NEGERI SEMBILAN: Timbalan Menteri Pertahanan (MENHAN), Dato’ Wira Mohd Johari Baharum diiringi Panglima Tentera Darat Jen Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor dipertontonkan dengan Latihan Kuasa Tembakan (LKT) tahun 2016 bertempat di Lapang Sasar Asahan pada 26 Mei 2016.
Acara dimulakan dengan tembakan Opening Gambit sebagai simbolik menyambut ketibaan Timbalan MENHAN ke LKT pada tahun ini dan acara diteruskan dengan Orientasi Sasaran untuk kemudahan penonton mengenalpasti sasaran tembakan.
Terdahulu Panglima 3 Div Mej Jen Hasagaya Abdullah memulakan ucapannya dengan mengalu-alukan kehadiran delegasi dari luar negara serta Penuntut Maktab Turus Angkatan Tentera (MTAT) dan juga Penuntut Kursus dari Pusat Latihan dari seluruh negara.
Beliau berkata bahawa objektif LKT pada tahun ini adalah sebagai pertunjukkan realistik terhadap pengoperasian yang melibatkan elemen Infantri, Artileri, Armor, Pasukan Udara Tentera Darat (PUTD) dan akhir sekali penglibatan dari Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM).
Diantara tarikan terbaru LKT pada tahun ini ialah penglibatan PUTD yang mempersembahkan persenjataan terkini iaitu Helikopter Agusta A-109E yang dilengkapi senjata Gutling Gun M134D dan seterusnya memperlihatkan kemantapan Helikopter Sikorsky S-61A-4 Nuri yang memasuki lapang sasar dengan membawa Meriam 105mm PH L5.
Selain itu, penonton dikejutkan dengan ketibaan pesawat pejuang F/A-18D Hornet, Hawk 208, dan Sukhoi 30 MKM yang menggegarkan Observation Post 3A (OP 3A) sekaligus memukau semua penonton.
Turut hadir Timbalan Ketua Setiausaha (Pengurusan) Dato’ Mohammad Foad Haji Abdullah, Timbalan Panglima Tentera Darat Lt Jen Dato’ Seri Hj Ahmad Hasbullah Hj Mohd Nawawi, Timbalan Panglima Tentera Laut Laksamana Madya Dato’ Anuwi Hassan, dan pegawai-pegawai kanan TD.
Gambar: Sjn Vijay Gaudar Arikrishnan