KUALA LUMPUR: Panglima 12 Bgd, Brig Jen Abd Malik Jiran melancarkan Hari Senggaraan dan Kebersihan Peringkat 12 Bgd di Padang Kawad Batalion Pertama Rejimen Renjer Diraja (1 RRD) pada 3 Ogos 2018.
Program yang berkonsepkan gotong royong perdana tersebut telah dilancarkan serentak diseluruh pasukan bawah naungan 12 Bgd termasuk pasukan-pasukan yang berada di Kem Perdana Sg Besi, Kem Sg Buloh dan Kem Transit Kuala Lumpur.
Majlis pelancaran dimulakan dengan perbarisan semua anggota dan penghuni RKAT Kem Wardieburn dengan didahului oleh amanat serta tujuan utama pelaksanaan program tersebut oleh Panglima 12 Bgd.
Dalam ucapannya, beliau menekankan sikap sentiasa prihatin terhadap kebersihan kem di mana dapat mengurangkan risiko penyakit yang berpunca dari kekotoran seperti taun dan pembiakan nyamuk aedes.
Di samping itu, hubungan silaturahim antara penduduk dalam kem juga dapat menjadi lebih akrab.
Program ini juga menjadi permulaan dan akan diteruskan pada setiap Jumaat minggu pertama setiap bulan.
Pengisian lain yang menarik dalam program yang dijalankan ini adalah turut diadakan pameran jenis-jenis nyamuk aedes, tempat pembiakan, kesan penyakit dan cara-cara mengatasi risiko penyakit serangga tersebut yang dilaksanakan oleh Pusat Perubatan Angkatan Tentera Kem Wardieburn.
Pada masa sama kerja-kerja mengangkut sampah dan dahan-dahan pokok turut dibantu oleh pihak Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).
Gambar: Pbt Abu Huzaifah Sabarudin