KUALA LUMPUR: Ketua Jurutera merangkap Pengerusi Kor Rejimen Askar Jurutera Diraja (RAJD), Brig Jen Ts Sharudin Mohd Noh berkata, RAJD telah memainkan peranan penting dalam mendukung Perintah Ulung Panglima Tentera Darat (PTD) dengan merangka pembangunan seimbang merangkumi sinergi Manusia, Mesin dan Metode yang dikenali sebagai 3M.
“Tiga elemen ini menjadi asas kepada pembangunan RAJD agar menjadi kor yang lebih ampuh, kredibel, seimbang dan mampu menyokong Tentera Darat (TD) dalam melaksanakan operasi dalam persekitaran pelbagai domain, jelas beliau.
Pengerusi RAJD berkata demikian semasa menyampaikan perutusannya dalam Perbarisan Hari Ulang Tahun (HUT) RAJD Ke-71 di Padang Kawad Batu Kentonmen pada 22 Apr 2024.
Tambahnya lagi, RAJD bertekad memperkasakan sumber manusia anggota melalui peningkatan akademik dan program latihan termasuk pengiktirafan profesional demi memastikan keupayaan dan kesediaan anggota dalam melaksanakan tugas serta amanah yang diberikan.
“Dalam usaha menyokong pembangunan Army 4NextG dan agenda pengukuhan keupayaan TD, RAJD terus memperkuat pasukan melalui kajian semula struktur organisasi secara holistik serta perolehan pelbagai aset jurutera menerusi rolling plan ketiga dan keempat dalam Rancangan Malaysia Ke-12 yang dijangka bakal diterima pada tahun 2025 dan 2026.
“Di samping itu, RAJD telah melaksanakan pelbagai projek bantuan kepada awam serta projek pembangunan di bawah seliaan Markas Angkatan Tentera Malaysia – Bahagian Perkhidmatan Kejuruteraan Pertahanan (MK ATM-BPKP) sekaligus menunjukkan komitmen dalam memperkuat angkatan tentera dan meningkatkan kesejahteraan rakyat.
“Bukan itu sahaja, RAJD turut memperkukuhkan gagasan tentera dan rakyat melalui pemerkasaan Skuadron Jurutera Askar Wataniah serta latihan bagi pasukan Pakar RAJD untuk meningkatkan kemahiran dalam menyokong keperluan semasa perang serta memperbaiki infrastruktur penting semasa keadaan darurat.
“RAJD terus mendukung Perintah Ulung PTD melalui Teras Kelima iaitu Anjakan Diplomasi Pertahanan dengan terlibat dalam pelbagai eksesais bilateral dan multilateral serta misi MALBATT sekaligus menunjukkan komitmen yang berterusan dalam memperkuat hubungan pertahanan.
Sebelum mengakhiri ucapan, Pengerusi RAJD menyeru kepada semua warga RAJD untuk merenung kembali cogan kata ‘Berusaha Berfaedah’ yang diertikan sebagai setiap penugasan yang dilaksanakan secara tekun, jujur dan ikhlas akan mendapat hasil ganjaran yang setimpal.
Terdahulu, acara dimulakan dengan demonstrasi dinamik yang mempertontonkan keupayaan Tim Counter Improvised Explosives Device (CIED) daripada gabungan IKEM, 91 Bantuan RAJD, Tim CBRNe dari 12 Skn RAJD serta dibantu oleh Tim Tinjau Jurutera dari 10 Skn RAJD (Para).
Seterusnya, Pengerusi RAJD menerima tabik hormat dari kontinjen perbarisan diketuai oleh Lt Kol Ahmad Nizam Adnan dari Jabatan Arah RAJD.
Seramai 15 pegawai dan 208 anggota Lain-Lain Pangkat (LLP) terdiri daripada empat detasmen iaitu detasmen pertama dari RAJD 2 Divisyen, detasmen kedua dari RAJD 3 Divisyen, detasmen ketiga adalah gabungan daripada unit RAJD Lembah Klang dan Institut Kejuruteraan Medan Tentera Darat (IKEM) manakala detasmen terakhir merupakan gabungan daripada MK RAJD Pemerintahan Medan Barat Tentera Darat (PMBTD), Anggota Sukarela Askar Wataniah dan RAJD Pakar (Askar Wataniah).
Dalam perbarisan ini turut diserikan acara penyampaian sijil penghargaan Program Jiwa Murni Kementerian Pertahanan bagi tahun 2023 dan penyampaian sijil Kecemerlangan Ketua Jurutera Tahun 2024 yang diesmpurnakan oleh Pengerusi RAJD.
Seusai perbarisan, Pengerusi RAJD meneruskan acara HUT dengan menghadiri Majlis Jamuan Makan Sempena Sambutan Hari Raya Aidilfitri di Garaj KJC, 91 Rejimen Bantuan RAJD.
Sambutan ini turut diserikan dengan gimik penyerahan Majalah Sappers Siri 9/24 kepada Pengerusi RAJD, penyampaian sijil penghargaan Ketua Jurutera, penyampaian Anugerah Detasmen Terbaik Perbarisan HUT RAJD Ke-71 dan upacara memotong kek.
Turut hadir, Pengarah BPKP, Mej Jen Ir Thevendran Cs Maniam, Komander Jurutera Medan Barat TD, Brig Jen Fazillah Ibrahim, Pengarah Bahagian Geospatial Pertahanan, Brig Jen Dato’ Pahlawan Sr Dr Mohd Zambri Mohamad Rabab dan pegawai-pegawai kanan RAJD.
Gambar: LKpl Nik Ahmad Asyraaf Nik Husein