Tag: MISI PENGAMAN

  • MALBATT 850-7 Dibubarkan

    MALBATT 850-7 Dibubarkan

    NEGERI SEMBILAN: Panglima Angkatan Tentera (PAT), Jen Tan Sri Dato’ Sri Hj Affendi Buang TUDM melahirkan rasa gembira dan bersyukur kerana dapat melihat seluruh warga kontijen Malaysian Battalion (MALBATT) 850-7 selamat kembali ke tanah air mengikut kekuatan penuh sepertimana ketika meninggalkan negara dahulu.

    Menurut beliau lagi, MALBATT 850-7 berupaya mengawal selia kawasan tanggungjawab seluas 288 kilometer (km) persegi serta berjaya memantau keselamatan di 48 buah perbandaran dan berjaya melaksanakan sebanyak 52 aktiviti operasi secara berkala bersama Angkatan Tentera Lubnan.

    “Saya berasa bangga dengan apa yang dilalui dan dilakukan MALBATT 850-7 dimana pengalaman ini perlu dikongsi sebagai pengajaran kepada kita tentang pentingnya nikmat kebebasan serta nikmat menjalani kehidupan serba mencukupi di bumi Malaysia,” jelas PAT.

    Terdahulu, ketibaan PAT disambut oleh Panglima Tentera Darat, Jen Tan Sri Datuk Zamrose Mohd Zain sebelum menyempurnakan Majlis Perbarisan Pembubaran dan Pemakaian Pingat Perkhidmatan Negara Bangsa-Bangsa Bersatu (PNBB) MALBATT 850-7 bertempat di Padang Kawad Pusat Latihan Asas Tentera Darat (PUSASDA) pada 3 Dis 2020.

    MALBATT 850-7 berkekuatan seramai 80 pegawai dan 770 anggota Lain-Lain Pangkat (LLP) Angkatan Tentera Malaysia (ATM) termasuk tiga pegawai dan 27 anggota dari Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (ABDB) dan seorang Pegawai Awam Kewangan dari Kementerian Pertahanan yang diketuai oleh Kol Khairul Anwar Soib selaku Komander MALBATT 850-7.

    Penganugerahan Pingat PNBB kepada kontinjen MALBATT 850-7 adalah bagi mengiktirafkan kejayaan pasukan semasa menjalankan misi United Nations Interim Force In Lebanon (UNIFIL) di bawah PBB di Lubnan selama setahun mulai 17 Okt 2019.

    Menurut PAT lagi, kontinjen ini berjaya memenangi hati penduduk tempatan sehingga mereka diberi kepercayaan dan kebenaran untuk menubuhkan Malaysian Hall di Marakah.

    “Penubuhan Malaysian Hall jelas menunjukkan kehadiran MALBATT 850-7 di bumi Lubnan sangat disenangi dan diterima oleh semua rakyat tempatan,” ujarnya.

    Sepanjang penugasan, kontinjen MALBATT 850-7 mempamerkan disiplin dan mutu kerja yang cemerlang sekaligus membuktikan keupayaan serta kemampuan ATM dalam melaksanakan misi pengaman di peringkat antarabangsa.

    Turut hadir, Panglima Angkatan Bersama, Lt Jen Dato’ Hj Yazid Hj Arshad TUDM, Ketua Staf Markas Angkatan Tentera, Lt Jen Datuk Mohd Zakaria Hj Yadi, Timbalan Panglima Tentera Laut, Laksamana Madya Dato’ Abdul Rahman Hj Ayob dan Panglima Operasi Udara, Lt Jen Dato’ Hj Mohammad Salleh Hj Osman TUDM

    Gambar: Sjn Saiful Fazley Rusli

  • Air Mata Iringi MALBATT 850-7

    Air Mata Iringi MALBATT 850-7

    KUALA LUMPUR: Suasana sedih diselubungi dengan tangisan ahli-ahli keluarga tidak membantutkan hasrat kumpulan pertama MALBATT 850-7 untuk melaksanakan misi di bawah Pasukan Interim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dengan penuh bersemangat walaupun terpaksa meninggalkan keluarga tercinta demi tugas dan tanggungjawab sebagai seorang anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

    Menteri Pertahanan, Hj Mohamad Sabu menyeru seluruh anggota MALBATT 850-7 yang menyertai misi United Nations Interim Force In Lebanon (UNIFIL) agar memastikan pengiktirafan ini terus terpelihara demi memartabatkan lagi maruah negara dan ATM di persada antarabangsa.

    “Penglibatan ATM di peringkat antarabangsa membuktikan Malaysia komited dalam melaksanakan tanggungjawab bagi memberi bantuan kemanusiaan kepada negara yang memerlukan demi memastikan aspirasi keamanan sejagat dapat direalisasikan,” ujarnya.

    Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Majlis Pemakaian Beret PBB, Penyerahan Bendera Malaysia dan Penghantaran Kumpulan Pertama MALBATT 850-7 di Balai Pergerakan Udara, Pangkalan Udara Subang pada 1 Okt 2019.

    Kumpulan pertama pasukan pengaman Batalion Malaysia 850-7 (MALBATT 850-7) diketuai oleh Komander MALBATT 850-7, Kol Khairul Anuar Soib bersama 57 pegawai dan 165 anggota Lain-Lain Pangkat (LLP) ATM dan Angkatan Bersenjata Diraja Brunei berlepas ke Lubnan bagi menyertai misi pengaman selama setahun.

    MALBATT 850-7 berkekuatan seramai 850 anggota ATM termasuk anggota dari Angkatan Bersenjata Diraja Brunei dan seorang pegawai awam Kementerian Pertahanan akan diatur gerakkan ke negara berkenaan secara empat peringkat iaitu 1,8,15 dan 22 Okt ini.

    Tambah MENHAN lagi, anggota MALBATT 850-7 menjalani latihan integrasi atau Force Integration Training (FIT) selama tiga bulan di MALBATT Village, Port Dickson bagi menggantikan MALBATT 850-6 yang akan menamatkan misi UNIFIL.

    Beliau merakamkan setinggi-tinggi perhargaan dan tahniah kepada seluruh keluarga MALBATT 850-7 yang telah memberi restu kepada suami, isteri, anak atau saudara mara masing-masing demi melaksanakan misi di luar negara.

    Terdahulu dari itu, beliau menyempurnakan acara pemakaian beret PBB yang dimulakan dengan pemakaian beret kepada Komander MALBATT 850-7, Kol Khairul Anuar Soib lalu menyerahkan bendera Malaysia sebagai simbolik bahawa MALBATT 850-7 siap untuk diatur gerak disaksikan pegawai-pegawai kanan ATM dan keluarga anggota MALBATT 850-7.

    Turut hadir, Panglima Angkatan Tentera (PAT), Jen Tan Sri Dato’ Seri Panglima Hj. Zulkifli Hj. Zainal Abidin, Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan, Datuk Seri Mohd Zuki Ali, Panglima Tentera Darat, Jen Tan Sri Dato’ Seri Panglima Hj Ahmad Hasbullah Hj Mohd Nawawi, Panglima Tentera Laut, Laksamana Tan Sri Mohd Reza Mohd Sany, Panglima Tentera Udara, Jen Tan Sri Dato Sri Hj Affendi Buang TUDM dan  Duta Besar Brunei Darussalam, Dato Paduka Haji Alaihuddin.

    Gambar: Kpl Ainur Aisyah Yahaya


    [custom-facebook-feed album=2947020835326812]

  • Perasmian TPA Mindanao 13

    KUALA LUMPUR: Panglima Angkatan Tentera (PAT), Jen Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor merasmikan Penubuhan Tim Pemantau Antarabangsa Mindanao 13 (TPA M-13) di Dewan Tanjung Wisma Transit pada 6 Mac 2018.

    Penghantaran TPA M-13 merupakan kesinambungan bagi memenuhi hasrat Kerajaan Filipina dan persetujuan Kerajaan Malaysia untuk menghantar tim pemantau bagi tempoh 12 bulan yang mana TPA M-13 kali ini diketuai oleh Mej Jen Dato’ Hj Mohd Nazir Hj Mami dengan jumlah keseluruhan dari Malaysia seramai 16 pegawai dan anggota termasuk awam.

    Secara keseluruhannya lima buah negara terlibat dalam TPA M yang terdiri dari Negara Brunei, Indonesia, Jepun dan Norway di mana Malaysia merupakan Lead Nation keseluruhan serta penglibatan Malaysia melalui ATM bermula sejak Ogos 2004.

    Dalam ucapan perasmian PAT, beliau yakin TPA M-13 kali ini mampu melaksanakan tugas yang terbaik bagi membaik pulih keadaan di Mindanao bagi mencapai hasrat Kerajaan Malaysia membantu mana-mana negara yang memerlukan bantuan misi keamanan.

    “Saya percaya bagi mewujudkan sesuatu keamanan di sesebuah tempat, ianya memerlukan masa yang panjang agar keamanan yang akan dikecapi di peroleh dengan kejayaan yang cemerlang tanpa berlaku sebarang kejadian yang tidak diingini,” katanya.

    Kewujudan TPA ini membuktikan bahawa peranan TPA mencapai sasaran dan berjaya mengembalikan kedua-dua pihak yang bertelagah ke meja rundingan dengan beberapa perjanjian damai ditandatangani di antara Kerajaan Filipina bersama Moro Islamic Liberation Front (MILF).

    Selain itu Kerajaan Filipina dan MILF telah menandatangani empat perjanjian baharu setelah kedua-dua pihak bersetuju meneruskan komitmen perjanjian damai yang mana  perjanjian ini ditandatangani di Kuala Lumpur pada 15 Dis 2017 oleh Pengerusi Government Of Philippines (GPH) Peace Implementing Panel, Nabil A.Tan dengan Pengerusi MILF PIP, Mohagher Igbal disaksikan Malaysia Facilitator/Special Adviser, Dato’ Kamarudin Mustapha.

    Sejak penglibatan Malaysia dalam TPA M, tiada sebarang insiden yang boleh menjejaskan proses perjanjian damai antara GPH dan MILF malah Kerajaan Malaysia telah bersetuju meneruskan tugasan TPA M-13 bagi mewujudkan keadaan yang kondusif untuk kedua-dua pihak di dalam menjalankan proses rundingan damai sehingga wilayah Mindanao aman sepenuhnya serta tiada insiden yang boleh menggugat proses kelulusan Bangsamoro Basic Law.

    Terdahulu sebaik ketibaan PAT, beliau diiringi Panglima Tentera Darat (PTD), Jen Tan Sri Dato’ Sri Zulkiple Hj Kassim terus ke dewan perasmian serta menyempurnakan pemakaian Lencana TPA M-13 kepada pegawai yang terlibat simbolik kepada perasmian TPA M-13.

    Turut hadir Panglima Tentera Udara, Jen Tan Sri Dato’ Sri Hj Affandi Buang TUDM dan Timbalan Panglima Tentera Laut, Laksamana Madya Datuk Anuwi Hassan.

    [srizonfbalbum id=162]