KUALA LUMPUR: Markas Divisyen Keempat Infantri Malaysia (MK 4 Div) dinobatkan sebagai Johan dalam Ujian Kemahiran Merentas Halangan dan Kawad (UKMHK) peringkat Tentera Darat (TD) 2016 semasa perbarisan penutup yang disempurnakan oleh Timbalan Panglima Tentera Darat (TPTD), Lt Jen Dato’ Seri Panglima Hj Ahmad Hasbullah Hj Mohd Nawawi bertempat di Lapang Sasar Kem Perdana Sungai Besi pada 8 Sep 2016.
Sebanyak 10 Tim mewakili formasi-formasi dalam TD terlibat dalam pertandingan yang dianjurkan oleh MK 4 Div di mana UKMHK TD merupakan ujian tahunan yang dipertandingkan selama tiga hari bermula dari 5 hingga 8 Sep 2016, bagi memilih formasi terbaik dalam ujian kawad serta merentas halangan, meliputi empat kategori pertandingan iaitu Tempur, Bantuan Tempur, Bantuan Khidmat dan buat pertama kalinya dipertandingkan adalah Kategori Wanita.
MK 4 Div adalah Johan bagi Kategori Tempur dan Wanita manakala PL&DTD pula Johan bagi Kategori Bantuan Tempur serta Bantuan Khidmat dan bagi Ketua Platun Terbaik Lelaki disandang oleh Kapt Mohd Firdaus Mohd Isa dari PL&DTD dan Penolong Ketua Platun Terbaik Lelaki disandang oleh SSjn Mohd Yusof Othman dari MK 4 Div, seterusnya bagi Ketua Platun Terbaik Wanita pula dimenangi Lt M Nurhafizah Muhammed Za’ba dan Penolong Ketua Platun Terbaik Wanita dimenangi SSjn Nirwana Mat Deris yang mana kedua-duanya dari MK 4 Div.
Dalam ucapan TPTD, beliau berbangga melihat semangat dan komitmen yang ditunjukkan dalam pertandingan pada kali ini yang menunjukkan peserta bertungkus lumus memastikan formasi masing-masing menjadi johan.
“Komitmen yang ditunjukkan oleh setiap anggota yang terlibat dalam memastikan kelancaran UKMHK TD amat dibanggakan kerana setiap pencapaian kita bukan hanya dinilai dengan jumlah kemenangan namun selagi semangat berjuang itulah menjadi penentu dan menjadikan kita terbaik antara yang terbaik,” katanya.
Turut hadir Panglima Medan Barat TD, Lt Jen Dato’ Sri Zulkiple Hj Kassim, Panglima Medan Timur TD, Lt Jen Datuk Mohd Zaki Hj Mokhtar, Panglima 4 Div, Mej Jen Dato’ Sheikh Mokhsin Hassan dan Panglima-panglima Formasi.