PERAK: Seramai 5000 warga Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Veteran berserta ahli keluarga sekitar negeri Perak hadir dalam Majlis Tranformasi Kompleks Mutiara Armada Perbadanan Perwira Niaga Malaysia (PERNAMA) yang dirasmikan oleh Menteri Pertahanan (MENHAN), Dato’ Seri Hishammudin Tun Hussein disaksikan Menteri Besar Perak, Dato’ Seri Diraja Dr Zambry Abd Kadir di Dewan Sharif, Pangkalan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) pada 19 Dis 2017.
Transformasi Kompleks Mutiara Armada merupakan salah satu daripada program Hala Tuju Kementerian Pertahanan yang diilhamkan oleh MENHAN yang diletakkan dibawah Teras Kebajikan dalam agenda Kos Sara Hidup bagi menjurus kepada kebajikan warga dan veteran ATM.
Perbadanan Perwira Niaga Malaysia (PERNAMA) merupakan sebuah perbadanan milik penuh Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) yang memberi khidmat kepada warga dan veteran ATM melalui rangkaian khidmat peruncitan seluruh negara dengan penyediaan barangan pada harga yang berpatutan lagi terkawal khusus untuk manfaat dan kebajikan anggota dan veteran ATM.
Mengimbas sejarah PERNAMA, ianya adalah kesinambungan daripada Navy, Army and Air Force Institute (NAAFI) yang telah mengambil alih NAAFI dengan 35 buah kedai tinggalan NAAFI, kini PERNAMA memiliki serta menguruskan 74 buah kedai PERNAMA termasuk empat buah Kompleks PERNAMA, 19 buah Lamanniaga PERNAMA, 129 buah kedai keluarga dalam kem, 289 lot-lot perniagaan dalam kem, tiga buah Gudang Induk dan lima buah stesyen minyak.
Kompleks Mutiara Armada Pangkalan TLDM Lumut dipilih sebagai lokasi tranformasi kerana ianya merupakan kompleks yang terbesar yang dimiliki oleh pihak PERNAMA.
Objektif tranformasi adalah, mengurangkan bebanan pengurusan kewangan anggota dan veteran ATM disamping meningkatkan kualiti hidup yang mana PERNAMA menjadi pilihan utama peruncitan barangan keperluan anggota dan veteran ATM yang kini membolehkan pelanggan PERNAMA berbelanja melalui atas talianserta mengembangkan pasaran PERNAMA dan menepati serta mendokong hala tuju Kementerian Pertahanan.
Ianya akan berwajah baharu yang menyediakan pelbagai kemudahan seperti kedai runcit, dobi, kedai jahit, kedai pakaian, kedai alat tulis dan turut disediakan mesin ATM dari AFFIN Bank bagi kegunaan dan keselesaan warga TLDM Lumut.
Dalam ucapan MENHAN, beliau berharap agar PERNAMA tidak akan berhenti berusaha untuk terus memberikan yang terbaik kepada warga ATM.
“Saya mahu perkara ini menjadi satu tanggungjawab moral yang harus laksanakan dengan sebaik mungkin terutamanya selepas segala jasa dan pengorbanan yang telah dilakukan oleh pejuang negara kita,”ujarnya.
Pada masa sama turut diadakan Pelancaran website CAPASA yang merupakan usaha PERNAMA untuk menembusi pasaran luar dengan mewujudkan platform e-dagang dengan kerjasama BCA DIGITAL SDN. BHD.
Selain itu, Produk CAKNA dan Produk Prihatin turut diambil perhatian di mana rangkaian produk harga CAKNA terdiri daripada 133 barangan keperluan harian dengan diskaun 30 hingga 40 peratus namun promosi terhad sehingga 31 Mac 2018, manakala bagi Produk Prihatin jumlah penambahan produk daripada 200 kepada 500 jenis produk ditawarkan secara berterusan kepada anggota dan veteran ATM.
PERNAMA dengan kerjasama Jabatan Arah Pendidikan, Markas Angkatan Tentera Malaysia turut menyumbangkan pakaian percuma sebanyak 2077 pasang baju sekolah rendah dan menengah termasuk peralatan sekolah kepada warga dan veteran ATM termasuk awam yang berkhidmat di Kenenterian Pertahanan, bantuan ini mensasarkan kepada kumpulan B40 iaitu mereka yang berpendapatan isi rumah purata bulanan di bawah RM3,860.00, pada masa yang sama Panglima Tentera Darat (PTD), Jen Tan Sri Dato’ Sri Zulkiple Hj Kassim menyerahkan beg sekolah kepada anak anggota tentera yang disumbangkan oleh pihak PERNAMA.
Turut hadir, Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan, Dato’ Sri Abdul Rahim Mohamad Radzi, Panglima Angkatan Tentera (PAT), Jen Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor, Panglima Tentera Laut (PTL), Laksamana Tan Sri Ahmad Kamarulzaman Hj Ahmad Badaruddin, Pengerusi PERNAMA, Jen Tan Sri Dato’ Sri (B) Abdul Aziz Haji Zainal.
Gambar: PW 2 Shahril Mat Ali
[srizonfbalbum id=110]