KUALA LUMPUR: Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Ibni Almarhum Tuanku Syed Putra Jamalullail selaku Kol Yang DiPertua (YDP) Rejimen Renjer Diraja (RRD) dan Kor Polis Tentera Diraja (KPTD) bersama Raja Perempuan Perlis, Tuanku Tengku Fauziah Almarhum Tengku Abdul Rashid berkenan mencemar duli ke Majlis Santapan Malam Bersama Kolonel Yang Dipertua RRD dan KPTD bersempena sambutan Ulang Tahun Keputeraan Ke-75 baginda di Dewan Perkasa, Wisma Perwira Angkatan Tentera Malaysia pada 27 Jul 2018.
Terdahulu keberangkatan tiba baginda disambut oleh Pengerusi RRD, Brig Jen Dato’ Md Din Hj Abu dan Pengerusi KPTD, Brig Jen Mislan Anuar lalu mengiringi baginda untuk sesi bergambar dan seterusnya ke Dewan Perkasa.
Majlis yang dihadiri seramai 400 pegawai dan pasangan dihiburkan dengan persembahan-persembahan tarian serta nyanyian dari pegawai-pegawai RRD dan KPTD dan sembah kenal pegawai RRD dan KPTD berserta pasangan yang baru berkahwin diiringi oleh Gabungan Pancaragam Pusat dan Kombo RRD.
Kemuncak acara majlis diserikan lagi dengan perkenan Tuanku memotong kek sempena ulang tahun keputeraaan baginda, serta penyampaian cendera kenangan oleh Pengerusi RRD dan KPTD kepada Tuanku.
Turut berangkat ke majlis itu adalah Menteri Besar Perlis, Datuk Seri Azlan Man berserta isteri, Datin Seri Nor Aswana Omar dan pegawai kanan TD dari Kor RRD dan KPTD.
Gambar: Saifun Hakimi Zainon
[srizonfbalbum id=254]