KUALA LUMPUR: Seramai 59 pegawai dan 1651 anggota Lain-Lain Pangkat (LLP) terdiri dari pelbagai kor dalam Tentera Darat (TD) melibatkan 18 detasmen terlibat dalam Perbarisan Perintah Ulung Panglima Tentera Darat Ke-26, Jen Dato’ Sri Zulkiple Hj Kassim diketuai oleh Pegawai Memerintah Batalion Kelapan Rejimen Askar Melayu Diraja, Lt Kol Zulkernain Hj Ayob di Dataran PTD pada 7 Jan 2017.
Perbarisan ini adalah amanat dan Perintah Ulung PTD Ke-26 setelah mengambil alih tampuk pemerintahan TD daripada mantan PTD Ke-25, Jen Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor pada 16 Dis lalu yang berpandukan kepada lima teras agar TD kekal relevan sebagai sebuah ketumbukan utama benteng pertahanan negara.
Dalam ucapan Perintah Ulung PTD Ke-26, beliau menyeru kepada seluruh warga TD agar mengorak langkah bersamanya bagi memperlihatkan TD terus cemerlang dengan lima teras yang beliau inginkan iaitu teras pertama Perkasakan Kesiagaan Angkatan, teras kedua Pengukuhan Kesepaduan Angkatan, teras ketiga Peneguhan Profesionalisme, teras keempat Pemantapan Pengurusan Organisasi dan teras kelima Peningkatan Kualiti Hidup.
“Marilah sama-sama kita kuatkan azam untuk menyemai semangat kesatuan yang tinggi dalam kalangan warga TD dan setiap pemimpin perlu membuktikan daya kepimpinan yang unggul serta menanamkan sikap sayangkan organisasi kerana dari kukuhnya barisan kesatuan dengan gah dan perkasanya maka dapatlah kita mencapai kejayaan yang gemilang demi kedaulatan bumi bertuah ini,” katanya.
Disamping itu PTD turut memperkenalkan slogan TD yang baharu iaitu Tentera Darat Satu, Kerana Bersatu.
Turut hadir, Timbalan Panglima Tentera Darat, Lt Jen Dato’ Sri Panglima Hj Ahmad Hasbullah Hj Mohd Nawawi, Panglima Medan Barat TD, Lt Jen Datuk Azizan Md Delin dan Panglima Medan Timur TD, Lt Jen Datuk Mohd Zaki Mokhtar.
Gambar: PW II Mohd Shahril Mat Ali dan Sjn Vijay Gaundar Arikrishnan