KUALA LUMPUR: Panglima Angkatan Tentera (PAT), Jen Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor merasmikan Penubuhan Tim Pemantau Antarabangsa Mindanao 13 (TPA M-13) di Dewan Tanjung Wisma Transit pada 6 Mac 2018.
Penghantaran TPA M-13 merupakan kesinambungan bagi memenuhi hasrat Kerajaan Filipina dan persetujuan Kerajaan Malaysia untuk menghantar tim pemantau bagi tempoh 12 bulan yang mana TPA M-13 kali ini diketuai oleh Mej Jen Dato’ Hj Mohd Nazir Hj Mami dengan jumlah keseluruhan dari Malaysia seramai 16 pegawai dan anggota termasuk awam.
Secara keseluruhannya lima buah negara terlibat dalam TPA M yang terdiri dari Negara Brunei, Indonesia, Jepun dan Norway di mana Malaysia merupakan Lead Nation keseluruhan serta penglibatan Malaysia melalui ATM bermula sejak Ogos 2004.
Dalam ucapan perasmian PAT, beliau yakin TPA M-13 kali ini mampu melaksanakan tugas yang terbaik bagi membaik pulih keadaan di Mindanao bagi mencapai hasrat Kerajaan Malaysia membantu mana-mana negara yang memerlukan bantuan misi keamanan.
“Saya percaya bagi mewujudkan sesuatu keamanan di sesebuah tempat, ianya memerlukan masa yang panjang agar keamanan yang akan dikecapi di peroleh dengan kejayaan yang cemerlang tanpa berlaku sebarang kejadian yang tidak diingini,” katanya.
Kewujudan TPA ini membuktikan bahawa peranan TPA mencapai sasaran dan berjaya mengembalikan kedua-dua pihak yang bertelagah ke meja rundingan dengan beberapa perjanjian damai ditandatangani di antara Kerajaan Filipina bersama Moro Islamic Liberation Front (MILF).
Selain itu Kerajaan Filipina dan MILF telah menandatangani empat perjanjian baharu setelah kedua-dua pihak bersetuju meneruskan komitmen perjanjian damai yang mana perjanjian ini ditandatangani di Kuala Lumpur pada 15 Dis 2017 oleh Pengerusi Government Of Philippines (GPH) Peace Implementing Panel, Nabil A.Tan dengan Pengerusi MILF PIP, Mohagher Igbal disaksikan Malaysia Facilitator/Special Adviser, Dato’ Kamarudin Mustapha.
Sejak penglibatan Malaysia dalam TPA M, tiada sebarang insiden yang boleh menjejaskan proses perjanjian damai antara GPH dan MILF malah Kerajaan Malaysia telah bersetuju meneruskan tugasan TPA M-13 bagi mewujudkan keadaan yang kondusif untuk kedua-dua pihak di dalam menjalankan proses rundingan damai sehingga wilayah Mindanao aman sepenuhnya serta tiada insiden yang boleh menggugat proses kelulusan Bangsamoro Basic Law.
Terdahulu sebaik ketibaan PAT, beliau diiringi Panglima Tentera Darat (PTD), Jen Tan Sri Dato’ Sri Zulkiple Hj Kassim terus ke dewan perasmian serta menyempurnakan pemakaian Lencana TPA M-13 kepada pegawai yang terlibat simbolik kepada perasmian TPA M-13.
Turut hadir Panglima Tentera Udara, Jen Tan Sri Dato’ Sri Hj Affandi Buang TUDM dan Timbalan Panglima Tentera Laut, Laksamana Madya Datuk Anuwi Hassan.
[srizonfbalbum id=162]