KUALA LUMPUR: “Selaku Menteri Pertahanan Malaysia (MENHAN), saya mewakili semua warga tentera yang sedang bertugas di perbatasan tanah air dan di luar negara terlebih dahulu ingin merakamkan perasaan terharu di atas sumbangan yang sungguh bermakna ini,” ujar MENHAN, Tuan Hj Mohamad Sabu dalam ucapannya semasa Majlis Penyampaian Sumbangan Bungkusan Hari Raya Aidilfitri kepada Angkatan Tentera Malaysia (ATM) di Auditorium Wisma Pertahanan pada 31 Mei 2018.
Selain itu, beliau berbangga dan terharu kerana aktiviti tahunan sebegini telah memperlihatkan bahawa betapa prihatinnya warga Malaysia terhadap kebajikan warga ATM di mana soal kebajikan anggota tentera amat penting dan perlu diberikan keutamaan dalam usaha memantapkan keupayaan ATM memperjuangkan kedaulatan negara.
Majlis khas yang diadakan setiap tahun ini telah menjadi satu tradisi bagi menghargai dan merakamkan penghargaan serta ucapan terima kasih Kementerian Pertahanan di atas sumbangan ikhlas para penyumbang kepada warga ATM yang melaksanakan tugas operasi pada tahun ini terdiri daripada ketiga-tiga cabang perkhidmatan.
Ini termasuklah wanita yang melaksanakan tugas di perbatasan, kepulauan, samudera raya dan ruang angkasa di dalam mahupun luar negara juga merangkumi kawalan keselamatan setiap pasukan, kem dan unit agar kedaulatan tanah air pada musim perayaan Hari Raya Aidilfitri kekal terpelihara.
Pada tahun ini, ATM berjaya mengumpul sumbangan kewangan sebanyak RM 1,642,500.00 daripada 48 agensi penyumbang yang terdiri daripada badan-badan korporat, syarikat-syarikat swasta dan persatuan-persatuan sukarela.
Di samping itu, turut diadakan penyerahan sumbangan wang zakat dari empat badan korporat dari Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) berjumlah RM 575,000.00, Affin Bank Berhad, RM 500,000.00, Koperasi Angkatan Tentera Malaysia Berhad, RM 350,000.00 dan Affin Hwang Investment Bank Berhad sebanyak RM 250,000.00 kepada Tabung Zakat ATM.
Terdahulu ketibaan MENHAN dan isteri disambut oleh Panglima Angkatan Tentera (PAT), Jen Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor dan Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan (KSU), Dato’ Sri Abdul Rahim Mohamad.
Turut hadir, Panglima Tentera Darat (PTD) Jen Tan Sri Dato’ Sri Zulkiple Hj Kassim, Panglima Tentera Laut, Laksamana Tan Sri Ahmad Kamarulzaman Hj Badaruddin dan Panglima Tentera Udara, Jen Dato’ Sri Hj Affandi Buang TUDM, pegawai-pegawai kanan ATM dan awam Kementerian Pertahanan serta ahli-ahli BAKAT.
Gambar: Sjn Saiful Fazley Rusli