KUALA LUMPUR: Seramai 420 pegawai dan 2,500 anggota Lain-lain Pangkat (LLP) Angkatan Tentera Malaysia (ATM) terlibat dalam perbarisan sempena Hari Ulang Tahun ATM Ke-84 diketuai oleh Mej Jen Datuk Tengku Ahmad Noor Tuan Chik dengan tema ATM Perkasa, Kedaulatan Terpelihara dan disempurnakan oleh Panglima Angkatan Tentera (PAT), Jen Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor di Dataran Panglima Tentera Darat pada 25 Sep 2017.
Terdahulu sebaik ketibaan PAT, beliau menerima tabik hormat dari kontijen perbarisan disusuli dengan lagu ATM serta lintas hormat udara oleh empat buah pesawat helikopter terdiri dari EC 725 yang membawa bendera ATM serta Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) manakala Agusta 109 membawa bendera TD dan Superlynx membawa bendera Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM).
Perbarisan diteruskan dengan penyampaian seramai Pingat Kedaulatan Negara kepada 10 warga ATM dan 10 kakitangan awam Kementerian Pertahanan menerima Sijil Kepujian PAT manakala penerima Anugerah Kesiagaan PAT bagi Perkhidmatan TDM dianugerahkan kepada Markas Briged Keempat Infantri Malaysia Mekanize (MK 4 Bgd Mek) dan TLDM pula dianugerahkan kepada KD Tun Razak serta perkhidmatan TUDM dianugerahkan kepada Pangkalan Udara Subang.
Dalam ucapan PAT, beliau menyatakan organisasi yang diwarisi ini tidak wujud dengan begitu mudah dimana ia lahir dan diperkukuhkan atas keringat, darah serta air mata mereka terdahulu yang telah berjuang dan mengabdikan diri agar bukan sahaja organisasi ini tidak tercela maruah tetapi yang paling utama negara bangsa ini mekar menerobos zaman.
“Angkatan Tentera Malaysia adalah satu angkatan profesional yang sentiasa teguh mendukung kerajaan dan mempertahankan tiang-tiang seri negara dimana kita telah lafazkan sumpah dan ikrar untuk mempertahankan setiap inci negara ini dari diceroboh dan kemanan negara ini tidak diganggu-gugat,” tegasnya.
Tambahnya lagi, ATM kini kian matang dengan memperkukuhkan teras-teras utamanya iaitu teras kesiapsiagaan dimana penambahan serta pembangunan aset-aset terkini seperti Gempita 8×8, Lipan Bara 4×4, aset artileri, program mobiliti dan program helikopter bersenjata milik TD, manakala TLDM pula sedang melaksanakan pembinaan Littoral Combat Ship (LCS) dan Littoral Mission Ship (LMS) dan TUDM terus memperkasakan ruang udara dengan perolehan Pesawat Airbus A400M disamping menaik taraf keupayaan aset udaranya yang lain.
Teras kedua ialah teras keselamatan yang kini menjurus kepada kawalan domain keselamatan negara secara komprehensif diperbatasan negara agar bebas daripada segala konflik di sekitar rantau ini seperti pelarian, pencerobohan, penyuludupan serta ancaman keganasan (Daesh) disamping meneruskan usaha teras yang ketiga iaitu teras kebajikan dengan membangunkan 40,267 buah rumah keluarga di kem seluruh negara selain memenuhi solidariti warganya dengan program Satu Anggota Satu Rumah (SASaR) agar setiap anggota memiliki sekurang-kurangnya sebuah rumah apabila bersara kelak.
Manakala bagi teras yang terakhir adalah teras diplomasi pertahanan seiiring dengan dasar luar kerajaan dengan tampil sebagai satu elemen utama kepada pendekatan an extension of policy demi mengekalkan serta mengukuhkan hubungan bilaterial dan multilateral.
Turut hadir dalam perbarisan tersebut adalah Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan, Dato’ Sri Abdul Rahim Mohamad Radzi, Panglima Tentera Darat, Jen Tan Sri Dato’ Seri Zulkiple Hj Kasssim, Panglima Tentera Laut Laksamana Tan Sri Ahmad Kamarulzaman Hj Ahmad Badarudin, Timbalan Panglima Tentera Udara, Lt Jen Dato’ Seri Ackbal Hj Abdul Samad TUDM dan mantan-mantan panglima ATM.
Gambar: PW II Mohd Shahril Mat Ali, SSjn Vijay Gaundar Arikrishnan