NEGERI SEMBILAN: Seramai 39 pegawai dan 98 Lain-Lain Pangkat (LLP) Kor Agama Angkatan Tentera (KAGAT) yang diketuai oleh Lt Kol Mohd Hamzah Adam terlibat dalam Perbarisan Hari Ulang Tahun (HUT) KAGAT ke-32 disempurnakan oleh Pengerusi KAGAT, Mej Jen Dato’ Hj Kamarudin Hj Mamat di Institut Latihan Dan Kefahaman Islam ATM (ILMI) pada 16 Apr 2017.
Dalam perutusan HUT ini, Pengerusi KAGAT menyatakan bahawa perbarisan khusus bagi meraikan dan mendengar perutusan Pengerusi Kor yang juga Ketua Pengarah KAGAT sedang berlangsung secara serentak di tujuh zon pemerintahan di seluruh negara untuk dijadikan pandu arah dan pedoman meneruskan kesinambungan perjuangan suci bagi memartabatkan Islam dan perkhidmatan Angkatan Tentera Malaysia (ATM).
“Setelah 32 tahun menabur keringat bakti di persada ATM, nasional, serantau dan antarabangsa sebagai daie askari, warga KAGAT selain mendapat pujian turut juga menghadapi pelbagai cabaran, mehnah dan tribulasi, namun masih tegak berdiri dengan utuh bersama di peringkat pengurusan tertinggi ATM dalam membangun serta membina manusia pertahanan yang berpaksikan roh jihad atau spritual combat power yang berupaya dizahirkan melalui keterampilan seorang pejuang agung, berani berjuang hingga titisan darah terakhir, berintegriti, cergas pantas dan boleh diatur gerak pada sebilang masa serta dapat menyempurnakan misi dan matlamat dengan jayanya,” ujar beliau.
Terdahulu sebelum itu Pengerusi KAGAT menyampaikan sijil kepujian kor kepada empat pegawai dan sembilan anggota LLP KAGAT serta menyempurnakan pemakaian pangkat kepada 10 anggota LLP KAGAT.
Turut hadir ialah Komandan ILMI, Lt Kol Hj Mohamad Idros Mohamad Yunus.
Gambar: Tengku Norsuraya Tengku Abd Rahman