MELAKA: Seramai 45 anak-anak tentera yang berumur tujuh hingga 12 tahun menghadiri Khemah Ibadah Peringkat 10 Bgd (Para) anjuran 361 Bti Rejimen Artileri Diraja Para mulai 6 hingga 8 Dis 2017 di Masjid As-Syuhada.
Khemah Ibadah dan Bengkel Remaja Soleh adalah program yang dirancang untuk melahirkan anak-anak tentera yang berdisiplin dan bertaqwa sebagaimana yg dituntut mengikut Al-Quran dan sunnah di samping meningkatkan semangat setiakawan antara peserta serta lebih beradab dan taat kepada kedua ibubapa.
Dalam mencapai matlamat tersebut 10 Bgd (Para) telah merancang beberapa program kepada anak-anak tentera khususnya untuk mengisi masa terluang sempena musim cuti persekolahan.
Program yang diadakan selama tiga hari ini telah diisi dengan pelbagai aktiviti antaranya aktiviti muhasabah diri, hafazan Al-Quran, qiamullail, memanah, pengurusan jenazah, penyembelihan dan lawatan sambil belajar ke Kompleks Falak Al-Khawarizmi.
Majlis perasmian dan penutup disempurnakan oleh Panglima 10 Bgd Para, Brig Jen Dato’ Tengku Muhammad Fauzi Tengku Ibrahim yang turut menyampaikan cenderahati dan sijil kepada para peserta.
Turut hadir Ketua Staf Am 10 Bgd Para, Lt Kol Samad Igom, Pegawai Memerintah dan Pemerintah di bawah naungan 10 Bgd Para.