yang turut serta menjayakan DSA 2016 dan menyuarakan kebanggaannya terhadap Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang sentiasa mengutamakan tugas dalam melindungi serta memastikan keselamatan rakyat Malaysia terpelihara daripada sebarang ancaman yang mendatang.
”Walaupun ATM membelanjakan jutaan ringgit untuk peningkatan teknologi pertahanan, tetapi tanpa semangat dan keberanian anggota ATM, tragedi di Sulu adalah mustahil untuk kita hadapi”, ujarnya.
Turut hadir, Timbalan Menteri Pertahanan, Datuk Mohd. Johari Baharom, Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan, Datuk Abd. Rahim Mohd. Radzi, Panglima Tentera Darat (PTD), Jen Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor, Panglima Tentera Laut (PTL) Laksamana Datuk Seri Ahmad Kamarulzaman Ahmad Badaruddin, Panglima Tentera Udara (PTU), Jen Tan Sri Roslan Saad, pegawai kanan perkhidmatan dan delegasi asing yang menyertai pameran pada tahun ini.